fbpx
Kerajaan perlu mempertimbangan moratarium seperti di Thailand dan menghapuskan hutang graduan. - Gambar hiasan

Pertimbang moratorium, hapus hutang graduan – Pakar ekonomi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MALAYSIA mengamalkan ekonomi terbuka dengan 80 peratus keperluan negara diimport, manakala 80 peratus keluaran negara dieksport. Ini bermakna ekonomi negara mudah terkesan dengan keadaan ekonomi global yang semakin mencabar dan sukar dijangka.

Bahkan, rata-rata rakyat kini sedang menerima bahangnya apabila nilai ringgit mula merudum, sekali gus menyebabkan peningkatan harga barang.

Justeru, rakyat mengharapkan Bajet 2024 yang akan dibentangkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Oktober ini akan lebih mesra rakyat.

Bagi merungkai isu-isu yang wajar dipertimbangkan, wartawan Kosmo! Ahad, SITI SARAH NURUL LIYANA berkesempatan menemu bual Pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia, Prof. Madya Dr. Irwan Shah Zainal Abidin baru-baru ini.

KOSMO! AHAD: Selepas suku ketiga tahun 2023, bagaimanakah Prof. melihat keadaan ekonomi negara ketika ini secara keseluruhannya? Adakah, pertumbuhan yang disasarkan mampu dicapai pada akhir tahun ini?
Irwan Shah: Secara keseluruhan, keadaan ekonomi semakin mencabar. Bank dunia telah mengurangkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia pada kadar 3.9 peratus (%). Sasaran ini agak rendah berbanding sasaran dalam Bajet 2023 iaitu 4.5%. Kerajaan sudah menyemak semula sasaran itu kepada 4 hingga 5%.

Berdasarkan keadaan ekonomi global masa kini, saya jangka kita akan berada pada pertumbuhan lebih rendah berbanding 3.9 peratus pada akhir tahun nanti.

Keadaan ini akan mempengaruhi sasaran Belanjawan 2023, kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), sasaran kerangka ekonomi Madani dan Agenda Defisit Fiskal Konsolidasi. Kita mahu kurangkan agihan pendapatan.

Contohnya, kita hendak tingkatkan peratusan pendapatan buruh sehingga 45 peratus daripada jumlah keseluruhan ekonomi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Ringgit juga mengalami kejatuhan yang signifikan dan kejatuhan dalam Bursa Malaysia memberi kesan kepada keyakinan pelabur asing.

Dari segi ekonomi rakyat, biarpun keadaan inflasi sudah reda seperti dijangka, tetapi kos sara hidup masih tinggi. Purata pendapatan isi rumah terutama golongan muda juga agak mendatar.

Kita berharap dapat menoktahkan kemiskinan tegar pada tahun ini. Berdasarkan keadaan ekonomi semasa, saya menjangkakan akan muncul kemiskinan-kemiskinan baharu termasuk kemiskinan bandar dan kemiskinan yang tidak nyata (invisible).

Kemiskinan jenis ini melibatkan golongan M40 dan T20 yang pada mata kasarnya selesa, tetapi hakikatnya mereka dibelenggu hutang isi rumah.

Secara makro pertumbuhan ekonomi itu berlaku walaupun rendah. Bagaimanapun, rakyat di bawah merasai sebaliknya, di mana rata-rata rakyat berjimat ketika ini dan para peniaga mengalami kerugian. Adakah situasi ini sesuatu yang normal?
Situasi sekarang berbeza dari sebelum ini kerana kita berada di era pasca pandemik. Ekonomi global menghadapi kemelesetan pada tahun 2020. Kini, dijangka berlaku lagi kemelesetan sama pada 2024.

Jadi keadaan ekonomi masih lagi tidak menentu dan kompleks, sukar untuk kita menjangka prestasi dan hala tuju ekonomi dunia bergerak. Beberapa bulan lepas, kita menjangkakan China akan memainkan peranan dalam merangsang kembali ekonomi global selepas tamat polisi sifar Covid-19, tapi jangkaan itu ternyata meleset.
Ekonomi China mengalami masalah struktur yang agak serius. Ini memberi kesan kepada negara kita kerana China adalah negara dagang utama kita.

Impak itu sudah dapat dilihat dalam data suku kedua KDNK. Ini bukan keadaan yang normal dan sebenarnya agak membimbangkan terutama terhadap ekonomi rakyat.

Rakyat perlu sedia dari pelbagai segi bagi menghadapi keadaan ekonomi yang mencabar pada tahun hadapan.

Berdasarkan kenyataan Prof., keadaan ekonomi akan jadi getir tahun hadapan. Adakah rakyat patut menjangkakan situasi seperti Krisis Kewangan Asia 1997?

Ciri-ciri pada cabaran ekonomi yang dihadapi tidak sama seperti cabaran pada 1997 dahulu iaitu perlunya KDNK itu menguncup pada dua suku berturut-turut.

Biarpun pertumbuhan ekonomi berlaku di bawah empat peratus, ia masih bertumbuh.

Namun, situasi ini tidak mencerminkan keadaan rakyat.

Kalau dahulu, keperluan isi rumah boleh ditanggung oleh satu pendapatan sahaja.

Sekarang ini, keadaan memerlukan dua sumber pendapatan untuk memastikan keperluan asas dapat dipenuhi.

Selain itu, rakyat perlu meminjam duit untuk kelangsungan hidup yang menyebabkan masalah kewangan. Ini akan menjejaskan kualiti hidup rakyat. Jadi, ia tidak sama pada Krisis Kewangan Asia 1997 dan Krisis kewangan global 2008.

Sukar untuk dijangkakan sama ada lebih teruk atau tidak kerana situasi sebegini belum pernah berlaku.

Ketika ini, kerajaan dilihat berusaha mengurangkan perbelanjaan termasuk berkaitan subsidi. Situasi ini telah mendorong kepada peningkatan kos sara hidup dan membebankan masyarakat. Adakah langkah ini wajar dilakukan ketika ini?
Kenyataan bahawa pengurangan subsidi akan membebankan rakyat itu hanyalah satu andaian. Sebenarnya, keadaan tersebut bergantung kepada pelaksanaan.

Kita mengandaikan T20 golongan kaya, M40 berada dalam keadaan selesa dan B40 miskin. Tapi hakikatnya, kesemua taraf hidup ini memiliki cabaran tersendiri. Antara aspek yang perlu diambil kira adalah demografi dan struktur keluarga.

Golongan kaya bukan mendapat sumber pendapatan daripada gaji, tetapi daripada pelaburan yang tidak bercukai. Kerajaan telah bercadang untuk melaksanakan

Pangkalan Data Utama (PADU) pada tahun hadapan.

Dengan adanya PADU, diharapkan pelaksanaan subsidi bersasar tidak membebankan rakyat kerana setiap rakyat dibantu berdasarkan keperluan mereka. Ini dapat mengurangkan ketirisan sumber berbanding sekiranya kerajaan melakukan subsidi secara pukal.

Faktor lain yang mendorong kepada peningkatan harga barang terutamanya diimport adalah kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar. Ada yang cakap ringgit boleh jatuh AS$1 pada nilai RM5. Perlukah kerajaan menambat mata wang kita ketika ini, atau ada langkah lain yang difikirkan wajar?
Saya melihat keadaan kejatuhan ringgit secara mendadak itu boleh berlaku sekiranya kerajaan membiarkan sahaja.

Lebih 60% makanan kita adalah daripada import. Sudah tentu, apabila ringgit jatuh, perbelanjaan untuk makanan akan meningkat, sekali gus membebankan kos sara hidup rakyat.

Berdasarkan data, keperluan bagi golongan B40 lebih kepada makanan berbanding M40 dan T20. Tetapi saya rasa tidak perlu menambat ringgit kerana sekiranya itu dilakukan, kita akan memerlukan kawalan modal.

Ini akan menjejaskan minat pelabur asing, sekali gus menyebabkan Bursa Malaysia jatuh pada kadar lebih teruk. Kerajaan perlu meningkatkan keyakinan pelabur asing.

Kerajaan sudah melancarkan kerangka ekonomi Madani, Pelan Induk Perindustrian, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional Malaysia (NETR) dan Kajian Separuh Penggal RMK-12.

Kalau ada komunikasi yang positif dan jelas berkenaan perancangan ekonomi kita, pelabur-pelabur asing akan lebih tertarik dan yakin.

Sebelum ini, ada pihak mencadangkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) diperkenalkan kembali bagi meningkatkan pendapatan kerajaan. Adakah pendapat ini wajar dipertimbangkan kerajaan?
Kecenderungan lebih 170 negara selepas melakukan GST adalah meningkatkan cukai tidak langsung, dan menurunkan cukai langsung.

Contoh cukai langsung adalah cukai pendapatan dan cukai korporat.

Ini akan memberikan daya saing negara kita berbanding negara-negara lain. Pada saya, cadangan

GST lebih baik berbanding dengan cadangan dalam cukai keuntungan modal yang diusulkan dalam Belanjawan 2023.

Ini kerana cukai keuntungan modal tidak diamalkan di negara-negara serantau.

Jadi, jika ia dilaksanakan di sini, saya khuatir itu mampu membuatkan mereka memilih untuk melabur ke negara-negara jiran.

Selain itu, literasi kewangan perlu diterapkan kepada rakyat terutama dengan naratif bahawa GST itu membebankan.

Kini, sudah hampir lima tahun GST dimansuhkan, namun tiada sebarang tanda-tanda harga barang semakin rendah atau menurun.

Sebenarnya, tiada hubung kait antara pelaksanaan GST dan harga barang. Ini juga bergantung kepada model pelaksanaan.

Sebagai contoh, barang-barang asas boleh dikecualikan daripada GST dan pemantauan dibuat kepada peniaga-peniaga yang mengambil kesempatan.

Ini akan membantu rakyat kerana GST memberi hasil secara langsung dan berterusan. Masalah timbul apabila dasar ekonomi dipolitikkan.

Cukai GST lebih cekap daripada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan memberikan pendapatan lebih kepada kerajaan.

Sebelum ada GST sekitar tahun 2015, ekonomi gelap menyumbang lebih kurang 25% kepada KDNK negara.

Bila GST dilaksanakan, sumbangan ekonomi gelap dalam KDNK kita sudah berkurang kepada 10%.

Ini kerana GST mengecilkan ruang untuk mana-mana pihak untuk mengelak membayar cukai.

Bajet yang bakal dibentangkan pada 13 Oktober ini pastinya sangat ditunggu-tunggu oleh rakyat. Apakah perkara-perkara yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan?
Untuk golongan B40 dan M40, kerajaan perlu memberikan tumpuan untuk meningkatkan pendapatan rakyat. Walaupun kerajaan ada mencadangkan dasar gaji progresif, namun kita perlukan tindakan lebih segera.

Contohnya, meningkatkan gaji penjawat awam, meningkatkan gaji minimum serta memperkenalkan Skim Bantuan Pendapatan Asas kepada isi rumah yang berada pada paras garis kemiskinan.

Pada 2022, garis kemiskinan adalah isi rumah berpendapatan RM2,500. Ini satu inisiatif luar kotak yang boleh dilakukan segera.

Kita perlu perbaiki sistem perlindungan sosial kerana kita mengalami isu kemiskinan di hari tua. Untuk ini, literasi kewangan agar masyarakat mampu membuat keputusan yang lebih bijak.

Saya juga bersetuju kerajaan memperkenalkan semula perusahaan berkonsepkan kedai rakyat 1Malaysia. Konsep yang pernah dilakukan sebelum ini itu boleh ditambah baik.

Setiap dasar memiliki kekurangannya, namun apa yang perlu dilakukan adalah penambahbaikan.

Baru-baru ini, kerajaan baharu Thailand telah mengambil langkah drastik bagi membantu rakyatnya dengan memberi moratorium hutang kepada petani dan memberi wang secara terus kepada rakyatnya berusia 16 tahun ke atas. Wajarkah langkah-langkah itu dipertimbangkan oleh kerajaan Madani?
Bukan sahaja saya setuju dengan moratorium hutang, saya juga cadangkan untuk kerajaan lakukan penghapusan hutang secara selektif.

Terutama kepada mereka yang berada dalam sektor pertanian dan sebagainya.

Kerajaan juga boleh melaksanakan penghapusan hutang kepada golongan muda seperti graduan yang berhutang dan sebagainya.

Akhir sekali, apakah harapan Prof. dalam bajet kali ini dalam usaha kita memastikan ekonomi negara terus berkembang dan rakyat terus makmur?
Saya harap bahawa kerajaan boleh menumpukan lebih kepada usaha meningkatkan pendapatan rakyat.

Kini, lebih 50% lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak mahu sambung belajar dan memilih untuk bekerja secara gig dan menjadi pempengaruh.

Oleh itu, golongan ini juga perlu dibantu dari segi hak pendapatan, sistem perlindungan sosial dan sebagainya.

Berdasarkan kajian separuh penggal RMK-12, ada sebut tentang perkara ini.

Antaranya, Inisiatif Akademi dalam Industri dan Program Bina Kerjaya bagi pekerjaan tidak formal. Jadi, saya berharap Belanjawan 2024 nanti akan ada perincian yang lebih jelas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN