MASIH solo selepas melalui kemarau kasih beberapa siri percintaan tidak kesampaian, pelakon Hafreez Adam sebenarnya tidak fobia bercinta, sebaliknya masih mendambakan pasangan berfikiran matang dan berpendidikan.
Selagi belum sah menggoncang tangan ‘tok kadi’ dan menerima lafaz akad, selagi itulah seseorang selebriti mahupun sesiapa sahaja akan terus disuakan persoalan berkaitan jodoh dan pasangan hidup.
Itu persoalan sama yang terpaksa ditelan pelakon, Hafreez Adam sehingga ke hari ini apabila status hatinya masih menjadi tanda tanya peminat.
Mengakui pernah beberapa kali kecundang dalam percintaan, dramatis berusia 33 tahun itu menyifatkan dirinya sebagai kompleks hingga sukar didekati mana-mana wanita.
Bagaimanapun, pemilik nama penuh Hafreez Adam Aizat Zahalan itu tidak pernah menutup pintu hati atau berputus asa mencari pasangan tepat buat dirinya.
“Tipulah kalau saya cakap saya tak ada pengganti atau tidak mencuba. Saya tak pernah tutup pintu hati, sejujurnya saya sedang mencari.
“Masalah sebenarnya datang daripada diri sendiri. Sebagai seorang yang introvert, saya tak tahu apa persepsi orang terhadap saya.
“Susah untuk saya bergaul atau jumpa orang. Untuk mengenali orang baharu pun prosesnya makan masa. Saya sangat kompleks,” katanya.
Ditanya sama ada masih terkesan dengan kegagalan hubungan lalu, pelakon filem Jemputan Ke Neraka itu berkata kisah lama tidak lagi berbekas di hatinya.
“Saya tak fobia dan tidak terkesan, bekas tunang saya wanita yang baik malah sepanjang perhubungan, semuanya baik-baik sahaja.

“Hakikat hidup kita ini Allah yang tentukan, kami faham apabila jodoh tidak panjang dan terima dengan hati terbuka.
“Soal jodoh susah untuk dibicarakan, saya ambil pengajaran daripada perhubungan lalu untuk jadi lebih matang dengan perbaiki diri. Nak kata fobia atau trauma memang tidak sama sekali,” katanya.
Paling utama, pelakon tinggi lampai itu mahukan wanita yang benar-benar memahami dirinya selain matang dan berpelajaran.
Enggan berlama-lama dalam topik cinta dan pasangan hidup, jejaka asal Kuala Lumpur itu sempat berkongsi mengenai perjalanan karier seni dan keinginannya mencuba pelbagai watak yang belum pernah dijayakan sebelum ini.

Mahu watak mencabar
Jelas Hafreez, hasratnya untuk menggalas karakter berat belum tercapai, malah sehingga kini masih ditawarkan peranan yang seakan-akan sama seperti awal kemunculan dalam industri.
“Buat masa sekarang saya selalu dapat watak seperti kebiasaan, contohnya sebagai anak orang kaya dan pengarah urusan syarikat yang hidup senang lenang.
“Saya sebenarnya mengidamkan watak luar daripada kebiasaan, tidak klise dan boleh mencabar keupayaan lakonan.
“Banyak karakter yang saya teringin jayakan seperti watak psiko, penagih dadah, gelandangan dan mungkin juga peranan bapa muda yang menghadapi kesusahan membesarkan anak. Setakat ini belum dapat lagi,” ujarnya.
Selain ingin versatil dalam dunia lakonan, dia juga mahu penonton melihat kebolehan lakonannya yang tidak berpasak hanya pada satu acuan.
“Bila kita sudah banyak kali bawa watak sama, akan ada satu perasaan mahu cuba karakter luar kotak dan membentuk karier lakonan ke arah yang tidak pernah penonton duga.
“Sebenarnya perkara ini adalah kepuasan sebagai seorang pelakon, tidak boleh hanya selesa dengan watak yang biasa dibawa, kena versatil supaya penonton tak cepat bosan.
“Bukanlah selepas ini saya hanya memanifestasi watak-watak provokasi, saya hanya mahu penonton lihat sisi lain kualiti lakonan yang boleh saya tawarkan,” katanya.
Turut berkongsi perkembangan terbaharu, Hafreez kini sedang hangat menerusi drama bersiri romantik Cik Misi 123 arahan pengarah hebat Feroz Kader.

Hati-hati jadi doktor
Diberi tanggungjawab menggalas watak sebagai Doktor Aish, pelakon berkulit hitam manis itu benar-benar tahu serba sedikit selok-belok bidang perubatan.
Pengalaman membawa watak hampir sebelum ini sedikit sebanyak membantu lakonannya untuk lebih ‘menjadi’ dan tidak kelihatan canggung.
“Menggalas watak doktor bukanlah mudah, saya kena berhati-hati dengan apa yang saya lakukan agar lakonan seiring dengan realiti pekerjaan sebagai pakar perubatan.
“Etika pemakaian seperti bila boleh pakai ‘laboratory coat’ dan gantung stetoskop di leher pun saya kena betul-betul faham dan tidak boleh berbuat sesuka hati,” katanya.
Tambah pelakon berbadan kekar itu lagi, kehadiran pakar dalam bidang perubatan di set penggambaran banyak membantu memudahkan lakonan yang melibatkan prosedur perubatan.
“Memang akan ada pakar di set penggambaran untuk memantau setiap gerak geri supaya lakonan babak yang melibatkan prosedur perubatan dijayakan dengan betul seperti doktor sebenar.
“Begitu juga dengan nama saintifik, jika nama ubat atau penyakit yang terlalu kompleks, kita ambil jalan selamat untuk guna ayat yang mudah difahami penonton berpandukan pakar yang ada di set,” tuturnya menutup bicara.
Selain Hafreez Adam, naskhah yang menemui penonton menerusi Astro Ria dan Astro Go tersebut dijayakan Adam Lee, Sweet Qismina, Bella Dally, Afifah Nasir, Safwan Nazri.















