DALAM perkahwinan, ia bukan melibatkan penyatuan dua insan semata-mata.
Sebaliknya, apabila seseorang itu memilih untuk mendirikan rumah tangga, ini bermakna setiap ahli keluarga pasangan akan menjadi sebahagian daripada mereka.
Pun begitu, ada juga pasangan yang berhadapan dengan cabaran dalam perkahwinan apabila terdapat campur tangan keluarga dalam mahligai yang mereka bina.
Seorang wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Zila tidak terlepas daripada cabaran itu dan rumah tangga yang dibina dengan suami tercinta akhirnya terlerai dek hal tersebut.
“Saya tidak menyangka bahawa keluarga mentua saya adalah keluarga ‘toksik’ sehingga menyebabkan saya dan suami saya berpisah.
“Saya mengambil keputusan untuk keluar daripada persekitaran itu bagi membolehkan saya dan dua anak saya dapat hidup dalam suasana harmoni,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Zila berkata, dia serta suaminya menjalinkan hubungan di universiti sebelum mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga.
Sebelum berkahwin, dia bekerja di ibu kota dan suaminya itu bekerja dengan keluarganya di sebuah negeri di utara Semenanjung.
Setelah mereka mendirikan rumah tangga, Zila terpaksa berhenti kerja dan berhijrah untuk tinggal di rumah keluarga suaminya.
“Suami saya ini boleh saya ibaratkan sebagai ‘anak emak’ kerana dia akan ikut sahaja apa cakap emaknya.
“Malah, setelah berkahwin, saya juga harus tinggal bersama-sama dengan keluarganya.
“Bukan itu sahaja di dalam rumah ini turut ada keluarga kakak ipar saya yang tinggal bersama,” jelasnya.
Zila berkata, mentuanya boleh dikatakan agak berada dan dia membina rumah yang agak besar bagi membolehkan anak menantunya tinggal sekali.

– Gambar hiasan
Pada mulanya, Zila tidak kisah untuk tinggal bersama, tetapi lama-kelamaan dia berasa tertekan.
Banyak perkara yang membuatkan dirinya tidak selesa berada di rumah itu. Sejak mula tinggal di situ, percakapan kasar ibu mentuanya yang suka memaki hamun membuatkan dirinya sudah berasa rimas.
Ada ketikanya, dia juga makan hati dengan apa yang dikatakan oleh ibu mentua kepadanya.
“Saya berasal daripada keluarga yang tidak bercakap kasar dan memaki hamun, tetapi apabila mendengar apa yang dikatakan itu membuatkan saya rasa amat terkejut.
“Malah, ibu mentua saya juga mahu semua orang ikut apa sahaja keputusannya,” terang Zila.
Ada satu ketika, Zila terpaksa membatalkan percutian bersama keluarganya sendiri yang telah dirancang lebih awal semata-mata mengikuti kehendak ibu mentuanya itu.
Lebih menyakitkan hati, Zila turut merasakan seperti menjadi ‘orang gaji’ di rumah tersebut.
Memandangkan Zila tidak bekerja, jadi semua kerja rumah harus dilakukan olehnya.
“Kakak ipar dan biras saya masing-masing bekerja dan mereka tidak melakukan sebarang kerja rumah kerana memberi alasan penat bekerja.
“Akhirnya saya seorang sahaja yang harus melakukan kerja-kerja rumah termasuk membasuh pakaian mereka,” jelasnya.
Zila cuba mencari kerja tetapi suaminya itu tidak mengizinkan dan memintanya untuk membantu ibunya di rumah.
Malah, hubungannya dengan kakak iparnya serta birasnya juga tidak berapa baik disebabkan Zila pernah mengingkari arahan mereka kerana tidak tahan lagi dengan sikap mereka.
Sejak peristiwa itu, Zila seakan dipulaukan oleh mereka serta ibu mentuanya.
Lama-kelamaan Zila berasa cukup tertekan untuk terus tinggal di rumah itu dan mengajak suaminya untuk berpindah.
Namun, suaminya tidak mahu berpindah dan mahu terus tinggal bersama keluarganya.
Dia turut makan hati dengan suaminya kerana melebihkan keluarganya berbanding dirinya.
Pada satu ketika, Zila sendiri seakan hilang sabar apabila mendapat tahu bahawa kakak ipar, biras dan ibu mentuanya mengumpat tentang dirinya kepada saudara-mara mereka yang lain.
Kemuncak daripadanya, dia bertindak meninggikan suara untuk mempertahankan dirinya dan pergaduhan mulut berlaku antara mereka.
“Saya sudah tidak tahan lagi dan mengambil keputusan untuk membawa anak saya untuk keluar dari rumah itu dan pulang ke rumah ibu bapa saya.
“Saya mencari ketenangan di rumah orang tua saya dan setelah bertenang saya berbincang dengan suami saya tentang masa depan keluarga kami.
“Saya memberi kata putus kepadanya jika dia ingin saya kembali ke sisinya, mereka harus keluar pindah dari rumah itu. Jika tidak, saya memilih untuk berpisah dan membawa haluan masing-masing,” jelasnya.
Suaminya tidak mahu berpindah dan ingin terus tinggal di rumah tersebut kerana itu adalah arahan ibunya.
Akhirnya setelah berfikir panjang, Zila nekad untuk tidak mahu kembali ke rumah itu dan dia memilih untuk berpisah.
Mereka berdua kemudiannya berpisah secara baik di sebuah mahkamah syariah.














