SELEPAS bapanya menghidap strok, Ibdil Ishak sebagai anak melihat insan disayanginya itu tidak lagi dapat bergerak mahupun melakukan aktiviti harian seperti biasa.
Malah, semasa pandemik Covid-19 melanda, keadaan bapanya menjadi semakin membimbangkan di mana dirinya tidak dapat melakukan apa-apa dengan sendiri.
Menurut Ibdil, keadaan itu membuatkan dia mahu berikhtiar mencari rawatan yang sesuai buat bapanya agar dapat menjalani kehidupan dalam kondisi semasa.
“Saya membuat beberapa semakan hingga bertemu dengan satu konsep rehabilitasi yang boleh membantu bapa saya mengatasi keadaannya itu dan boleh berdikari.
“Apa yang saya temui, selain fisioterapi terdapat juga satu kaedah rawatan yang dikenali sebagai terapi cara kerja (occupational therapy) yang mana ia bertujuan membantu pesakit yang kehilangan upaya diri untuk menjalani kehidupan dalam keadaan keupayaan baharu,” katanya kepada K2 baru-baru ini.
Tambahnya, setelah meyakini itu merupakan suatu rawatan yang diperlukan oleh bapanya, dia kemudian membawanya ke salah satu pusat yang menawarkan terapi berkenaan iaitu ReGen Rehab Hospital di Petaling Jaya, Selangor.
Menerusi rawatan dan terapi yang diterima bapanya, Ibdil memberitahu, bapanya semakin lama sudah boleh berdikari dan menjalani aktiviti harian seperti bergerak, makan, malah mengganti pakaian dengan sendiri.
Katanya, konsep rawatan terapi cara kerja amat membantu bapanya untuk memahami kondisi badannya dan pada masa sama memulihkan apa jua pergerakan yang boleh dilatih kembali agar dirinya dapat berdikari.
Terapi cara kerja merupakan salah satu rawatan pemulihan yang komprehensif dan holistik bertujuan untuk membantu pesakit mencapai, meningkatkan serta mengekalkan tahap kefungsian dan sifat berdikari yang optimum dalam kehidupan seharian, pekerjaan serta aktiviti riadah, mahupun rekreasi.
Mengikut sejarahnya, tidak ada rekod yang pasti bila terapi ini betul-betul wujud, tambahan pula terapi cara kerja tidak pernah dianggap sebagai rawatan perubatan.
Namun, dalam beberapa ulasan daripada portal-portal kesihatan, ia sudah wujud dalam praktis perubatan sekitar era 1800-an dan mula menjadi satu bentuk rawatan khusus bermula era 1900-an.
Konsep terapi ini memfokuskan kepada keupayaan fizikal, mental, sosial dan kerohanian yang mana jurupulih cara kerja sentiasa berkomunikasi dengan pesakit untuk memberikan perkhidmatan yang sejajar dengan keperluan mereka.
Tahap kefungsian dalam kehidupan seharian setiap klien juga akan dinilai secara komprehensif mengikut kepada tahap kefungsian yang berlainan.
Pelbagai kemahiran yang meliputi aktiviti kehidupan seharian dan aktiviti domestik seperti kebersihan diri, cucian pakaian (dobi), asas pengurusan kewangan dan penjagaan diri akan diterapkan dalam program terapi cara kerja buat setiap pesakit mengikut keperluan masing-masing.
Peranan utama program rehabilitasi ini adalah untuk memastikan pesakit mendapat kemahiran asas dalam pengurusan diri sendiri dan seterusnya dapat menjalani rutin harian secara normal.
Rawatan seumpama ini kebiasaannya disediakan oleh pusat rawatan atau hospital rehabilitasi antaranya dibawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan juga swasta seperti ReGen Rehab Hospital.
Menurut ahli terapi cara kerja ReGen Rehab Hospital, Wong Ming Sze, sebelum pesakit diberikan rawatan, mereka akan dinilai terlebih dahulu bagi menentukan rutin terapi yang bersesuaian.
“Terapi ini merupakan kesinambungan bagi rawatan fisioterapi yang mana kita membantu mereka untuk mencapai sebolehnya keupayaan dan fungsi fizikal seperti orang normal.
“Jenis rawatan dan keperluan alat bantu terapi juga bergantung kepada kondisi pesakit dan amat penting untuk memahami apa yang mereka lalui,” ujarnya ketika ditemui media di ReGen Rehab Hospital, Petaling Jaya baru-baru ini.
Tambahnya, sebagai contoh, sekiranya pesakit kehilangan fungsi tangan sama ada ‘kudung’ mahupun tidak boleh bergerak antara terapi cara kerja yang akan dijalani olehnya adalah bagaimana dia boleh melakukan tugas harian dengan sebelah tangan.
Tugas harian yang dimaksudkan adalah memasak, mencuci pakaian, mengemas rumah, memakai baju dan sebagainya.
Jelasnya lagi, dalam kes seperti strok pula, pesakit akan menjalani terapi yang bersesuaian dengan had keupayaan mereka, namun jika ada fungsi yang boleh dipulihkan kembali, mereka juga akan dilatih untuk merawatnya sendiri melalui rutin yang boleh dilakukan di luar waktu terapi.
Sementara itu, Pengurus Terapi ReGen Rehab Hospital, Rubini Ravandaran, dalam terapi cara kerja, setiap hospital mempunyai cara yang berbeza dalam menerapkan cara kerja kepada pesakit.
Hal ini juga yang membezakan pusat rawatan atau hospital rehabilitasi dan hospital biasa secara umumnya.
“Bagi yang mendapatkan rawatan di hospital rehablitasi, kita menggalakkan supaya pesakit untuk mengikuti rutin yang telah diterapkan kepada mereka.
“Di sini jururawat kita juga menggalakkan pesakit untuk berdikari mengikut kemampuan mereka,” jelasnya.
Kongsinya lagi, tidak hanya memberikan terapi, salah satu konsep yang menjadi resipi dalam pemulihan diri adalah sokongan orang sekeliling.
Dalam konsep rehabilitasi, sokongan dan dorongan adalah salah satu tindakan yang membantu menaikkan semangat pesakit dalam menjalani terapi.
“Persekitaran hospital rehabilitasi juga lebih menitikberatkan suasana yang sentiasa menyokong, maknanya setiap kali ada pencapaian baharu dalam terapi, pesakit akan diraikan.
“Hal ini akan menambah semangat kepada pesakit untuk lebih positif dan menerima keadaan dan keupayaan baharu mereka,” ujarnya.















