fbpx
KONSERT 40th Anniversary Anuar Zain membuktikan kredibiliti dan keunggulan penyanyi lelaki bersuara lantang itu masih digilai ramai kelompok peminatnya.

Semput tak padam kemilau Anuar Zain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ANUAR ZAIN. Sepotong nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam industri hiburan tanah air. Penyanyi yang memiliki keistimewaan vokal mantap itu berada di kelasnya tersendiri.

Nilai eksklusiviti yang dipegang oleh pemilik nama lengkap Shahrul Anuar Zain itu menjadikan setiap persembahannya tidak pernah gagal mendapat perhatian peminat setianya.

Buktinya, selepas 10 tahun mencatat kejayaan cemerlang menerusi konsertnya berjudul Anuar Zain 3 Dekad pada 2013, penyanyi yang pernah bergelar seorang pramugara itu kembali dengan konsert solonya, Anuar Zain 40th Anniversary Concert (AZ40).

Jarak usia selama 10 tahun lama memendam kerinduan untuk menyaksikan persembahan konsert berskala besar penyanyi itu akhirnya terubat.

Cuaca hujan yang turun sepanjang hari dari pagi membawa ke malam pada tanggal 28 Oktober lalu tidak sedikit pun menjadi penghalang kira-kira 8,000 orang peminatnya membanjiri Stadium Malawati, Shah Alam.

Sorakan penuh gamat memenuhi ruang tertutup stadium saat layar gergasi memaparkan video evolusi wajah penyanyi itu sejak kecil sehingga sekarang pada usianya 53 tahun.

Konsert AZ40 adalah konsert yang diadakan bersempena penglibatan Anuar Zain di dalam industri selama 40 tahun sebagai penyanyi. – SADDAM YUSOFF

Terkenang Adibah Noor

Sebagai pembuka tirai, Anuar menghiburkan peminatnya dengan mendendangkan lagu Kaulah Satunya dan Sesucinya Cintamu, namun dalam versi yang lebih rancak.

Tujuannya mungkin untuk memberi kehangatan pada penonton, selepas terpaksa mengharungi badai dan hujan yang masih ‘menggila’ di luar stadium.

Sempat menyantuni Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin yang berkenan mencemar duli ke konsertnya, Anuar amat berterima kasih atas kehadiran baginda, sekali gus membuatkan penyanyi itu harus menampilkan persembahan yang mantap.

Melanjutkan persembahan, adik kepada penyanyi Ziana Zain itu kemudiannya menyampaikan seleksi lagu popularnya seperti Kembalilah Kasih, Andainya Takdir, Ajari Aku dan Mungkin.

Memasuki segmen kedua, suasana yang mulanya meriah tiba-tiba bertukar menjadi hening. Mengimbas kembali konsert 3 Dekad Anuar Zain pada 2013, penyanyi itu terkenang akan pemergian Allahyarham Adibah Noor yang turut terlibat dalam konsert tersebut.

Ketika itu, Anuar yang menyampaikan lagu Cinta Tak Harus Memiliki melunaskan persembahan bersama Allahyarham serta penyanyi Dina Nazir dan Elvira Arul.

“Arwah sudah saya anggap seperti kakak saya. Pemergiannya cukup dirasakan hingga ke hari ini,” ucap Anuar sambil mendendangkan lagu tersebut secara acapella.

ANUAR ZAIN masih kekal relevan sebagai seorang penyanyi, malah tidak keterlaluan jika dia dianggap antara penghibur terbaik negara yang masih berbisa.

‘Lelah’

Namun, apa yang mencuri tumpuan penonton adalah keadaan Anuar yang dilihat sedikit lelah. Katanya, seminggu menjelang konsert, keadaan kesihatannya tidak begitu mengizinkan apabila mengalami demam dan batuk yang agak teruk.

Bahkan, sehingga hari konsertnya berlangsung, kondisi suaranya belum lagi pulih sepenuhnya apabila mudah semput sehingga sukar untuk dirinya menyanyikan lagu-lagu bernada tinggi.

Tidak hairanlah, setiap kali selepas selesai menyanyi, Anuar ‘curi-curi’ menggunakan nebulizer untuk memastikan nyanyiannya tidak terganggu sepanjang dua jam membuat persembahan.

VOKAL yang dimiliki penyanyi berusia 53 tahun ini tidak perlu dipertikaikan lagi setiap kali menyampaikan lagu-lagu bergenre balada.

Impian 50 tahun

Mengakui sedikit kecewa atas apa yang berlaku, Anuar bagaimanapun tetap melakukan yang terbaik, kerana tidak mahu menghampakan peminat yang sudah melabur wang ringgit.

“Sejujurnya saya kecewa apabila hilang suara sekali gus tidak dapat mencapai standard yang saya tetapkan.

“Walaupun saya hampir kehilangan suara, tapi semangat saya kuat untuk selesaikan konsert ini.

“Apa pun yang terjadi, persembahan tetap perlu diteruskan. Melihat peminat yang datang menguatkan lagi semangat saya untuk meneruskan persembahan,” jelasnya.

Kemuncak konsertnya, Anuar menyanyikan lagu Sedetik Lebih sebagai antem memberi noktah perjalanan persembahan sekali gus membuatkan seluruh stadium bergema dengan nyanyian bersama lagu tersebut.

Jelas terpancar kepuasan pada wajah penyanyi itu dapat mengubati kerinduan peminatnya selepas 10 tahun menanti.

Kata Anuar, andai diberikan rezeki dan panjang umur, dia mahu menganjurkan sebuah konsert bagi meraikan penglibatannya dalam industri untuk tahun ke-50 sebagai penyanyi.

VOKAL yang dimiliki penyanyi berusia 53 tahun ini tidak perlu dipertikaikan lagi setiap kali menyampaikan lagu-lagu bergenre balada.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN