DALAM suatu perceraian, ia boleh terjadi berpunca daripada sikap si suami atau isteri. Perubahan sikap adakalanya menjadi titik tolak keretakan yang seterusnya membawa keruntuhan rumah tangga.
Menyorot kisah silam perkongsian hidupnya bersama bekas isteri, Arman (bukan nama sebenar) tidak akan pernah melupakan apa terjadi walaupun sudah berlalu hampir sedekad.
Bagi lelaki dari Simpang Renggam, Johor itu, dia langsung tidak pernah kesal dengan keputusan diambil untuk melepaskan isterinya suatu masa lalu.
“Perkenalan kami boleh dikatakan tidak terlalu lama dan tidak juga terlalu singkat. Kami kenal sama-sama di sebuah bar di ibu kota.
“Jujur saya katakan, kami berdua banyak persamaan. Kami agak sosial.
“Kami juga datang daripada keluarga yang porak-peranda. Mungkin disebabkan itu, kami saling memahami satu sama lain,” katanya.
Jelas Arman, dia dan isterinya Rozi (bukan nama sebenar) bagaimanapun mempunyai kerjaya yang agak baik dalam sektor swasta.
Akuinya, dia nekad untuk berubah dan ‘cuci tangan’ daripada segala perkara sosial dan haram di luar sana sebelum bernikah dengan Rozi.
“Kalau ikutkan memang dah lama saya ni jadi ‘jahat’ sejak dari zaman persekolahan sampailah dewasa.
“Bila berjumpa dengan Rozi, tiba-tiba terdetik di hati saya bahawa dialah wanita untuk menjadi suri hidup saya. Dia jugalah yang buat saya nekad untuk berubah menjadi lelaki dan ketua keluarga terbaik,” katanya.
Akuinya, perubahan dirinya turut diikuti isterinya yang juga mahu sama berubah lebih baik demi kebaikan rumah tangga. Dia dan isteri sama-sama berjanji untuk tidak terjebak lagi dengan masa silam bagi memfokuskan keluarga.
“Di awal fasa perkahwinan, saya nampak dia berusaha sedaya upaya secara perlahan-lahan dari segi solat, menjaga aurat dan sebagainya untuk menjadi isteri yang terbaik.
“Tapi saya tahu dan faham, nak berubah bukan satu perkara mudah. Saya sendiri pernah melalui perkara sama. Masa dan sokongan moral dua perkara yang sangat diperlukan,” katanya yang bersemangat menjadi suami yang baik selepas melihat isteri juga mahu berubah.
Kongsi Arman lagi, lima tahun bernikah dengan Rozi, semuanya baik-baik saja dan rumah tangga mereka juga diserikan dengan dua cahaya mata.
“Entah bagaimana, perubahan tersebut hanya seketika dan tidak lama.
“Memasuki tahun kelima perkahwinan, Rozi mula menjadi dirinya yang lalu. Dia mula buat hal tidak balik rumah, balik dalam keadaan mabuk dan tidak pergi kerja.
“Selain itu, kebajikan anak-anak juga terabai. Dia langsung tidak ambil kisah dengan anak-anak dan keluarga. Apa yang dia tahu keluar malam balik selepas subuh,” katanya.
Lama bertahan dan puas menasihati selain mencari alternatif memulihkan isterinya, akhirnya Arman putus asa.
Jelasnya, isterinya juga meminta dilepaskan kerana sudah penat ‘berpura-pura’ selama menjadi isteri dan mahu kembali menjadi dirinya sendiri.
Tiada lagi jalan dan usai memikirkan masak-masak, Arman melepaskan isterinya itu dengan talak satu dan hak penjagaan anak-anak pula diletakkan pada lelaki itu.














