fbpx
Sebahagian individu yang ditahan dalam Ops Selat dibawa untuk mendapatkan perintah reman di Mahkamah Majistret Putrajaya baru-baru ini.

Staf imigresen terlibat kongsi gelap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang anggota imigresen yang diberkas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini dipercayai merupakan seorang ahli kongsi gelap.

Satu sumber berkata, siasatan awal mendapati, suspek lelaki berusia berusia 31 tahun itu turut memiliki rekod jenayah kes mencuri kenderaan dan samun.

Pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan jenayah yang dilakukan suspek sebelum dia menyertai perkhidmatan awam itu diteruskan dengan kegiatan penyeludupan migran selepas lelaki itu bergelar kakitangan imig­resen.

“Suspek dipercayai merupakan ahli sindiket curi kenderaan dan samun berkumpulan yang didalangi oleh ejen yang turut diberkas oleh SPRM dalam Ops Selat baru-baru ini.

“Semakan dengan pihak polis mendapati lelaki itu memiliki rekod jenayah. Dia juga dipercayai terlibat sebagai anggota kongsi gelap,” kata sumber itu kepada Kosmo! di sini semalam.

Mengulas mengenai perkembangan siasatan Ops Selat, sumber itu memberitahu, seramai 12 ejen pekerja asing yang diberkas dalam operasi tersebut merupakan ahli sindiket penyeludupan migran antarabangsa.

Salah seorang ejen yang ditahan tersenarai dalam orang dikehendaki polis membabitkan kes samun berkumpulan, curi ken­deraan dan pelacuran membabitkan warga China.

“Siasatan turut mendapati ejen yang ditahan itu menyimpan empat kenderaan mewah termasuk Rolls-Royce Phantom, Ford Mustang, Audi dan Range Rover yang ‘dimiliki’ oleh anggota imigresen Gred 19 tersebut,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Norazlan Mohd. Razali memberitahu, seramai 56 individu telah ditahan dalam Ops Selat terdiri daripada 34 anggota dan pegawai imigre­sen, 12 ejen serta 10 orang awam.

“Seramai 10 orang awam yang ditahan itu merupakan keldai akaun yang digunakan sindiket berkenaan untuk menyimpan wang rasuah yang dikutip,” katanya.

Pihak berkuasa memandang serius kegiatan jenayah tersebut dan tindakan tegas akan diambil terhadap ejen pekerja asing yang terlibat.

Kosmo! pada Sabtu lalu me­laporkan seorang kakitangan imig­resen Gred 19 dikesan ‘memiliki’ empat kereta mewah terma­suk jenis Rolls-Royce Phantom berharga sekitar RM6 juta dipercayai hasil kegiatan pemalsuan cap di pintu utama negara.

Gaya hidup mewah suspek itu terbongkar selepas SPRM menahan 28 anggota dan pegawai imigresen di Selangor dan Johor baru-baru ini.

Kenderaan-kenderaan mewah itu diberikan kepada anggota tersebut sebagai habuan kerana membantu membuat setting counter di pintu masuk negara.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN