fbpx
Golongan lelaki yang mahu berpoligami perlu berlaku adil terhadap pasangan dan bakal isteri. – GAMBAR HIASAN

Fikir 100 kali sebelum tambah isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Poligami bukan penyelesaian utama kepada masalah ‘bujang senja’ dalam kalangan wanita di negara ini seperti yang dicadangkan seorang Ahli Parlimen di Dewan Rakyat kelmarin.

Pakar Kaunseling Keluarga, Hushim Salleh berkata, amalan beristeri lebih daripada seorang itu sebaliknya boleh mengundang stres kepada pihak terlibat termasuk isteri pertama.

“Saya tidak menentang po­ligami, tetapi sebagai kaunselor sejak tahun 1980, saya mendapati 95 peratus wanita tidak bersetuju dengan poligami.

“Ini disebabkan pengalaman mereka yang menghadapi pen­deritaan emosi, mental dan fizikal yang agak dahsyat. Banyak kes yang diterima mendapati isteri pertama menderita.

“Jadi kalau rasa hendak kahwin lebih daripada seorang, lebih baik fikir 100 kali dahulu kerana selepas itu (berpoligami) memang stres,” katanya kepada Kos­mo! di sini semalam.

Menurut Hushim, poligami yang dituntut dalam Islam dibolehkan sekiranya golongan suami itu berlaku adil.

“Tetapi adil itulah yang selalunya menjadi isu,” katanya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man kelmarin mencadangkan kerajaan supaya memberi soko­ngan moral kepada lelaki untuk berpoligami bagi menyelesaikan masalah wanita yang lewat kahwin dan sukar dapat jodoh.

Mengulas lanjut, Hushim memberitahu, banyak kes kaunseling melibatkan poligami yang beliau kendalikan membabitkan ketidakadilan dari sudut kewa­ngan dan masa.

Justeru, katanya, lelaki yang mahu berpoligami perlu benar-benar layak dalam semua aspek bagi mengelak isteri pertama dan kedua teraniaya.

“Tidak ramai lelaki masa kini yang berkemampuan untuk berlaku adil terutama aspek kewa­ngan,” katanya.

Ujar beliau, secara realitinya, ramai golongan ‘bujang senja’ di negara ini dalam kalangan lelaki berbanding wanita yang mungkin berlaku disebabkan antaranya hantaran terlalu tinggi.

Data Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2020 menunjukkan seramai 4.8 juta golongan bujang adalah lelaki, manakala selebihnya adalah wanita.

Hushim kemudian menyarankan kaedah lain bagi menyelesaikan masalah ‘bujang senja’ antaranya penganjuran program temu jodoh.

Dalam pada itu, Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Rafidah Aga Mohd. Jaladin juga tidak bersetuju dengan cadangan poligami dalam mengatasi isu ‘bujang senja’ dalam kalangan wanita.

Jelas beliau, poligami bukan penyelesaian utama kepada perkara itu jika mengun­dang kacau bilau dan kemudaratan pihak tertentu.

“Perlu perspektif kedua-dua belah pihak sama ada wanita yang dikategorikan sebagai ‘bujang senja’ dalam perkara ini mahupun lelaki yang dikatakan mampu dan adil.

“Mulut cakap mampu (adil), tetapi secara holistik mungkin banyak perkara tidak dapat penuhi,” katanya.

Tambah beliau, perkahwinan bukan hanya melibatkan kehidupan dua individu, sebaliknya insitusi kekeluargaan dan komuniti.

“Kena ingat terdapat perbezaan antara keperluan dan kemahuan. Apakah yang mahu poligami itu kerana keperluan atau kemahuan.

“Ada individu lebih selesa tidak berkahwin atau berkahwin lambat kerana ada perkara mahu diselesaikan terlebih dahulu,” kata beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN