KETIKA ini, seperti bermusim apabila ramai pelakon meluahkan rasa kecewa dipinggirkan dan kurang tawaran berlakon. Bagi segelintir yang terpinggir, bakat dimiliki dilihat seperti tiada nilai, malah mendakwa ramai pengarah dan penerbit hanya mengejar aktor atau aktres yang boleh ‘dijual’ demi melariskan karya terbitan.
Namun, tiada siapa pernah tahu bahawa Zahiril Adzim juga sedang menghadapi situasi dan masih tercari-cari jawapan tentang persoalan sama menimpa diri.
Mungkin faktor usia. Itu yang yang berlegar dalam fikiran saat memikirkan soal tawaran yang mulai kurang menjengah jadual kariernya sejak kebelakangan ini.
Enggan meletakkan andaian negatif mengenai hal berkenaan, bintang Juvana itu hanya meletakkan faktor usia sebagai penyebab utama sukar disinggah tawaran watak bersesuaian.
Akui pelakon berusia 39 tahun itu, jadualnya kosong sejak Hari Raya Aidilfitri tahun lalu.

Faktor usia
“Naskhah terakhir lakonan saya adalah filem Budak Flat untuk Prime Video kemudian tiada tawaran sehinggalah baru-baru ini ada penggambaran untuk drama TV3, hanya watak pembantu sahaja.
“Tidak tahulah mengapa situasi itu berlaku sehingga tiada tawaran yang masuk. Saya anggap tiada rezeki,” kata pemilik nama penuh Muhammad Zahiril Adzim Mohd. Mokhtar itu kepada HibGlam baru-baru ini.
Zahiril yang mula memahat nama sebagai pelakon menerusi filem Kami The Movie itu berpendapat faktor usia iaitu memasuki fasa awal 40-an antara punca utama kurang tawaran lakonan.
“Mungkin juga sudah semakin berusia. Pelakon seangkatan saya pun sedang melalui fasa sama (kurang tawaran).
“Faktor usia boleh beri impak pada jenis watak yang hendak ditawarkan pengarah.
“Kalau nak pegang watak bapa terlalu muda, kalau nak jadi pelajar sekolah pula terlalu tua. Barangkali itu faktor saya kurang dipanggil berlakon,” ujarnya.
Sebenarnya, bapa anak satu itu bukanlah seorang yang terlalu terlalu cerewet berhubung apa sahaja tawaran watak tetapi jalan cerita dan karakter haruslah bersifat realistik.
“Sebelum ini memang pernah ambil watak bapa tetapi pelakon yang pegang watak sebagai anak, sama tinggi pula dengan saya.
“Bukan memilih tetapi sehingga hari ini pun, kalau jenis jalan cerita tidak logik, memang saya tak okey,” tuturnya.
Ditanya sama ada dia terbuka untuk menerima watak lelaki bertubuh kekar, aktor itu akan meneliti keperluan untuk jalan cerita terlebih dahulu.

Sado
“Saya bukan anti hero sado tetapi kalau lihat semula, pemenang Oscar pun tidak ada badan sebegitu.
“Okey sahaja untuk pegang watak sebegitu tetapi perlu teliti apa keperluan untuk jalan cerita.
“Janganlah suruh saya pegang watak lelaki kampung atau miskin tetapi badan kekar. Celah mana pula dapat duit pergi gimnasium,” selorohnya.
Mengulas lanjut, paparan watak hero berbadan kekar hari ini lebih kepada terbawa-bawa budaya industri hiburan di Hollywood.
Sebaliknya, paparan yang hendak dihidangkan kepada penonton tempatan haruslah bersifat realistik dan sesuai dengan budaya serta cara hidup masyarakat negara ini.
“Mungkin kita terlalu mengikut cara di Hollywood untuk sado tetapi hakikatnya mereka tinggi, kita pula saiz orang Asia yang adakalanya nampak tak kena.
“Semuanya perlu berbalik kepada budaya dan berpijaklah di bumi yang nyata. Bolehlah ada badan cantik sebegitu, tetapi biarlah realistik.
“Kalau dapat watak orang susah, badan kekar, kau makan apa? Angkat kelapa sawit hari-hari?” getusnya.

Budak Flat
Beralih kepada naskhah terbaharunya, Budak Flat, Zahiril tidak mengambil masa lama untuk bersetuju terlibat dalam naskhah arahan Eugene Lim itu.
Dia mudah ‘jatuh cinta’ dengan jalan cerita yang memaparkan kehidupan sisi gelap penduduk rumah flat termasuk semangat Eugene.
“Lihat semangat Lim buat saya rasa nak tolong dia.
“Ketika dia jumpa saya untuk hidangkan idea mengenai Budak Flat, dia bawa satu buku, semua idea dan jalan cerita ada dalam itu.
“Saya lihat dia ada semangat besar. Selepas menonton hasilnya, saya lihat dia pengarah baru yang bijak. Mampu kekalkan rasa suspens, thriller dalam setiap babak serta watak,” jelasnya.
Hasil yang hebat membuatkan suami kepada aktres Shera Ayob itu rasa berbaloi menabur tenaga dan jiwa untuk filem tersebut.
“Tidak rasa rugi untuk menabur tenaga untuk filem ini sebab hasilnya memang mantap.
“Mungkin akan ada yang cakap kisah mengenai penduduk di rumah flat kerap dihasilkan tetapi bagi saya, Budak Flat berbeza.
“Cara Lim paparkan kehidupan di rumah flat dalam filem ini memang lain. Jalan cerita yang tak mudah diteka,” tuturnya.
Menerusi Budak Flat terbitan Skop Production, Zahiril yang memegang watak sebagai Aman turut bergandingan dengan Pablo Amirul, Nabila Huda dan Datuk Aaron Aziz.















