SEBAIK sahaja mengenakan pakaian khas Jawa iaitu baju surjan dan menyarung sarung kepala blangkon, Fauzi Suhaimi, 34, terus duduk bersila di atas hamparan tikar yang telah disediakan.
Kemudian, tangannya lantas mengambil alat panahan yang ada di tepinya, sebelum bersedia melakukan aktiviti dinamakan sebagai jemparingan itu.
“Ini kali pertama saya melakukan aktiviti jemparingan (memanah sambil duduk bersila).
“Pada mulanya, agak sukar untuk melakukannya. Namun, setelah beberapa kali dilakukan, saya boleh melakukannya meskipun anak panah tidak tepat ke sasaran,” katanya kepada K2.
Tambahnya, aktiviti itu adalah satu pengalaman berharga kerana sebelum ini, dia langsung tidak mengetahui tentang aktiviti jemparingan.
Untuk makluman, Fauzi merupakan salah seorang wakil media dari Malaysia yang berpeluang melakukan aktiviti jemparingan ketika mengikuti lawatan Jogja Famtrip 2023 di Jogkajarta, Indonesia baru-baru ini.
Menurut Fauzi, dia kagum dengan komuniti yang masih melestarikan aktiviti jemparingan agar tidak pupus ditelan zaman.
“Berdasarkan maklumat yang saya dapat, aktiviti ini telah berusia ratusan tahun dan masih kekal dilakukan sehingga kini.
“Bukan itu sahaja, mereka turut memperkenalkan aktiviti ini kepada pengunjung asing dan menjadikan ia sebagai satu daya tarikan di Jogjakarta,” jelasnya.

Pada masa sama, penulis juga berkesempatan melakukan aktiviti tersebut bagi merasai sendiri pengalaman memanah sambil duduk.
Disebabkan memanah dalam posisi duduk, busur panah perlu dipegang dalam keadaan sikit condong bagi membolehkan panahan dilakukan.
Ini kerana, busur panah tersebut agak besar, sekali gus menyukarkan panahan dilakukan secara menegak.
Sementara itu, Ketua Jemparingan Alas Mentaok, Hangga Aji Sayekti berkata, jemparingan merupakan satu aktiviti memanah khas Kerajaan Mataram dahulu.
Menurutnya, apa yang unik tentang jemparingan, ia dilakukan dalam posisi duduk bersila.
“Berbeza dengan gaya memanah lain yang biasanya dilakukan sambil berdiri, jemparingan pula kita akan duduk sebelum melepaskan anak panah ke sasaran.
“Selain itu, kita menggunakan alat memanah tradisional, di mana busur dihasilkan daripada kayu dan buluh, manakala anak panah dibuat daripada buluh,” terangnya.
Mengulas lanjut, Hangga berkata, jemparingan sebenarnya membawa maksud anak panah dalam bahasa Jawa.
Untuk makluman, permainan jemparingan menggunakan anak panah dan busur tradisional yang masing-masing mempunyai nama lokalnya.
“Jemparingan ini terdiri daripada deder atau batang anak panah, wulu atau bulu pada pangkal anak panah dan bedor untuk kepala anak panah.
“Busur panahan pulak dinamakan sebagai gandewa yang terdiri daripada cengkolak atau pemegang busur dan lar atau bilah di kiri dan kanan cengkolak.
“Sementara itu, kendheng atau tali busur di setiap hujungnya dicantumkan pada hujung lar,” terangnya.

Tambahnya, sasaran anak panah dipanggil wong-wonan atau bandul yang berbentuk silinder tegak dengan panjang 30 sentimeter (cm) dan diameter 3cm.
Pada bahagian atasnya diwarnakan merah kira-kira 5cm. Di bahagian bawah bandul tergantung sebiji bola kecil.
Jika panahan terkena bola, mata akan ditolak.
Untuk melakukan aktiviti itu, peserta harus mengenakan pakaian tradisional Jawa yang lengkap dengan surjan, blangkon atau kebaya.
Menurut catatan sejarah, jemparingan telah wujud sejak Kesultanan Jogjakarta atau sejak zaman Sri Sultan Hamengku Buwono I pada tahun 1755 sehingga 1792.
Pada ketika itu, Sultan Hamengku menggalakkan pengikutnya belajar memanah sebagai satu cara membentuk watak kesatria ataupun pahlawan.
Watak kesatria yang dimaksudkan mempunyai empat nilai yang diperintahkan Sultan Hamengku kepada masyarakat Jogjakarta iaitu sawiji bermaksud konsentrasi, greger (semangat), sengguh (percaya diri) dan ora mingkuh (rasa tanggungjawab).
Pada mulanya, sukan itu permainan yang hanya dimainkan dalam kalangan kerabat Kerajaan Mataram.
Selain itu, jemparingan lazimnya dijadikan pertandingan dalam kalangan perajurit kerajaan.
Namun, seiring berjalannya waktu, seni memanah sambil duduk itu semakin diminati dan dimainkan oleh ramai orang daripada segenap lapisan masyarakat.
Mengulas lanjut, Hangga berkata, melalui aktiviti berkenaan, ia mampu membuatkan seseorang itu mudah untuk menenangkan hati.
“Ketika melakukan aktiviti ini, kita harus memberi konsentrasi ataupun penumpuan.
“Ia membuatkan kita mudah untuk menenangkan hati.
“Dalam keadaan hati yang tenang, kita harus percaya diri sebelum membuat keputusan melepaskan panahan sehingga anak panah mengenai sasaran seperti diharapkan,” jelasnya.
Sementara itu, Hangga menjelaskan, jemparingan merupakan satu warisan yang harus dilestarikan bagi membolehkan ia terus kekal sepanjang masa.
Rentetan itu, penganjuran pertandingan jemparingan sering diadakan di Jogjakarta bagi membolehkan generasi muda meneruskan tradisi tersebut.














