fbpx
Gambar hiasan

Mangsa seksual jijik dengan lelaki, tak mahu kahwin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – “Sehingga saat ini saya tidak dapat lupakan detik hitam itu, ia sangat jijik menyebabkan saya langsung tiada perasaan untuk berkahwin.”

Demikian luah Haniza (nama samaran), 33, yang menjadi mang­sa jenayah seksual bapa saudara sendiri pada usia 10 tahun.

Menurut anak sulung daripada tiga beradik itu, dia sukar melupakan peristiwa itu meskipun ia sudah lama berlalu.

“Saya rasa jijik bila teringat kejadian itu, lebih-lebih lagi pelakunya adalah bapa saudara sendiri yang sepatutnya melindungi saya.

“Malah, kejadian itu masih menjadi ‘rahsia’ antara kami. Saya akan terus simpannya sebagai rahsia kerana malu jika ada orang yang tahu,” katanya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.

Menceritakan semula peristiwa hitam itu, kata Haniza, ia berlaku setiap kali dia berkunjung ke rumah neneknya yang turut ­didiami bapa saudara.

“Pada usia 10 tahun, saya tidak fikir apa-apa selain seronok bermain dan pada waktu itu, bapa saudara suka bermain dengan saya dan sepupu lain.

“Namun, sangkaan saya me­leset apabila bapa saudara mela­kukan sesuatu yang di luar jangkaan saya di dalam bilik tidurnya. Kadang-kadang dia akan pergi ke bilik tidur nenek untuk mencari saya setiap kali nenek tiada di rumah,” ujarnya yang merupakan kerani di sebuah syarikat pembinaan.

Katanya, dia diganggu secara seksual setiap kali mengunjungi rumah neneknya dan ia berlarutan sehingga dua tahun.

“Penderitaan saya itu berakhir apabila bapa saudara berpindah ke rumah lain sebelum mendirikan rumah tangga,” jelasnya.

Bagaimanapun, kata­nya, trauma akibat kejadian itu terpaksa ditanggung sehingga hari ini apabila dia merasakan semua lelaki hanya mahu mengambil kesempatan ke atas wanita.

“Saya langsung tidak ada pe­rasaan untuk berkahwin kerana rasa jijik dan takut kepada lelaki. Bagi saya, yang berlalu itu biarlah berlalu, semoga Allah yang dapat membalas perbuatan jahat bapa saudara saya itu,” katanya.

Seorang lagi mangsa gangguan seksual yang mahu dikenali sebagai Izura (nama samaran), 30, berkata, dia juga mengalami gangguan seksual pada usia kanak-kanak.

“Ia berlaku ketika saya bermain dengan saudara mara. Salah seorang sepupu lelaki se­ring mendekati saya dan menyentuh bahagian tidak sepatutnya, malah dia melakukan perkara lebih teruk.

“Salah satu kejadian berlaku di satu ruang tersembunyi di bawah tangga. Pada masa itu, saya keliru dengan apa yang dilakukannya kerana mungkin pada masa itu saya tidak banyak didedahkan tentang pendidikan seksual,” katanya.

Katanya, dia menyembunyikan perkara itu daripada pengetahuan ibu bapa kerana bimbang dimarahi.

“Kejadian itu beri kesan teruk kepada saya apabila saya rasa diri saya kotor dan takut untuk mendirikan rumah tangga kerana bimbang suami tahu apa yang sebenarnya sudah berlaku pada diri saya.

“Namun, saya berjaya atasi perasaan itu selepas berkongsi tentang kejadian dengan seorang rakan karib dan menghadiri sesi kaunseling dengan pakar psikologi secara dalam talian sebelum mendirikan rumah tangga lima tahun lalu. Sehingga kini ia masih rahsia, suami pun tidak tahu tentang perkara itu,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN