KOTA BHARU – “Saya seronok tinggal di Malaysia kerana peluang untuk mencari rezeki amat mudah, namun perlu banyak usaha dan rajin bekerja.”
Demikian pendedahan seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) dikenali Malek, 48, yang telah 15 tahun tinggal di Malaysia dan menyifatkan negara ini mempunyai peluang kerja yang sangat banyak dengan gaji lumayan.
Selain menyifatkan Malaysia lubuk rezeki, golongan ini juga menyatakan mereka ‘bebas’ tinggal dan bekerja di sini termasuk bergelar peniaga dan membina keluarga di negara ini.
Menurut Malek, dia kini berniaga sendiri dan mampu menghantar wang belanja untuk ibu bapa yang masih menetap di Myanmar sebanyak RM1,000 sebulan.
Katanya, dia sudah lama tidak pulang ke negaranya kerana sudah berkeluarga dengan wanita etnik Rohingya.
“Pada awalnya saya bekerja di Kuala Lumpur dan selepas beberapa tahun saya berhijrah ke Kelantan setelah berjaya mengumpul wang hasil daripada bekerja sebagai buruh.
“Apabila sampai di Kelantan, saya melakukan pelbagai pekerjaan termasuk mengutip besi buruk dengan mengguna motosikal roda tiga dengan pendapatan RM100 hingga RM200 sehari.
“Alhamdulillah, saya kini mempunyai pendapatan yang stabil dan mampu menyara keluarga di sini. Saya memilih bekerja di Malaysia kerana peluang pekerjaan sangat banyak dan gaji lebih mahal berbanding di Myanmar,” katanya.

Sementara itu di Ipoh, Perak, warga Indonesia dikenali Siti, 47, memberitahu, dia enggan pulang ke kampung halamannya di Surabaya biarpun kontrak sebagai pembantu rumah telah tamat beberapa tahun lalu.
Katanya, gaji diterima sebagai pembantu rumah adalah RM2,300 dan selepas berusia 45 tahun dia perlu dihantar pulang.
“Saya tahu status ketika ini adalah sebagai PATI, namun ia atas pilihan sendiri. Kehidupan di sini lebih baik dari sana dan saya percaya gaji diterima di Malaysia tidak akan diperoleh lagi di kampung halaman.
“Buat masa ini saya menetap bersama rakan-rakan senegara dan bekerja sebagai pembantu kedai makan,” katanya.
Bagi Hairi, 27, yang berasal dari Jawa Timur, dia terus tinggal di negara ini tanpa sebarang dokumen selepas masuk secara haram menggunakan pas pelancong RM1,500 empat tahun lalu.
“Apabila tamat, saya terus menetap di sini tanpa sebarang dokumen. Banyak rakan-rakan guna cara sama yang dianggap lebih selamat berbanding guna tekong.
“Lagipun projek pembinaan banyak di sini dan tidak perlu bimbang dengan peluang kerja tinggi. Ramai rakan juga akan membantu,” katanya.
Bercerita lanjut, lelaki itu mendakwa kerja buruh di kawasan bandar-bandar sekitar Indonesia memerlukan seseorang itu mempunyai sijil sekolah paling minimum tamat tingkatan lima.
“Di sini, semua itu tidak perlu. Apa yang penting adalah rajin. Bahasa komunikasi pun hampir sama seterusnya memudahkan segala urusan.
“Kalau lelaki memang ramai jadi buruh dengan pendapatan boleh cecah RM3,000 sebulan. Namun terpaksa bersaing dengan kawan-kawan Bangladesh. Kalau perempuan banyak jadi ‘cleaner’ dengan pendapatan RM1,500,” katanya.
Jelasnya, dia akan memperuntukan antara 1,500 hingga RM2,000 untuk dihantar ke kampung sebagai ‘rezeki’ keluargannya.















