fbpx
WANNA ALI

Wanna Ali suka lelaki tulen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUDAH lebih 10 tahun pelakon dan penyanyi jelita itu menempatkan diri dalam industri seni hiburan tanah air.

Atas usaha sendiri, pemilik nama pentas Wanna Ali itu seboleh-bolehnya mencipta populariti, tanpa mengharapkan pengaruh daripada ibunya iaitu penerbit terkenal, Datuk Ayu Puteh.

Selepas sedekad juga, Wanna sebenarnya sudah ada rencana mahu meletakkan titik noktah dalam bidang seni usai mendirikan rumah tangga yang mulanya dirancang pada tahun hadapan.

Namun begitu, takdir yang tertulis berbunyi lain janji yang diikat bersama seorang ahli perniagaan terlerai di tengah jalan baru-baru ini.

Kata pelakon berusia 26 tahun itu, jika diikutkan, dia telah pun merancang untuk bersara daripada dunia seni.

Dia juga mahu memberi tumpuan sepenuhnya terhadap keluarga dan perniagaan yang bakal diusahakan selepas berkahwin.

Putus cinta

Tidak kesal atas apa yang berlaku, Wanna atau nama lengkapnya Nor Syazwana Mohd. Ali bersyukur dengan penentuan Tuhan buat dirinya. Barangkali ada pengganti lebih baik di kemudian hari.

“Kalau ikutkan perancangan, saya bakal menamatkan zaman bujang pada tahun hadapan. Kami berdua sudah pun berbincang untuk ke fasa yang lebih serius (bergelar suami isteri).

“Saya sendiri sudah mengambil keputusan untuk berhenti daripada dunia seni selepas berkahwin dan menjalankan perniagaan bersama-sama.

“Dia sendiri kata, selepas berkahwin, dia tidak mahu saya aktif lagi dalam bidang seni. Malah dia turut berjanji untuk menyokong saya dari belakang.

“Tetapi jodoh kami tidak panjang. Hubungan kami berakhir sekitar pertengahan tahun ini,” ujarnya.

Ketika disoal tentang punca perpisahan tersebut, tiada lagi persefahaman menjadi sebab hubungan cintanya bersama jejaka itu berakhir.

Akibatnya, segala yang diimpikan harus ketepikan selain terpaksa menarik semula hasrat mengucapkan selamat tinggal terhadap kerjaya seni.

“Puncanya kerana tiada lagi persefahaman. Mungkin kerana kami terlalu cepat berbincang mengenai fasa perkahwinan,” ujarnya dalam senyuman.

Jejaka idaman

Tinggalkan seketika episod perpisahan itu, Wanna tidak kekok berkongsi kriteria jejaka impian apabila mengakui tidak berminat dengan lelaki yang suka berkongsi kehidupan peribadi dalam media sosial.

“Kalau disoal tentang jejaka idaman, sejujurnya saya suka lelaki yang misteri dan tulen.

“Tak tahulah, saya kurang berkenan dengan lelaki yang suka berkongsi gambar dalam media sosial.

“Selain itu, saya juga kurang berminat dengan lelaki berstatus selebriti. Kalau ada selebriti lelaki yang cuba mendekati, saya akan mengelak.

“Saya lebih selesa jika hubungan kami sekadar rakan kerja sahaja,” jelasnya.

Bercakap soal rakan, Wanna mengakui sebenarnya dia tidaklah mempunyai ramai kenalan rapat, sekadar boleh dikira dengan jari.

Hati-hati

Kata Wanna, dia bukannya memilih, namun lebih kepada berhati-hati selepas pernah mengalami situasi dianiaya rakan baik sendiri suatu ketika dahulu.

“Saya ada pengalaman buruk apabila terlalu percayakan seorang rakan yang akhirnya mengkhianati saya apabila bercerita tentang rahsia yang saya kongsikan dengan orang lain.

“Walaupun hubungan kami kembali baik, namun saya sukar untuk mempercayai seseorang selepas itu.

“Selepas dia ‘kantoi’, saya menjadi amat berhati-hati dalam memilih kawan.

“Saya enggan pisang berbuah dua kali. Alhamdulillah saya masih ada kawan dalam industri seni yang saya rapat selain kenalan yang ada bersama-sama ketika saya bukan siapa-siapa,” katanya.

Sempat berkongsi rasa gembira, Wanna bersyukur apabila rezekinya semakin mencurah-curah bukan sahaja dalam kerjaya seni, bahkan sebagai duta untuk produk kecantikan.

“Alhamdulillah, saya baru sahaja dilantik menjadi jurucakap kepada produk kecantikan, Millefleur.

“Rezeki ini saya anggap cukup luar biasa.

“Kalau bercakap tentang ‘mengejar duit’, saya tidak sewenang-wenangnya akan bersetuju untuk menjadi duta kepada sesebuah produk.

“Pelantikan sebagai duta produk ini juga membuktikan kehadiran saya dalam industri seni ini semakin diterima ramai dan saya bersyukur apabila peminat mula meyakini kemampuan saya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN