fbpx

Johor kenal pasti 874 ‘hotspot’ banjir menjelang Monsun Timur Laut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar fail menunjukkan keadaan banjir di Kampung Baru Muafakat Gelang Patah, Johor Jun lalu. - Foto RAJA JAAFAR ALI

ISKANDAR PUTERI – Sejumlah 874 kawasan ‘hotspot’ banjir telah dikenal pasti di seluruh negeri ini ekoran Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka akan melanda bermula esok hingga Mac 2024.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi sehubungan itu berkata, kerajaan negeri telah mengarahkan setiap aset, logistik dan sistem amaran awal bencana diperiksa agar berfungsi dengan baik sebagai persediaan awal.

Menurut beliau, beberapa pelan tindakan juga telah dibincangkan menerusi Mesyuarat Penyelarasan Persediaan Menghadapi MTL, semalam.

“Jabatan Meteorologi Malaysia telah memberi amaran tiga hari sebelum hujan lebat yang dijangka berterusan di daerah masing-masing. Oleh itu, setiap Pegawai Daerah diminta membuat Mesyuarat Penyelarasan Bencana dalam tempoh 24 jam selepas mendapat amaran tersebut.

“Kerajaan negeri turut mencadangkan agar program gotong royong membersih saliran, longkang dan parit di setiap daerah dan kampung diadakan terutamanya di tempat yang kerap berlaku banjir. Usaha ini sedikit sebanyak mampu mengurangkan risiko kenaikan air mendadak,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut di Kota Iskandar, di sini.

Tambah beliau, mesyuarat itu turut membincangkan situasi pencemaran sungai di negeri ini melibatkan Sungai Tebrau, Sungai Skudai, Sungai Kim Kim dan Sungai Selangkah.

“Masalah berkenaan perlu diberi perhatian serius dan langkah pencegahan perlu dilaksana segera agar pencemaran sungai dapat diatasi dengan baik.

“Beberapa langkah telah diambil, namun saya seru rakyat Johor untuk sama-sama menjaga kebersihan sungai, kerana kebersihan mencerminkan kehebatan dan mentaliti bangsanya,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI