fbpx
Peminjam yang membuat pinjaman dengan PPW tidak diberikan dokumen asal atau salinan sebagai bukti dan dikhuatiri boleh mendatangkan kerumitan di kemudian hari. – GAMBAR HIASAN

‘Malu lihat penjawat awam berhutang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Pemberi pinjaman wang (PPW) berlesen kini tidak ubah seperti lintah darat apabila mendesak peminjam menyerahkan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan buku bank mereka sebagai cagaran.

Rata-rata peminjam yang terdiri daripada penjawat awam diminta berbuat demikian bagi melicinkan proses pembayaran semula hutang yang dibuat atas pelbagai sebab termasuk perkara kecemasan.

Along berlesen itu juga mengarahkan peminjam supaya membuka akaun baharu bagi memudahkan proses pemulangan baki wang gaji.

Mendedahkan perkara itu, Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd. Arif berkata, semakan mendapati sebilangan PPW mengenakan kadar faedah tinggi sehingga enam peratus bulanan atau 72 peratus setahun.

Menurut beliau, perbuatan itu adalah bertentangan dengan akta dan Peraturan Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400) yang membenarkan kadar faedah cuma sebanyak 12 peratus setahun atau 1.5 peratus sebulan.

“Ada sebuah premis pinjaman wang popular di Lembah Klang, saya lihat sendiri begitu ramai penjawat awam beruniform da­tang mengambil duit baki bayaran pinjaman bulanan mereka.

“Ini kerana kad ATM dan buku bank peminjam dipegang pihak berkenaan. Mereka pegang kedua-dua dokumen penting itu sebagai jaminan. Malu apabila lihat ada penjawat awam beratur mengambil wang.

“Sekarang sudah tukar kaedah dengan membuka satu lagi akaun (baharu) bagi tujuan pemindahan baki. Misalnya jika bayaran bulanan RM400, jadi baki wang gaji akan dipindahkan akaun baharu,” katanya ketika ditemui Kos­mo! di sini baru-baru ini.

Rosland memberitahu, lebih membimbangkan, para peminjam seolah-olah diperdaya apabila mereka tidak mempunyai perjanjian yang sah, sebaliknya hanya diberikan kertas kosong untuk diturunkan tandatangan.

Ujarnya, tindakan itu secara jelas adalah salah memandangkan setiap pinjaman perlu mempunyai dokumen asal atau salinan sebagai bukti bagi mengelakkan sebarang kesulitan kepada mana-mana pihak di kemudian hari.

“Hasil temu bual saya dengan peminjam, mereka memaklumkan tidak mempunyai sebarang dokumen hitam putih. Jadi, kita tidak tahu berapa jumlah yang PPW letakkan berbanding jumlah asal yang dibuat peminjam.

“Tidak dinafikan ada peminjam yang terdesak, jadi mereka tidak mempunyai pilihan lain kecuali bersetuju dengan syarat yang ditetapkan,” katanya.

Jelas beliau, proses yang mudah dan cepat menjadikan PPW sebagai pilihan utama penjawat awam berbanding institusi kewangan walaupun layak.

Pinjaman itu dibuat atas pe­l­bagai faktor antaranya komitmen bulanan melebihi pendapatan, gaya hidup mewah selain mempunyai isteri mempunyai keinginan materialistik tinggi.

“Namun, terdapat satu kes penjawat awam meminjam RM5,000 daripada PPW untuk menampung perubatan ibunya yang sakit. Akhirnya, dia gagal buat bayaran selama empat bulan dan tunggakan hutang mencecah belasan ribu ringgit.

“Jadi kami bertindak sebagai orang tengah untuk berunding dengan PPW,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah penjawat awam yang membuat pinjaman dengan PPW, sebaliknya memaklumkan pihaknya menjalankan tanggungjawab sebagai perun­ding sekiranya terdapat keperluan mendesak.

“Kalau terus menekan, orang tidak boleh bayar. Perkara ini akan berlarutan sehingga timbul perkara lain (ugutan jenayah). Ada juga kes yang mana peminjam enggan bayar dan batalkan kad ATM dengan alasan kad hilang.

“Ini menyebabkan PPW naik angin dan mengenakan pelbagai caj termasuk lewat pembayaran pinjaman serta perundangan,” kata beliau.

Rosland turut mendedahkan ada PPW yang dijadikan ‘rujukan utama’ secara turun-temurun dalam kalangan peminjam.

“Mereka ini tidak ubah seperti ‘saudara’ peminjam. Walaupun faedah tinggi, tetapi sikap tole­ransi dan tidak terlalu mendesak menyebabkan hubungan tersebut akrab.

“Apabila generasi pertama ‘bersara’ daripada membuat pinjaman, anak dan cucu mereka pula meneruskan perbuatan (meminjam) itu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN