JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor menumpaskan sebanyak tiga sindiket pemalsuan dokumen permit kerja dan pasport palsu sejak Januari hingga November lalu.
Pengarahnya, Baharuddin Tahir berkata, tangkapan pertama melibatkan seramai 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) di Ulu Tiram dekat sini pada 26 September lalu.
Mereka yang terdiri daripada 10 lelaki warga Pakistan, seorang lelaki dan wanita masing-masing warga Indonesia.
Turut ditangkap dalam operasi sama adalah seorang lelaki rakyat tempatan.
“Tangkapan kedua dijalankan di Nusa Perintis, Gelang Patah pada 5 Oktober lalu membabitkan lima lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki warga Nepal,” katanya kepada ketika ditemui baru-baru ini.
Jelas beliau, bagi tangkapan ketiga, pihaknya melakukan operasi di Taman Mawar, Kota Tinggi pada 7 Disember lalu melibatkan masing-masing seorang lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita warga Indonesia.
Semakan mendapati, kesemua tangkapan tersebut adalah pelanggan dan ahli sindiket pemalsuan permit kerja serta pasport palsu di negeri ini.
Dalam pada itu, Baharuddin memberitahu, setakat bulan lalu, seramai 154,982 PATI yang berdaftar dengan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 (RTK 2.0).
Daripada jumlah itu, seramai 48,770 telah dipanggil untuk proses penilaian.
“PATI yang layak memohon dan berdaftar dalam RTK 2.0 adalah mereka yang membuat kesalahan sehingga 30 Disember 2022. Mereka yang melakukan kesalahan pada atau melebihi tarikh tersebut adalah tidak layak,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, dalam tempoh Januari sehingga 11 Disember lalu, pihaknya berjaya menahan seramai 9,101 PATI atas pelbagai kesalahan.
Tamabahnya, PATI warga Indonesia mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 3,263 orang, diikuti Bangladesh (1,448), Myanmar (959) dan Nepal (706).














