fbpx
AZNIL NAWAWI

Saya tak minta gelaran hos nombor 1 – Aznil Nawawi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEDUDUKAN yang diraih insan yang digelar pengacara nombor satu negara bukannya datang bergolek dan tidak hadir dalam sekelip mata.

Sebelum berada pada tahap hari ini, personaliti serba boleh itu pernah melalui jatuh bangun dalam industri sehingga hampir meranapkan kerjayanya.

Namanya yang suatu ketika dahulu pernah berada di puncak sekitar tahun awal 1990-an, tiba-tiba jatuh merundum seiring peredaran masa.

Ditambah dengan beberapa krisis yang melanda negara pada ketika itu, nama Datuk Aznil Nawawi hampir terkubur, malah mungkin akan terus lenyap dari radar gelanggang seni.

Umpama roda

Kata Aznil, sepanjang tiga dekad berkecimpung dalam industri, pelbagai susah payah telah pun ditempuhi, sekali gus mengajarnya untuk beringat bahawa hidup itu umpama putaran roda.

“Betul, kita tidak selamanya akan berada di atas. Ada masanya kita juga akan berada di bawah. Saya pernah meniti zaman kegemilangan pada era 1990-an, sebelum tiba-tiba jatuh tersungkur.

SEHINGGA hari ini belum ada yang mampu mengambil alih takhta Aznil Nawawi sebagai pengacara nombor satu negara. – MUHAMAD IQBAL ROSLI

“Kejatuhan paling menyakitkan yang pernah saya alami adalah pada saat ekonomi dunia berdepan dengan kemerosotan. Hidup ketika itu sangat sukar dan mencabar apabila saya kehilangan pekerjaan.

“Lebih mencabar, ketika itu saya sudah pun berumah tangga dan memiliki cahaya mata tetapi tiada pekerjaan. Saya terikat dengan komitmen dan hutang sehinggakan duit simpanan habis,” ujar personaliti yang mesra disapa Paknil itu.

Bagaimanapun, kata anak kelahiran Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur itu, fasa sukar yang dilalui sedikit sebanyak telah menjadikan dirinya insan yang tabah.

Zaman kejatuhan Aznil semakin memburuk sehingga awal tahun 2000-an apabila pembabitannya dalam industri penyiaran sebagai pengacara kian suram.

Peluang kedua

Menganggap apa yang berlaku berpuca daripada kesalahan sendiri, kata Aznil, dia menyimpan ego yang tinggi apabila masih berpendapat menjadi pengacara dengan imej ‘mulut jahat’ sebagai strategi yang boleh diterima ramai.

“Ternyata tanggapan saya salah dan akhirnya memakan diri sendiri. Orang ramai mula tidak sukakan saya untuk muncul di kaca televisyen (TV) pada ketika itu.

“Tawaran semakin berkurang sehingga memaksa saya terima apa sahaja program, asalkan boleh mendatangkan pendapatan.

“Sehinggalah saya diberikan peluang kedua dan rezeki oleh Allah SWT apabila menjadi pengacara program realiti yang baharu diperkenalkan, Akademi Fantasia (AF). Program itulah yang menyelamatkan karier saya,” ujarnya.

Peluang keemasan itu tidak disia-siakan Aznil. Tanpa disangka, AF akhirnya berkembang sehingga menjadi satu jenama besar yang melonjakkan semula namanya dalam dunia pengacaraan.

“Alhamdulillah, saya diberi peluang kedua untuk bangkit dan memperbaiki diri untuk memahami apa kehendak penonton ketika itu.

“Saya belajar untuk menjadi lebih matang sebagai pengacara dan juga manusia,” katanya.

Sewaktu kembali meniti zaman gemilang, bakat bapa tunggal kepada tiga cahaya mata itu turut diiktiraf orang industri apabila menggelarnya pengacara nombor satu negara.

Gelaran nombor satu

Enggan mendabik dada, Aznil menegaskan dia tidak pernah menyangka, jauh sekali berharap untuk diberikan gelaran tersebut.

Malah, dia juga tidak kisah jika status itu dirampas pada bila-bila masa sahaja oleh pengacara lain yang lebih layak suatu hari nanti.

Ujar Aznil, gelaran pengacara nombor satu negara sedikit-sebanyak memberi tekanan kepada dirinya untuk membuktikan dia benar-benar layak dilabel sedemikian.

“Saya tidak pernah pun kata diri saya pengacara nombor satu negara. Langsung tidak pernah. Tapi gelaran tersebut diberikan kepada saya oleh wartawan yang menulis dalam laporan mereka.

“Lagi pun gelaran itu boleh datang dan pergi bila hadir pengacara lain yang lebih bagus.

AZNIL berbesar hati berkongsi ilmu dengan siswa siswi Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya.

“Gelaran yang diberikan kepada saya itu juga sebenarnya memberatkan kepala apabila saya perlu berusaha keras untuk mencipta rekod sendiri bagi membuktikan diri ini layak dengan gelaran tersebut,” katanya yang pernah mencipta rekod memenangi beberapa kali gelaran Pengacara Paling Popular dan Pengacara TV Terbaik.

Dengan pencapaian yang diraih, personaliti yang turut pernah mengendalikan program Macam-Macam Aznil itu mahu menjadikan gelaran dan pengiktirafan yang diterimanya sebagai pemangkin buat pengacara lain untuk turut berusaha keras, agar dapat menjadi bukan sahaja paling popular, bahkan terbaik.

Meniti usia 61 tahun, Aznil tidak menyangka apabila dia dilantik menjadi Profesor Adjung di Universiti Malaya (UM) dalam bidang Komunikasi Perniagaan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi.

Dengan berbekalkan pengalaman lebih tiga dekad berada dalam industri, Aznil mahu membimbing para siswa dan siswi tentang kepentingan komunikasi serta pembentukan imej dalam bidang berkenaan.

“Saya sebenarnya tidak pernah terfikir seorang pengacara dan bekas wartawan, dapat menjadi ahli akademik di sebuah universiti tersohor negara. Saya anggap ini sebagai rezeki yang datang ketika usia menginjak 61 tahun.

“Saya masukkan pengalaman lebih 30 tahun dalam sebuah silibus dan ajarkan kepada siswa dan siswi tentang kepentingan komunikasi serta pembentukan imej.

“Pembabitan saya ini sekali gus memberitahu masyarakat bahawa belum masanya untuk saya bersara. Insya-Allah, selagi saya dikurniakan dengan kesihatan yang baik serta fikiran yang waras, saya mahu terus bekerja dan melakukan perkara yang saya suka,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN