fbpx
LIZA HANIM ditebak ramai sebagai juara menanti GV10.

Liza Hanim ‘minta nyawa’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BELUM separuh perjalanan, nama Liza Hanim sudah disebut-sebut sebagai bakal juara All Stars Gegar Vaganza (GV10). Itu beban yang perlu digalas pemilik nama penuh Haliza Hanim Abd. Halim ketika ini.

Perkara itu ibarat satu doa tetapi hakikatnya beban yang harus dipikul oleh wanita berusia 43 tahun itu teramat berat ketika ini.

Saban minggu, tugasan yang diterima semakin mencabar kemampuan vokal dan kreativitinya sebagai penyanyi. Bagi Liza, bukan mudah berada di posisi sekarang bila mana ramai meletakkan harapan tinggi terhadapnya.

Hari demi hari, dia yang terkenal dengan lagu Gelisah Mimpi harus mengetepikan segala jangkaan yang diletakkan orang ramai terhadap dirinya.

Bukan membenci jangkaan tersebut tetapi dia harus memberi ruang buat dirinya agar tidak terlalu membebankan diri sehingga mengganggu fokus dan tanggungjawab sebagai peserta GV10.

JANGKAAN tinggi orang ramai untuk melihatnya merangkul gelaran juara GV10 sedikit sebanyak memberikan tekanan kepada Liza.– ihsan ASTRO

Beban

“Ketika nama diumumkan sebagai peserta GV10, ramai mula meletakkan ekspektasi tinggi terhadap saya.

“Perkara itu sedikit sebanyak memberi tekanan tetapi lama-kelamaan saya enggan hanyutkan emosi dan tolak semuanya ke tepi,” katanya baru-baru ini.

Bukan menidakkan kemampuan diri, pemilik trofi vokal terbaik Anugerah Juara Lagu ke-17 itu berkata, peserta lain juga memiliki kehebatan tersendiri.

Ujarnya, ketika ini semua dalam fasa survival bagi memastikan terus ‘bernyawa’ sebagai peserta GV10.

“Adakalanya rasa macam beratnya harapan orang terhadap saya.

“Saya sendiri tidak boleh menafikan kehebatan peserta lain yang turut berjuang memberikan persembahan terbaik setiap minggu.

“Jadi, kami semua sedang ‘survive’ dan beri semampu mungkin. Tolak tepilah akan jadi juara atau kedudukan pertama setiap minggu, yang penting semua peserta cuba sedaya-upaya,” jelasnya.

Dalam nada merendah diri, Liza berkata setiap peserta mempunyai potensi bergelar juara GV10, sekali gus meminta orang ramai memberi peluang dan sokongan yang sama terhadap mereka.

“Setiap orang ada hak untuk jadi juara, jadi jangan sesekali nafikan peluang mereka.

“Ini pertandingan dan pastinya setiap peminat mahu peserta kegemaran mereka menang. Sokonglah secara sihat dan tidak perlu pun mempertikai antara satu sama lain,” ujarnya.

Liza menjadi peserta paling konsisten mempamerkan persembahan cemerlang setiap minggu di pentas All Stars Gegar Vaganza.

Konsert

Bercerita tentang buah tangan istimewa yang bakal dihadiahkan buat peminat tersayang iaitu Liza Hanim 27 Years Journey In Concert, dia sememangnya teruja kerana perkara paling dinanti-nantikan sebagai seorang penyanyi kini menjadi realiti.

Baginya, acara tersebut ibarat pertemuan dan sesi apresiasi dirinya kepada peminat yang menyokong kembara seninya selama tiga dekad.

“Konsert ini terlalu istimewa, akhirnya perkara yang paling saya nanti-nantikan bakal terlaksana.

“Acara ini juga mengenai pertemuan intim saya bersama peminat setia sejak 27 tahun selain berkenalan dengan peminat yang baru mengenal susuk seorang Liza Hanim,” ujarnya.

Sedar dirinya lambat menganjurkan konsert, dia bagaimanapun percaya setiap perancangan sudah disusun dengan baik oleh Allah SWT.

“Mungkin bagi sesetengah orang perjalanan saya untuk mengadakan konsert solo terlalu lama tetapi saya percaya Tuhan telah aturkan semua ini dengan cantik.

LIZA memanjat syukur kepada Tuhan yang merealisasikan impiannya mengadakankonsert solo pertama kali dalam hidup menjelang tahun depan.

“Tuhan tahu waktu yang terbaik. Walau sudah rancang bertahun-tahun lamanya, kalau Dia kata tidak, maka tidak akan terhasillah sesebuah perancangan.

“Istimewanya konsert ini adalah apabila suami saya, Shah Indigo bakal terlibat sama dalam penghasilan muzik. Semoga semuanya dipermudahkan dan berjalan dengan baik,” tuturnya.

Menerusi konsert tersebut, Liza akan menyanyikan rangkaian lagu popular daripada tujuh album studionya iaitu Epilog yang diterbitkan pada 1997, Di Mana Kan Ku Cari Ganti (1998), Puteri Jelmaan (1999),

Istimewa (2000), Isyarat Jiwa (2001), Ku Teruskan (2003) dan Imagin (2007).

“Selain mendendangkan lagu popular dan malar segar, saya juga akan mempersembahkan single terbaharu yang dihasilkan komposer terkenal, Ajai, iaitu Mengertilah pada konsert itu nanti,” katanya mengakhiri perbualan.

Liza HANIM akan mendendangkan seleksi lagu popular daripada tujuh album studionya dalam konsert sulung pada 4 Februari tahun depan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN