fbpx
kehidupan penduduk tidak lagi aman apabila diancam serangan harimau belang ketika hendak ke kebun atau ladang kelapa sawit di kawasan Kampung KualaTool, Gua Musang.

Kerana babi, rusa harimau baham manusia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GUA MUSANG – Kekurangan populasi babi liar dan rusa di dalam hutan disyaki menjadi punca utama harimau belang keluar dari habitat asal untuk ‘me­nukar selera’ dengan menyerang manusia sebagai santapan.

Penghulu Orang Asli suku kaum Bateq, Kampung Aring 5, Pos Lebir, Raina Anjang berkata, sejak kebelakangan ini mereka jarang melihat babi liar dan rusa di kawasan hutan yang turut menjejaskan sumber makanan mereka.

Katanya, biasanya harimau hanya merayau di kawasannya sahaja untuk mencari makanan kerana ia tidak dapat hidup lama jika kelaparan.

“Harimau perlu memburu untuk menambah tenaga. Seekor babi atau rusa dewasa membo­lehkan pak belang kenyang selama 10 hari.

“Namun, ketika ini kami me­rasakan babi dan rusa semakin kurang yang menjadi punca harimau keluar habitat kerana sudah kehabisan makanan,” katanya kepada Kosmo!.

Semalam Kosmo! melaporkan, seorang lelaki warga Indonesia, Syabaini, 36, mati selepas dibaham harimau di kawasan ladang getah Kampung Kuala Tool, di sini pada Rabu lalu.

Mayatnya ditemui dengan anggota tubuh badan yang tidak sempurna apabila kehilangan tangan kanan, cedera pada bahagian leher dan kedua-dua ibu jari kaki.

Menurut Raina, situasi itu telah menjejaskan sumber makanan Orang Asli yang bergantung kepada hutan sebagai ‘pasar raya’ mereka.

Tambahnya, kehidupan 10 tahun lalu berbeza apabila penduduk dapat membawa pulang rusa atau haiwan lain untuk hidangan ahli keluarga mereka.

“Bagaimanapun, dalam tempoh tiga hingga lima tahun ini kami tidak dapat lagi merasai hidangan mewah itu. Hendak dapat seekor pun payah berban­ding tiga empat ekor dapat dibawa pulang dengan sekali masuk ke hutan sebelum ini,” katanya.

Ujar Raina, mereka kini hanya bergantung kepada haiwan bersaiz kecil seperti ayam hutan, landak dan tupai.

“Populasi haiwan liar semakin pupus disebabkan kerakusan pemburu haram atau ‘penyakit misteri’ yang menimpa haiwan berkenaan. Ada penduduk pernah terserempak dengan penceroboh hutan yang rakus memburu haiwan liar,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk Orang Asli Pos Bihai, Hassan Achoi, 60, berkata, mereka tidak dapat hidup bebas dan aman lagi apabila kes serangan harimau semakin kerap berlaku sejak ke­belakangan ini.

“Harimau sebenarnya pemalu dan tidak pernah tonjolkan diri di depan manusia, tetapi kini lain pula jadinya selepas habitatnya diganggu dan makanan sudah habis,” katanya.

Menurut Hassan, Orang Asli percaya harimau tidak akan duduk diam dan akan membuat gangguan apabila habitatnya dikacau.

“Kami hanya mampu berdoa saja ketika ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Ja­ringan Kampung Orang Asli Kelantan, Mustafa Along berkata, pihak berkuasa pusat perlu mencari jalan untuk menyelesaikan masalah itu.

“Krisis manusia-harimau kini semakin kerap dan kami yang menjadi mangsa. Ia disebabkan kemusnahan ekosistem alam berpunca daripada pembalakan dan pembukaan ladang mega di kawasan Hulu Kelantan.

“Makin parah apabila Projek Empangan Sungai Nenggiri siap dibina kelak,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN