IPOH – Kegagalan sebilangan pelajar menguasai mata pelajaran teras termasuk Matematik dan Bahasa Melayu menimbulkan kegusaran dalam kalangan ibu bapa ketika ini.
Rata-rata ibu bapa menyifatkan situasi itu makin meruncing apabila keputusan peperiksaan dan ujian memperlihatkan keputusan kurang memberangsangkan termasuk ada antaranya yang gagal.
Seorang bapa, Mohd. Hamzani Abdullah, 42, berkata, anaknya yang berada di darjah tiga sering mengadu mata pelajaran Matematik terlalu sukar sehingga menyebabkan dia kurang minat.
“Saya tahu subjek berkenaan semakin sukar saban tahun dan ia menyebabkan kami golongan ibu bapa berasa susah hati dengan keadaan ini.
“Ada masanya kami sendiri berhadapan dengan masalah untuk membantu anak belajar subjek itu di rumah kerana ia begitu berbeza dengan zaman kami.
“Saya sendiri mengambil masa lama kadangkala untuk memahami latihan diberikan kepada anak-anak,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Mohd. Hamzani berkata, dia tidak mahu memberi tekanan kepada guru-guru tetapi mereka sekeluarga berharap agar warga pendidik tersebut mencari jalan bagi memastikan mata pelajaran diajar mampu menarik minat para pelajar.
Keluhan itu turut diluahkan seorang ibu dikenali Nurul Hidayah, 35, yang bimbang apabila keputusan peperiksaan anaknya semakin merosot bagi mata pelajaran Matematik dan Bahasa Melayu.
“Saya risau dengan tahap pencapaian dan perkembangan akademik anak saya yang kini dalam darjah tiga apabila keputusan peperiksaan pertengahan tahun mencatatkan keputusan kurang memberangsangkan terutama dalam subjek Matematik dan Bahasa Melayu iaitu merosot satu gred tahap penguasaan.
“Sebagai seorang ibu, saya terpaksa mengambil kelas tambahan di luar bagi memastikan anak saya boleh menguasai sukatan pelajaran di sekolah,” ujarnya.
Katanya, pandemik Covid-19 dan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) yang kurang sesuai dilihat antara punca menyebabkan kemerosotan prestasi murid tahap satu pada masa ini.
Selain itu, menurutnya, sukatan mata pelajaran di sekolah rendah dilihat sangat tinggi dan menyukarkan ibu bapa di rumah untuk membantu anak melakukan ulang kaji.
“Bagi saya silibus sekolah rendah berbeza dengan suatu ketika dahulu yang mana ibu bapa mampu mengajar anak-anak di rumah. Kadang-kadang saya sendiri tidak faham dengan soalan di dalam buku latihan.
“Keadaan inilah mendorong saya mencari guru untuk mengajar kelas tambahan. Bagi yang berkemampuan tidak ada masalah tetapi bagaimana pula dengan yang lain-lain,” soalnya.
Justeru, dia berharap agar kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan dapat melihat dan menyemak semula silibus sekolah rendah agar tidak terlalu tinggi.
“Jika di sekolah rendah murid tidak mampu menguasai asas pelajaran, ia akan menyebabkan mereka berhadapan kesukaran ketika melangkah ke pengajian bagi tahun seterusnya,” tambahnya.
Bagi Ahmad Nasrullah Mohd. Ghani, 37, kebanyakan daripada mereka tidak mempunyai kemahiran untuk mendidik anak-anak di rumah.
“Saya dan isteri cuba membantu anak-anak untuk belajar. Mata pelajaran yang mudah, senang nak ajar tetapi apabila melibatkan Matematik, ia agar mencabar.
“Tak dapat dibayangkan pelajar seawal usia lapan tahun seperti anak saya untuk memahami soalan-soalan kompleks.
“Kami sebagai ibu bapa mahu meringankan beban guru di sekolah dengan membantu anak-anak mengulang kaji di rumah tetapi apabila melibatkan subjek kritikal, ia agak mencabar,” katanya. -KOSMO! ONLINE














