PETALING JAYA – Jika sebelum ini ramai orang mampu membawa ahli keluarga menikmati makanan di restoran atau kafe dua kali seminggu, namun kini mereka hanya berupaya melakukan aktiviti itu dua kali sebulan.
Pelanggan juga sekadar memesan makanan dan minuman yang murah berbanding sebelum ini apabila mereka langsung tidak berkira soal makan sehingga sebahagian besar pendapatan dihabiskan bagi memenuhi keinginan itu.
Naib Presiden dan Pegawai Perhubungan Media Persatuan Pemilik Restoran dan Bistro, Jeremy
Lim berkata, kos sara hidup tinggi dan kuasa beli semakin menurun menyebabkan pelanggan terpaksa mengurangkan amalan suka makan di luar.
Menurutnya, situasi itu menyebabkan pendapatan sebahagian besar peniaga makanan dan minuman (F&B) kini merosot lebih 30 peratus.
“Sekiranya situasi ini berterusan, ia boleh menyebabkan ramai peniaga F&B terpaksa gulung tikar. Pasaran kini semakin lama semakin perlahan.
“Pelanggan yang ada pun akan memilih makanan dan minuman yang murah sahaja, apabila kita bercakap dengan pelanggan, kita tahu mereka sekarang tertekan dengan kos sara hidup.
“Kalau dahulu mereka makan di luar dua kali seminggu, sekarang dua kali sebulan. Rakyat
lebih berjimat cermat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

berjimat cermat dalam perbelanjaan. – GAMBAR HIASAN
Jeremy memberitahu, selain kekurangan pelanggan, peningkatan kos operasi perniagaan juga menyebabkan kemerosotan pendapatan peniaga F&B.
Katanya, purata kenaikan kos dari segi utiliti, sewa, tenaga kerja dan bahan mentah secara keseluruhan naik antara 25 hingga 35 peratus.
“Sewa premis sahaja dinaikkan hingga 20 peratus oleh pemilik kedai bagi perniagaan yang telah tamat tempoh kontrak sewa mereka,” ujarnya.
Katanya, keadaan kini lebih sukar berbanding semasa pandemik Covid-19 kerana ketika itu peniaga F&B masih boleh berunding dengan pemilik premis dan pihak pembekal barangan dari segi bayaran.
“Ekonomi telah dibuka sepenuh, tetapi tidak berjalan dengan lancar seperti sebelum pandemik dan susah hendak bincang topik yang sama dengan pembekal dan pemilik premis.
“Anggaran saya dalam 15 hingga 25 peratus daripada peniaga F&B di bawah persatuan ini sudah pun hampir menemui jalan mati, cuma belum bungkus lagi,” katanya.
Di bawah Persatuan Pemilik Restoran dan Bistro, terdapat kira-kira 500 peniaga di seluruh negara.
Menurutnya, beliau berharap peniaga F&B tidak menaikkan harga jualan dalam tempoh terdekat ini atau sekurang-kurangnya sehingga Mac tahun depan.
Ujar beliau, situasi pasaran dijangka bertambah teruk sekiranya itu berlaku kerana boleh menyebabkan semakin ramai pelanggan akan membuat keputusan untuk tidak makan di restoran.
“Biar orang rasa selesa untuk keluar makan dan buat bajet masing-masing. Kami berharap kerajaan ada perancangan untuk ekonomi negara kembali pulih dan kuasa beli pengguna meningkat semula.
“Kita sudah lawan pandemik dan berjaya. Sekarang kita kena ambil masa perlahan-lahan untuk cari jalan bagaimana mahu atasi masalah ini,” ujarnya.














