fbpx
DATUK M. NASIR mengakui tetap gugup saat berdepan audiens khususnya dalam sesebuah konsert mega.

M. Nasir pun gugup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SIAPA sangka seorang penghibur berpengalaman dengan deretan penghargaan seperti Datuk M. Nasir masih dibelengggu perasaan gugup sebelum memulakan aksi dalam sesebuah persembahan, konsert terutamanya.

Tanpa berselindung, tokoh muzik itu mengakui perasaan tersebut tidak mampu dielak biarpun sudah berdekad menggauli dunia seni.

GENAP
44 tahun bergelar penghibur, M. Nasir akui masih ada rasa gugup ketika beraksi di pentas konsert mahupun persembahan biasa.

Gugup itu normal

Bagi lelaki kelahiran Temasik itu, perasaan sebegitu bukan satu kelemahan, sebaliknya menunjukkan beliau juga manusia biasa yang turut berdepan bermacam-macam emosi.

“Orang sekeliling buat saya gementar tetapi gugup adalah perasaan semula jadi, terutama apabila kita berdepan sesuatu yang kita tak tahu apa akan berlaku.

“Bukan setakat konsert, ketika rakaman lagu pun saya pernah berdepan situasi sama walaupun ketika itu hanya ada kawan-kawan.

“Namun, cara saya mengikis perasaan gementar di pentas adalah dengan menghafal lagu selain berlatih dengan sempurna,” katanya sambil tersenyum.

Menurut pemilik nama lengkap Mohamad Nasir Mohamed itu, situasi tidak terjangka mungkin boleh tercetus ketika Konsert Gendang Pati di Kuala Lumpur pada 18 November depan.

KONSERT Gendang Pati Datuk M. Nasir Live in Kuala Lumpur bakal berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 18 November depan.

Namun maestro muzik yang digelar sifu itu enggan memikirkan perkara negatif, sebaliknya fokus terhadap persediaan merealisasikan persembahan mega berkonsepkan bunyian genderang seperti diimpikan.

Jauh di sudut hati, beliau mengimpikan sebuah konsert mahupun album diiringi paluan pelbagai jenis bunyian gendang tetapi rencana sering tergendala atau terhambat idea lain.

“Idea mengadakan konsert yang memberikan tumpuan pada bunyi dan gendang lahir secara spontan pada sesi latihan bersama pemuzik, ditambah pula dengan keinginan mengadakan konsert diiringi instrumen gendang.

“Setiap kali buat album baharu, mood menyelitkan idea gendang mesti ada, tetapi tak pernah diteruskan, jadi saya dan pasukan cuba bawakan kelainan.

“Kami tak sangka peminat suka ketika berpeluang mengadakan konsert di Singapura pada Julai lalu seterusnya membawa konsert ini di Malaysia, bulan depan,” ulasnya.

MELIHAT kegilaan ramai terhadap budaya TikTok yang digunakan ramai untuk mempromosikan produk termasuk lagu, namun
M. Nasir lebih selesa menggunakan kaedah lama ‘menjual’ karyanya.

Gendang lambang perpaduan

Paling M. Nasir terharu, penonton di tanah kelahirannya itu tampak menikmati dan menerima penambahan suntikan elemen gendang sebagai latar persembahannya.

Tambah lelaki berusia 66 tahun itu, konsert berkenaan boleh disifatkan sebagai sebagai medan perpaduan kerana penggunaan pelbagai jenis instrumen dari latar budaya dan kaum.

“Apa yang cukup dikagumi, peminat sangat sukakan dikir barat, walaupun tak faham apa yang didendangkan dalam dialek Kelantan.

“Menerusi keseronokan dinikmati peminat Singapura itu, saya yakin peminat Malaysia sependapat dengan saya yang kental berjiwa rakyat kerana gendang adalah alat muzik yang dimiliki semua kaum,” katanya.

Enggan mendedahkan repertoire persembahan untuk Konsert Gendang Pati Datuk M. Nasir Live in Kuala Lumpur, suami kepada Marlia Musa itu hanya berkongsi bakal mendendangkan lebih 20 lagu dengan diiringi gendang ibu, anak, rebana, kompang, meruas dan tabla.

Menyerahkan tanggungjawab olahan muzik kepada Nan Alias, katanya walaupun konsert berkenaan kedengaran seperti konsert nusantara tetapi dasarnya masih dalam persembahan moden.

Konsert Gendang Pati yang dibawakan MND Sport & Event itu menampilkan 16 pemuzik handalan seperti Rafi Mohd di posisi gitar, Norman (bes), Firdaus Mahmud (keyboard), Eddie Slam dan Ujang Exists (dram).

Gabungan nama-nama tidak asing itu diperkuat dengan kehadiran Paang, Mat Din, Che Long dan Anas yang dibantu Awe selaku pemain perkusi, rebab, serunai dan penyanyi jemputan.

Gendang Pati Datuk M. Nasir Live in Kuala Lumpur bakal berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 18 November depan.

KEJAYAAN Konsert Gendang Pati di Singapura pada Julai lalu mencetuskan ilham buat MND Sport & Event untuk merealisasikan Gendang Pati Datuk M. Nasir versi Kuala Lumpur pada
18 November depan.

Budaya TikTok

Sementara itu, diminta berkongsi mengenai kegilaan ramai terhadap aplikasi TikTok bagai medan mempromosikan produk termasuk karya seni, penyanyu Raikan Cinta itu sekadar tersenyum.

Beliau lebih selesa menggunakan kaedah lama, termasuk promosi di saluran media seperti dilakukan sedari awal berkecimpung dalam industri muzik.

“TikTok sudah jadi budaya yang kita tak tahu bila akan basi.

“Saya ‘old school’, selesa cara lama. Belum lagi terfikir (guna TikTok),” ulasnya ringkas.

Menerusi Konsert Gendang Pati, M. Nasir bakal mendendangkan 20 lagu dengan diiringi pelbagai jenis gendang seperti gendang ibu, anak, rebana, kompang, meruas, tabla dan banyak lagi.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN