fbpx
DATUK SHAKE

Datuk Shake pulang ke gagang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ANDAI dihitung pengalaman penghibur tersohor era 1980-an iaitu Datuk Shake, sememangnya tidak mampu disangkal kredibilitinya selaku penggiat seni yang disegani ramai.

Biar berkelana di negara orang mencari rezeki dan akhirnya membina keluarga di Perancis, semangat cintakan tanah air terpatri kukuh dalam jiwa anak jati Johor itu.

DATUK Shake menghimpunkan kisah suka duka hampir lima dekad dalam industri hiburan dan tinggal di luar negara dalam sebuah memoir.

Jiwa di tanah air

Menurut pemilik nama sebenar Sheikh Abdullah Sheikh Ahmad Bahwere itu, tanah tumpah darah tetap berada dalam sanubari tidak kira di mana pun bumi dipijak.

“Anak muda pada era saya berani mengembara mencari pengalaman. Langkah saya bermula di Amerika Syarikat selama beberapa tahun sebelum bermastautin di Paris.

“Apabila di negara orang, kita kena pandai bawa diri dan sepanjang tempoh itu, saya jelajah banyak tempat hingga akhirnya dapat menghasilkan lagu Inggeris dan Perancis.

“Banyak pengalaman diraih yang mengajar kita supaya kuat semangat. Apa pun, Malaysia tetap di hati,” kata Shake, 73, yang tidak sabar pulang ke tanah air, bulan depan.

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Umi itu, kembara serta pengalaman sejak tahun 1970-an itu cuba dikompilasikan dalam sebuah naskhah untuk tinggalan anak cucu.

WALAU separuh usia tinggal di negara orang, jiwa dan semangat penghibur asal Johor itu tetap kental kemelayuannya.

Bikin memoir

Shake yang juga bapa kepada empat cahaya mata memaklumkan, proses tersebut dimulakan ketika musim serangan Covid-19 yang mengakibatkan semua sektor ditutup.

“Ketika itu saya juga seperti penduduk dunia yang lain hanya bekerja dari rumah dan terkurung berikutan impak serangan virus maut itu.

“Dari situ timbul hasrat untuk melakukan sesuatu yang berbeza iaitu mengarang dan mengumpulkan bahan untuk memoir pengembaraan seni saya.

“Banyak yang ingin saya dokumentasikan dalam sebuah naskhah dilengkapi himpunan gambar untuk menceritakan perjalanan saya termasuk jelajah seluruh Eropah.

“Memoir itu masih dalam proses pembikinan, namun saya harap dapat direalisasikan secepat mungkin,” katanya yang teruja untuk berkongsi naskhah tersebut.

SEBANYAK 20 lagu termasuk Umi, Pulanglah dan beberapa seleksi daripada album berbahasa Perancis serta Inggeris bakal dibawakan pada Dato Shake Concert 2023.

Konsert solo

Bercerita pula mengenai kepulangannya kali ini, penghibur yang sudah merakamkan 10 album itu mengakui tidak sabar untuk meleraikan kerinduan peminat.

Katanya, sekian lama menanti akhirnya hasrat tampil dalam sebuah konsert mega bakal direalisasikan InTour Live Events dan iMe Entertainment Group selaku penganjur.

Penyanyi itu juga bakal meraikan hampir lima dekad pembabitannya dalam arena muzik tahun ini sekali gus menjadikan Dato Shake Concert 2023 di Zepp KL pada 16 Disember depan cukup bermakna.

“Saya sudah lama mengimpikan konsert solo di tanah air kerana terakhir saya mengadakan konsert adalah pada 1984, selepas itu pulang pun untuk persembahan makan malam sahaja.

“Sepatutnya konsert ini diadakan pada 2020 dengan pelbagai persediaan rapi dibuat tetapi serangan pandemik membuatkan hasrat itu terbantut.

“Sudah pasti sekian lama tidak beraksi di tanah air menyuntik adrenalin, apatah lagi saya difahamkan Zepp KL antara pentas terbaik di Malaysia,” katanya.

SHAKE menjanjilkan sebuah konsert yang akan bergema dengan lagu-lagu pelbagai bahasa.

Penyanyi yang berkongsi perancangan konsert menerusi wawancara secara maya bersama media tempatan, baru-baru ini turut memperincikan konsep persembahannya nanti.

Malah, personaliti yang kental jiwa kemelayuan itu turut menjangkakan aksi penuh bertenaga menerusi konsert berdurasi 90 minit.

Paling pasti, konsert itu akan membawa penonton melewati terowong masa yang sarat warna dengan menyajikan repertoire popularnya dari era 1970-an sehingga 1990-an.

Luah Shake, beliau akan membawakan perjalanan muzikal kerjayanya sejak 1976 hinggalah 2023 dengan menyanyikan lagu asalnya dalam tiga bahasa iaitu Perancis, Inggeris dan Melayu.

“Kalau saya cerita semua tentu hilang elemen kejutan, cuma apa yang boleh saya katakan konsert ini penuh dengan energi bersama 25 lagu daripada pelbagai bahasa.

“Tetapi, sudah tentu lagu Melayu paling banyak saya nyanyikan kerana saya tahu ramai menunggu seleksi malar segar seperti Anugerah Dari Kegagalan, Pulanglah dan banyak lagi.

“Kalau ikut durasi, memang tak cukup masa memandangkan bukan hanya menghiburkan penyokong setia saya, malah saya ingin berkongsi memori manis,” ujarnya.

Menutup bicara, penerima Chevalier des art et Lettre (Knight of the Order of Arts Letters and Merits) daripada Kerajaan Perancis atas sumbangan terhadap promosi bahasa Perancis di Asia, seramai tujuh pemuzik akan mengiringi persembahannya.

Lebih istimewa, ada di antaranya yang diterbangkan khas dari Paris bagi melengkapkan kemunculannya pada konsert tersebut.

“Inilah kombinasi yang saya bayangkan sejak dulu dan pastinya saya ingin penonton pulang dengan perasaan puas serta kenangan terindah,” noktahnya.

KONSERT Datuk Shake di Zepp KL nanti akan membawa penonton melewati terowong masa yang sarat warna dengan menyajikan repertoire popularnya dari era 1970-an sehingga 1990-an.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN