fbpx
Persembahan seni animasi pasir biasanya memerlukan penggunaan satu skrin besar untuk tontonan khalayak.

Cantik! Animasi indah hasil ketangkasan tangan tabur, serak pasir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELEPAS mengambil kedudukannya di atas sebuah pentas persembahan, tangan kanan Bernice Wong, 38, mula mencapai satu bekas berisi pasir di sisinya lalu menabur pasir-pasir tersebut ke atas sekeping papan rata yang dinyalakan di hadapannya.

Kedua-dua tangan Wong kemudiannya mula bergerak pantas di atas papan tersebut menghasilkan satu lukisan pemandangan dengan menggunakan pasir sepenuhnya.

Seni lukisan tersebut lazimnya dibuat secara langsung yang mana proses menghasilkan setiap lukisan itu akan dipancarkan menerusi satu skrin besar.

Menariknya, seni lukisan berasaskan pasir mempunyai jalan cerita yang tersendiri bertujuan menghiburkan penonton.

Pelukis akan melukis atau ‘mencorak’ lukisan menerusi taburan pasir dan kemudian dengan kepantasan tangan memadam atau menyerak pasir bagi menghasilkan babak demi babak.

Justeru, pelukis animasi pasir bukan sahaja perlu mempunyai bakat melukis, bahkan mereka juga perlu memastikan perjalanan cerita itu sampai kepada penonton.

Bakat menghasilkan karya seni pasir yang dimiliki Bernice yang merupakan anak kelahiran Ipoh, Perak itu cukup mengagumkan.

Malah, dia juga belajar melukis dengan menggunakan pasir sendiri dan tidak pernah mengambil mana-mana kelas khas.

Begitupun, dia sememangnya mempunyai bakat dan minat melukis sejak kecil.

“Sejak sekolah rendah lagi, saya sememangnya amat suka melukis.

“Minat tersebut kemudiannya berterusan sehingga saya di bangku sekolah menengah dan saya juga banyak memenangi beberapa pertandingan ketika itu,” katanya.

Adakalanya jalan cerita yang dipersembahkan menyedihkan dan boleh mengundang tangisan penonton.

Namun, Bernice berkata, dia sebenarnya tidak pernah mengimpikan untuk mempunyai kerjaya sebagai seorang pelukis yang menghasilkan lukisan daripada pasir.

Ujarnya, dia mula berminat terhadap seni berasaskan pasir selepas menonton satu persembahan ketika bercuti di Genting Highlands, Pahang.

“Saya dan suami pernah bercuti ke Genting Highlands dan ketika itu, saya menonton satu persembahan seni animasi menggunakan pasir.

“Ketika itulah, saya mulai tertarik dengan seni pasir ini,” ujarnya.

Bernice kemudiannya menonton banyak video seni sedemikian di YouTube dan mula berlatih sendiri.

“Saya habiskan banyak masa untuk cuba hasilkan seni sedemikian, bukan sahaja dengan pasir, tetapi juga menggunakan bahan lain seperti gula, garam dan juga tepung,” katanya.

Kongsi Bernice, pasir juga sebenarnya mempunyai ketumpatan dan tekstur yang berbeza-beza. Justeru, dia memilih untuk menggunakan jenis pasir yang sama bagi setiap karyanya.

“Hal ini kerana saya mendapati sekiranya saya menukar jenis pasir yang lain, saya memerlukan lebih masa untuk membiasakan diri dengan jenis pasir tersebut,” katanya.

Mengimbau kembali, Bernice berkata, dia pertama kali membuat persembahan animasi pasir di pusat beli-belah Berjaya Times Square, Kuala Lumpur pada tahun 2013.

“Ketika itu, saya berasa amat gementar kerana buat pertama kalinya ia disaksikan 1,000 penonton,” katanya.

Sejak itu, Bernice terlibat dalam pelbagai persembahan lain antaranya persembahan pasir bagi Anugerah Skrin 2018 dan juga persembahan bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan di Istana Budaya.

Bernice berkata, secara asasnya, penghasilan animasi seni pasir sama seperti menghasilkan lukisan di atas kertas.

BERNICE melakukan persembahan.

Namun, antara skil atau kemahiran asas yang diperlukan adalah kesabaran dalam hasilkan setiap satu lukisan dan juga imaginasi yang tinggi.

Akuinya, persembahan animasi berdasarkan pasir baginya cukup mencabar kerana ia melibatkan permintaan klien yang berbeza-beza.

“Apabila membuat persembahan animasi di atas pentas, ia mencabar kerana lazimnya dibuat secara langsung dan permintaan setiap klien adalah berbeza-beza.

“Malah, persembahan secara langsung juga amat dinamik yang mana ia dibuat dalam satu persekitaran tiga dimensi bertujuan memberikan lebih daripada sekadar hiburan kepada penonton,” katanya yang kliennya meliputi pelbagai syarikat antaranya UMW, Mah Sing, Sushi King, Intel dan banyak lagi.

Kongsi Bernice lagi, persembahan animasi sebegitu juga adakalanya bermain dengan emosi penonton.

“Ada antara persembahan yang memerlukan penceritaan yang lebih sedih dan banyak bermain emosi.

“Ia adakalanya boleh menyebabkan penonton menangis,” katanya.

Ditanya nasihat yang boleh diberikan kepada mereka yang mungkin berminat untuk menceburi kerjaya sebagai seorang pelukis pasir, Bernice berkata, ia memerlukan kesabaran tinggi.

“Seni ini melibatkan persembahan secara langsung dan ia memerlukan kesabaran yang tinggi ketika berlatih.

“Malah, teknik menabur pasir dengan betul juga mengambil masa untuk dipelajari, jadi perlu bersabar,” katanya.

Bagi projek seterusnya, Bernice memberitahu, dia akan membuat persembahan animasi pasir untuk sebuah salon di ibu kota.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN