fbpx
KHAI BAHAR

Khai Bahar lupakan lakonan demi ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SAAT ‘laku keras’ menjual bakat lakonan, Khai Bahar tidak kisah menolak banyak tawaran demi mengutamakan ‘syurga akhiratnya’, si ibu yang kini berdepan masalah kesihatan. Dia bimbang menyusahkan orang lain.

Kredibiliti penyanyi dengan vokal lantang itu tidak perlu dipersoalkan lagi. Berilah apa jua lagu, dengan bersahaja, jejaka berusia 29 tahun itu akan melontarkan suara padunya dengan gaya dan intonasi tersendiri.

Kerjaya seninya ‘mekar’ bermula dengan hobi suka-suka berkongsi video nyanyian dalam aplikasi Smule.

Siapa sangka, bakat besar pemilik nama pentas Khai Bahar itu meledak sehingga mendapat perhatian bukan sahaja di Malaysia, bahkan di negara seberang.

Sehinggalah tahun 2016 menjadi titik permulaan anak Perlis itu dilamar menjadi penyanyi rakaman.

Sejak itu, satu persatu pencapaian membanggakan diraih pemilik nama lengkap Muhammad Khairul Baharuddin itu dalam lapangan seni.

Enggan mensia-siakan bakat yang dimiliki, Khai kemudiannya melebarkan sayap karier apabila mencuba nasib bergelar seorang pelakon pula.
Drama Cinta Tiada Ganti menjadi buah tangan pertama penyanyi itu dalam bidang lakonan.

Terbukti, bukan hanya menyanyi, Khai sememangnya berbakat untuk ‘berdialog’ sehingga terus disambar membintangi beberapa buah drama lain, antaranya Satukan Rasa, Kisah Cinta Rumi dan Shakira.

SEJAK lapan bulan lalu, Khai mula melakukan aktiviti bersenam di gimnasium secara serius untuk mendapatkan bentuk badan yang lebih sihat dan berotot.

Tolak tawaran

Namun, baru sahaja hendak memperkasakan lagi sayap seni yang satu itu, Khai kini terpaksa berkorban apabila terpaksa menolak banyak tawaran berlakon susulan kesihatan ibunya, Rosnah Mohd. kurang mengizinkan.

Kata Khai, dia terpaksa menolak banyak tawaran berlakon sejak tahun lalu kerana tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak, jika berlaku sebarang kecemasan membabitkan ibu tercinta.

“Ada beberapa tawaran lakonan terpaksa saya tolak sejak tahun lalu. Saya berbuat demikian kerana tahu, berlakon memerlukan komitmen yang panjang untuk berada di lokasi penggambaran.

“Jadi saya tidak mahu menyusahkan produksi kalau ada hal-hal kecemasan,” katanya yang turut menolak tawaran membuat persembahan nyanyian di lokasi jauh.

Ujar anak keempat daripada enam adik-beradik itu, ibunya yang menghidap penyakit buah pinggang tahap empat, kerap dimasukkan ke hospital kerana mengalami sesak nafas.

“Sekarang ini, kalau dengar ibu tidak sihat, memang saya akan terus pulang ke Perlis. Ada suatu ketika, ibu saya mengalami sesak nafas pada tengah malam dan terpaksa dikejarkan ke hospital.

“Selain masalah buah pinggang, ibu saya juga mengalami masalah jantung, paru-paru dan hati,” katanya.

KHAI dan Adira mempertaruhkan kehandalan vokal masing-masing dalam Pejam. – AFIQ RAZALI

Kerap pulang Perlis

Bukan tidak mahu membawa ibunya untuk tinggal dan berubat di Kuala Lumpur, namun di Perlis, ibunya lebih mudah untuk diuruskan kerana jarak dari rumah ke pusat dialisis agak dekat, selain ada adik-beradik lain yang boleh menjaga ibunya.

“Sebelum ini ibu pernah mendapat rawatan di Kuala Lumpur. Tapi jarak dari rumah ke pusat dialisis jauh.

“Kalau di kampung lebih dekat. Lagi pun ada adik-beradik lain boleh menjaga ibu.

“Namun, apa yang paling menyedihkan sekarang, ibu kadangkala hilang ingatan kerana proses dialisis. Pernah beberapa kali, dia mahu berjumpa saya, sedangkan saya ada di sebelahnya. Ingatannya makin lemah,” ujar Khai yang baru sahaja melancarkan single duetnya bersama penyanyi, Adira Suhaimi berjudul Pejam.

Beralih topik tentang perkembangan terkini, Khai yang dahulu dikenali dengan sosok tubuh kurus kering, kini semakin berisi, malah lebih berotot berbanding sebelumnya.

PENYANYI berusia 29 tahun ini kerap berulang-alik antara Kuala Lumpur dan Perlis untuk melawat ibunya yang mengalami masalah buah pinggang dan beberapa penyakit lain.

Makin ‘sado’

Perubahan ketara bentuk fizikalnya itu sebenarnya bersebab. Bukan semata-mata mahu tampil lebih berkeyakinan, Khai berkata dia diselubungi rasa bimbang kerana badannya terlalu kurus selepas aktif melakukan aktiviti berjoging. Lebih teruk, sehingga dia disangka sakit.

“Sebelum ini memang saya suka berjoging. Tetapi apabila berat badan turun mendadak, orang ingat saya sakit.

“Saya sendiri risau sehingga fikir yang bukan-bukan. Namun sejak lapan bulan lalu, saya mula aktif ke gimnasium untuk membina otot dan menambah berat badan,” ujarnya.

Gara-gara memiliki bentuk tubuh yang dikira ‘seksi’, tanpa sedar sebenarnya ada pihak tidak bertanggungjawab telah menggunakan gambarnya dalam sebuah akaun Twitter ‘darkside’ yang menghimpunkan gambar dan video lelaki dalam keadaan separuh bogel.

Enggan berdiam diri, Khai tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyalahgunakan gambarnya untuk tujuan aktiviti tidak bermoral.

“Kalau ada yang keterlaluan, saya akan ambil tindakan. Tapi setakat ini saya tidak tahu ada yang buat begitu,” jelasnya.

Dalam pada itu, Khai juga tidak mahu terlalu ambil pusing dengan usikan nakal peminat apabila meninggalkan komen-komen nakal terhadapnya kerana menganggap perkara tersebut sekadar gurauan.

“Tentang usikan nakal, saya ambil yang positif sahaja. Anggap mereka sekadar bergurau, tak ada niat lain pun.

“Alhamdulillah, setakat ini saya tidak ada menerima komen yang aneh-aneh daripada peminat. Malah, ramai yang teruja dan terkejut dengan perubahan bentuk fizikal saya,” katanya menutup perbualan.

TERBAHARU, Khai kini muncul dengan single duetnya bersama Adira Suhaimi berjudul Pejam yang disifatkan sebagai Impian menjadi kenyataan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN