Saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim ini akhirnya menutup tirainya selepas saingan Grand Prix Valencia Ahad lalu yang menyaksikan Francesco ‘Pecco’ Bagnaia dinobatkan sebagai juara dunia.
Kejayaan Pecco menyaksikan pelumba Ducati itu berjaya mengekalkan kejuaraan buat kali kedua berturut-turut dan mengesahkan penguasaan pengeluar jentera yang berpangkalan di Bologna, Itali itu meneruskan dominasi mereka.
Sebahagian peminat menganggap saingan MotoGP sejak musim lalu sudah hilang nilai kompetitifnya apabila penguasaan sepenuhnya dimiliki Ducati meninggalkan pengeluar lain termasuk Yamaha, Honda, Aprilia dan KTM yang jelas gagal menyaingi kepantasan mereka.
Di grid perlumbaan juga menyaksikan lapan jentera Ducati bersaing menerusi empat pasukan berbeza, namun terima kasih buat pihak pengurusan jenama berkenaan yang tidak mengeluarkan apa-apa ‘team order’ sekali gus membolehkan peminat masih menikmati persaingan sengit antara pelumba.
Hasilnya, timbul beberapa nama seperti Fabio Di Giannantonio, Marco Bezzecchi termasuk Jorge Martin yang paling dominan mencabar kehebatan Pecco sehingga penghujung musim sebelum akhirnya terpaksa mengalah di Valencia selepas gagal menamatkan saingan.
Sebahagian peminat tegar saingan paling berprestij dua roda itu mencemuh kredibiliti saingan MotoGP ekoran penguasaan Ducati, namun adalah wajar untuk kita menyoroti perjuangan panjang mereka terlebih dahulu untuk selesa menguasai puncak ketika ini.
Selepas kali terakhir memenangi kejuaraan dunia pada musim 2007 menerusi Casey Stoner, Ducati kemarau kejuaraan untuk tempoh yang cukup lama sebelum kembali menguasainya musim lalu dan ini adalah musim kedua mereka memenanginya, sekali gus ia mungkin tidak adil untuk menganggap mereka menjadikan saingan itu semakin hambar.
Ducati bekerja cukup keras untuk tempoh lebih sedekad untuk mereka menikmati apa yang dicapai ketika ini dan detik paling signifikan adalah ketika mereka memiliki Andrea Dovizioso dan Jorge Lorenzo yang dikatakan berjaya menghasilkan banyak data yang membantu pembangunan jentera yang paling stabil dan sempurna ketika ini.
Bagi saingan musim depan, tidak ada tanda-tanda penurunan prestasi untuk jentera Ducati, malah tindakan Gresini Racing membawa masuk Marc Marquez dan Pramac Racing menyelamatkan karier Franco Morbidelli dari Yamaha bakal menyaksikan mereka terus menjadi penguasa utama di trek MotoGP.
Kemenangan kali kedua Ducati ini seharusnya menjadi pembakar semangat buat dua pengeluar dari Jepun yang masih tinggal, Yamaha dan Honda untuk menghasilkan jentera yang lebih kompetitif musim depan.
Tindakan Honda yang mula menggunakan teknologi enjin V4 menjadi detik awal perubahan biarpun masih belum memperlihatkan peningkatan ketara, namun Yamaha yang masih menggunakan inline-4 belum sedia untuk berubah biarpun secara jelas membuatkan mereka gagal teruk untuk memberikan saingan untuk kelompok hadapan.














