PETALING JAYA – “Anak dan cucu saya takut nak pulang ke sini (Apartmen Idaman) selepas kejadian pembunuhan Zayn Rayyan.”
Demikian kata penduduk Blok R, Apartmen Idaman, Zaini Abdullah, 63, susulan kejadian menyayat hati yang meragut nyawa kanak-kanak autistik itu selepas dilaporkan hilang pada 5 Disember lalu.
Zaini yang merupakan pesara berkata, dia turut meluahkan rasa gusar memandangkan misi mencari bahan bukti masih dilakukan di apartmen berkenaan sehingga semalam.
“Anak dan cucu saya yang berada di Seremban, Negeri Sembilan dan Kuantan, Pahang biasanya datang ke sini melawat saya dan isteri sebelum ini.
“Semenjak mereka mendapat tahu kejadian ini, mereka tidak mahu pulang sebab proses pencarian bahan bukti masih berjalan,” katanya ketika ditemui semalam.
Mengulas lanjut mengenai kes yang menimpa Zayn Rayyan, Zaini berharap suspek yang terbabit dalam kes pembunuhan itu dapat dijejaki dalam masa terdekat.
“Kalau boleh saya berharap kes ini segera diselesaikan. Jika keluar, kita (penduduk) akan disoal oleh pihak polis, selang dua hari sekali polis akan datang rumah untuk bertanyakan sesuatu.
“Yang terbaharu, saya ditanya oleh anggota polis sama ada membela kucing. Buat masa ini, pergerakan keluar masuk tidak dikawal,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai keselamatan diri, warga emas tersebut tidak bercadang untuk berpindah ke kediaman lain dalam masa terdekat.
“Hendak pindah disebabkan kes ini, tidak adalah. Cuma berharap kes ini dapat selesai cepat,” ujarnya.
Sementara itu, penduduk, Azlin Shah, 47, berkata, dia tidak mendengar ura-ura bahawa penghuni Blok R mahu berpindah disebabkan tragedi tersebut.
“Macam biasa polis akan melawat apartmen ini. Kalau ikutkan memang tak okey sebab polis selalu keluar masuk buat siasatan lagi-lagi di kawasan Blok R, tapi nak buat macam mana itu kerja mereka.
“Saya tinggal di tingkat bawah. Setakat ini, tiada berita penduduk lain mahu berpindah selepas kejadian bunuh tersebut,” katanya,
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya berjaya mengesan dua saksi cilik yang sempat melihat kelibat Zayn Rayyan pada petang 5 Disember lalu.
“Dua saksi kanak-kanak itu berjaya dikesan ketika pihak polis menjalankan ‘mass DNA screening’ (saringan secara besar-besaran) di apartmen tersebut pada Ahad lalu.
“Menurut saksi itu, Zayn Rayyan dilihat berseorangan berada di tingkat 2 dan 3 Blok R pada petang 5 Disember lalu,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Jelas beliau, pasukan forensik dijangka membawa dua kanak-kanak tersebut ke lokasi yang dimaksudkan untuk lakonan semula bagi membantu siasatan kes pembunuhan mangsa yang memasuki hari kelapan semalam.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan seorang kanak-kanak autistik ditemui mati dalam keadaan menyayat hati apabila mayatnya dibuang di kawasan anak sungai kira-kira 200 meter dari rumah keluarganya di Damansara Damai.
Sebelum itu, polis membuat hebahan mengenai kehilangan Zayn Rayyan yang dilaporkan hilang pada pukul 12.10 tengah hari 5 Disember lalu.
Ketika hilang, anak sulung daripada dua adik-beradik itu dikatakan memakai pakaian seragam sekolah. Hasil bedah siasat mendapati mangsa mati akibat dibunuh dengan kesan kecederaan pada leher dan badan.














