SUASANA pesisir muara Sungai Terengganu berhampiran Pasar Besar Kedai Payang, Kuala Terengganu kian meriah setiap Jumaat sejak 21 Julai lalu. Kawasan itu yang sebelum ini agak sepi pada waktu malam kini berubah 360 darjah dan menjadi tumpuan ramai sejak kewujudan Payang Walk.
Beroperasi dari pukul 3 petang hingga 12 tengah malam, Payang Walk merupakan pusat sehenti menawarkan pelbagai jenis makanan tradisional Terengganu yang dimodenkan sesuai dengan cita rasa semasa bersama elemen budaya dan warisan.
Sebanyak kira-kira 100 gerai makanan sedia menanti para pengunjung yang biasanya hadir bersama ahli keluarga masing-masing untuk bersantai pada hujung minggu. Ada laksa Terengganu, nasi kerabu, nasi dagang, keropok lekor, kopi nisan dan lain-lain.
Mereka juga berpeluang menyaksikan persembahan seni budaya dan warisan negeri Pantai Timur berkenaan yang unik dan sudah semakin jarang dipersembahkan.
Tambah menyeronokkan, pengunjung juga berkesempatan merasai pengalaman bersiar-siar untuk merasai suasana malam di pesisir muara Sungai Terengganu dengan menaiki beca berkuasa solar berserta caj berpatutan.
Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif berkata, idea pembukaan Payang Walk timbul bagi mengisi kekosongan malam bandar raya tersebut yang dikatakan sunyi sebelum ini.
“Kita menerima maklum balas rata-rata pelancong domestik mahupun antarabangsa gemar berkunjung ke Terengganu kerana menawarkan keindahan alam semula jadi, makanan enak serta seni budaya dan warisan unik.
“Begitupun, ramai mengadu suasana malam di negeri ini terutama bandar raya agak sunyi dan kurang aktiviti,” katanya kepada Panorama baru-baru ini.
Sehubungan itu, Rosli memberitahu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengambil inisiatif mewujudkan Payang Walk bagi menghidupkan suasana malam di ibu negeri Terengganu tersebut.
Jelas beliau, semua elemen kekuatan industri pelancongan Terengganu iaitu keindahan alam semula jadi, makanan enak serta seni budaya dan warisan unik digabungkan di bawah satu bumbung di Payang Walk.
“Tarikan pelancongan terbaharu ini terletak di pesisir muara Sungai Terengganu dan berlatar belakang jambatan ikonik, Jambatan Angkat Kuala Terengganu.
“Pengunjung boleh menikmati pelbagai makanan enak dan menyaksikan persembahan kebudayaan dalam suasana malam pesisir sungai yang indah,” ujarnya.
Rosli berkata, antara persembahan kebudayaan yang ditonjolkan di Payang Walk secara berkala adalah wayang kulit, rodat, tarian saba, gamelan, dikir barat dan silat.

Tambah beliau, Payang Walk disasarkan kepada pengunjung berkeluarga dan berkumpulan yang biasanya menyukai segmen pelancongan pengalaman.
Dalam pada itu, Rosli berkata, tarikan utama Payang Walk ialah beca tradisional Terengganu yang telah dihias indah dan dikuasakan dengan tenaga solar. Ia menggunakan bateri yang dijana dengan kuasa solar pada sebelah siangnya.
Ujar beliau, sebelum ini, perkhidmatan beca tradisional itu yang berpusat di pekarangan Pasar Besar Kedai Payang kurang mendapat sambutan bagaikan ‘hidup segan mati tidak mahu.
“Kita sedar rintihan pengayuh beca itu saban tahun dan pada masa sama juga tidak mahu warisan bandar raya ini terkubur begitu sahaja,” katanya.
Sehubungan itu, Rosli berkata, MBKT bekerjasama dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menginovasi beca tradisional terbabit.
Jelas beliau, hasil inovasi itu, beca tradisional tersebut yang sebelum ini beroperasi secara manual kini telah digerakkan dengan kuasa solar yang lebih menjimatkan tenaga dan masa.
“Beca juga telah dihias indah, manakala pengayuhnya berpakaian kemas dan menarik mengikut tema tertentu setiap minggu.
“Sambutan diterima daripada pengunjung Payang Walk amat menggalakkan dengan pendapatan pengayuh beca ini naik mendadak sehingga RM3,000 sebulan,” katanya.
Sementara itu, seorang pengunjung, Hanis Humaira Sufian, 38, berkata, dia dan ahli keluarga amat teruja mengunjungi Payang Walk buat pertama kali baru-baru ini.
Kakitangan swasta itu juga berkata, mereka tidak menang tangan membeli pelbagai juadah dan pakaian di situ.
“Menariknya peniaga Payang Walk berpakaian bagaikan orang zaman dahulu, sopan berkain sarung, berbaju kurung dan berkerudung manakala lelaki pula memakai semutar di kepala.
“Sudah lama juga kami sekeluarga tidak menyaksikan persembahan kebudayaan di pentas terbuka seperti ini,” katanya.
Sasya Aina Dhia Abd. Latiff, 21, pula berkata, dia dan rakannya-rakannya ceria menaiki beca bersama-sama.
“Kalau di Melaka, kita menaiki beca mengelilingi bangunan bersejarah di Bandar Hilir, di Payang Walk pula, pengalamannya lain menikmati panorama dan udara segar muara Sungai Terengganu.
“Ramai memberi komen tertarik dengan konsep Payang Walk apabila saya memuat naik gambar-gambar termasuk sewaktu menaiki beca di media sosial,” katanya.















