MUZIK gamelan merupakan permainan muzik tradisional yang sinonim dengan masyarakat Melayu dan dikatakan berasal daripada orang berketurunan Jawa.
Muzik tersebut turut difahamkan mula dibawa ke Malaysia atau Tanah Melayu sekitar abad ke-19 oleh pengembara etnik Jawa.
Dalam masyarakat Jawa, gamelan membawa maksud ‘dipukul’ memandangkan muzik gamelan diklasifikasikan sebagai alat yang dipukul-pukul pada idiofonnya. Set alat muzik gamelan diperbuat daripada loyang atau besi dan kayu.
Antara alat muzik yang mengiringi gamelan ialah bonang, saron baron, saron pekin, gambang, kenong, gong dan gendang.
Di Malaysia, terdapat dua jenis gamelan iaitu gamelan Johor atau turut dikenali sebagai gamelan Jawa dan gamelan Melayu atau gamelan Terengganu-Pahang.
Lazimnya, muzik gamelan dimainkan oleh masyarakat Melayu di negara ini, namun keindahan lantunan bunyinya membuatkan hati seorang pemuda berketurunan India jatuh cinta kepadanya.
Ketika ramai orang Melayu khususnya anak muda tidak lagi begitu mengenali apatah lagi tahu memainkan gamelan, seorang pemuda India, B. Nicholas meraih perhatian media dengan kemampuannya memainkan gamelan.
Bukan sekadar itu, lelaki tersebut bahkan mengajarkannya kepada murid-murid sekolah di sekitar Iskandar Puteri, Johor.
Panorama berkesempatan menemuinya baru-baru ini ketika pemuda itu sedang mengajar gamelan kepada beberapa murid.
Nicholas, 23, mengakui mula jatuh cinta terhadap muzik alam Melayu apabila dia sering mendengar lagu dan muzik yang didendangkan seniman agung tanah air, Tan Sri P. Ramlee ketika dia masih kecil.
“Saya dilahirkan di Melaka tetapi dibesarkan di Gelang Patah, Johor. Ketika kecil, ibu bapa saya yang bekerja di ladang sering buka radio atau televisyen untuk mendengar dan tonton cerita P. Ramlee,” ungkapnya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan (SK) Medini, Iskandar Puteri.
Jelasnya, semasa bersekolah lagi minatnya dalam bidang kemelayuan sudah dapat dilihat melalui penglibatannya dalam seni bela diri silat sekali gus bermulalah episod cintanya terhadap gamelan.
“Semasa di bangku sekolah, saya aktif dalam seni bela diri silat dan daripada situ saya kerap mendengar muzik gamelan hingga lama-kelamaan tertarik dengan bunyinya yang bagi saya sangat unik dan mengasyikkan.

“Sebenarnya saya memang sudah terbiasa dengan tradisi dan budaya orang Melayu, sebab itu tidak rasa kekok, malah sejak kecil ramai kawan Melayu dan bersekolah juga di sekolah kebangsaan.
“Datuk pula seorang askar. Jadi apabila di rumah, bahasa harian ahli keluarga kami ialah bahasa Melayu,” katanya.
Dek kerana minat mendalam pada kesenian muzik tradisional Melayu, anak sulung daripada dua beradik itu berkata, selepas tamat sekolah menengah, dia menyambung pelajaran dalam bidang seni muzik.
Kini, dia sudah memiliki Diploma Seni Muzik dari ke Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).
Usai mengikuti kuliah, pemuda yang berasal dari Bukit Katil, Melaka berkata, bakat kesenian yang ada dalam jiwanya itu dihargai oleh guru besar serta ibu bapa murid-murid beberapa buah sekolah sekitar Iskandar Puteri sejak tahun 2017.
Antaranya, Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Nusa Perintis 1, SK Medini, SK Ladang Pendas, SK Nusantara dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gelang Patah.
Dia yang merupakan seorang pengawal keselamatan sekolah dipanggil untuk menjadi tenaga pengajar sebagai guru muzik sambil menurunkan ilmu muzik gamelan kepada murid sekolah rendah dan menengah.
Hingga kini, pemuda itu melatih kira-kira 50 pelajar bermain alat muzik gamelan iaitu gong, gendang ibu, gendang anak, saron baron, jidor, serunai dan kerincing.
Katanya, dia mengajar gamelan pada setiap Khamis dan Jumaat di sekolah berkenaan, manakala pada hari biasa bekerja sebagai pengawal keselamatan di SK Medini.
Usaha yang diibarat melentur buluh biar dari rebungnya itu sedikit demi sedikit membuahkan hasil apabila sebahagian pelajarnya berjaya mewakili Johor ke pertandingan gamelan peringkat kebangsaan serta memenangi beberapa anugerah.
Katanya, selain memasuki pertandingan, mereka turut diundang untuk membuat persembahan pada pelbagai majlis formal dan keraian.
Mengidolakan Allahyarham P. Ramlee, Nicholas memasang hasrat untuk membuka studio pada suatu hari nanti bagi melatih kanak-kanak dan generasi muda untuk menjadi pelapis memelihara seni warisan masyarakat Melayu itu.
Nicholas juga percaya melalui muzik, perpaduan antara kaum dapat diperkukuh, sekali gus dapat mengenali secara lebih dekat keunikan yang dimiliki antara satu sama lain.
“Bagi saya, tiada masalah jika sesuatu bangsa ingin pelajari apa-apa tradisi dan seni bangsa lain, lebih-lebih lagi di Malaysia yang sangat unik dengan kepelbagaian kaum.
“Apa yang penting, seni warisan ini perlu dipelihara, tidak kira siapa pun individu itu yang berusaha untuk membantu mengekalkannya,” katanya yang dipanggil Cikgu Nick.
Bagi melebarkan bakat seni dalam dirinya, Nicholas kini sudah memiliki beberapa buah lagu ciptaan sendiri.
Malah katanya, jika diizinkan akan mengeluarkan lagu versi bahasa Melayu tahun hadapan.
“Lagu sudah siap, kini dalam proses rakaman, jika tak ada aral melintang, tahun depan akan keluarkan.
“Saya nak jadi macam penyanyi keturunan India yang popular dengan lagu Amalina, doakan saya,” katanya.














