fbpx
SITI KHADIJAH

Siti Khadijah elak godaan cinta lokasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELAGI berstatus bujang, selagi itulah seseorang selebriti mahu pun sesiapa pun akan terus dihambat persoalan jodoh.

Itu situasi sama yang perlu sedang ditelan aktres jelita, Siti Khadijah.

Sering disuakan watak cinta dan memerlukan permainan perasaan dengan hero gandingan, semua itu mudah mengheret Siti Khadijah ke alam fantasi.

Pada waktu sama, netizen pula menginginkan romantika lakonan berpanjangan ke alam realiti.

Bagaikan sudah faham dengan permainan dan sepak terajang drama dunia hiburan tanah air, awal-awal lagi pemilik nama penuh Siti Khadijah Abdul Halim itu memasang benteng agar tidak mudah untuk terjebak cinta lokasi.

Bagaimanapun, Siti memilih untuk tidak lantang memberi pendapat. Dia bimbang pada akhirnya, siapa pun jodohnya kelak, semua rahsia Tuhan.

SITI KHADIJAH sedaya upaya mengelak daripada terjerat dengan cinta lokasi, namun tidak mahu berkata lebih sebaliknya menyerahkan perihal jodoh kepada Tuhan. – FARIZWAN HASBULLAH/ INSTAGRAM SITI KHADIJAH

Elak cinta lokasi

“Seboleh-bolehnya saya mahu elakkan cinta lokasi, namun tidak boleh berkata lebih apabila bercakap soal jodoh kerana percaya rezeki dan ajal di tangan Tuhan.

“Siapalah saya untuk tentukan diri ini bercinta dengan siapa, berkahwin dengan siapa?.

“Perkara ini kompleks kerana melibatkan perasaan sebab itu sukar untuk dibincangkan.

“Saya takut hari ini saya kata tidak akan jatuh cinta dekat set penggambaran, hujung-hujung saya kahwin dengan pelakon mana-mana,” ujarnya.

Atas alasan itu, dia gemar meletakkan diri dalam ‘friendzone’ ketika berada di set supaya dapat menyekat perasaan yang mungkin boleh tercetus sepanjang penggambaran.

“Sekarang saya memilih untuk berhati-hati dalam bertutur, tidak mahu salah cakap malah saya lagi suka bila kena ‘friendzone’ di set penggambaran.

“Biar semuanya berlaku secara profesional, saya lebih suka begitu daripada terpalit isu yang akhirnya mungkin mengguris hati pihak lain.

“Selagi boleh elak, kena cuba sedaya upaya untuk elakkan. Benda melibatkan perasaan dan hati ini bukan mudah, tak terduga dan tiada siapa dapat menjangka apa yang bakal berlaku,” ujarnya.

Enggan larut dalam soal hati sesama pelakon, pucuk muda berusia 26 tahun itu selesa berkongsi tentang karier yang semakin mekar.

Serius menguruskan karier tanpa bernaung bawah mana-mana syarikat pengurusan, anak jati Kuala Lumpur itu mengakui belum bersedia mendapatkan khidmat pengurus atau pembantu peribadi mengendalikan jadual seninya.

Masalah utama yang berlegar dalam fikiranya, dia sukar menaruh kepercayaan terhadap orang lain.

Meskipun tidak pernah menjadi mangsa khianat atau berdepan insiden buruk, Siti Khadijah mengaku perkara yang cukup dirisaukan adalah soal menjaga aib dan kewangan.

SELAIN Siti Khadijah From Saga With Love merupakan naskhah romantik komedi yang dibintangi ramai pelakon popular seperti Ikmal Amry, Sophia Albarakbah, Fimie Don, Vanidah Imran, Sharifah Amani dan ramai lagi.

Urus diri sendiri,

“Saya tiada pengurus dan bergerak sendiri sahaja. Sebenarnya, saya pilih uruskan diri sendiri disebabkan ada isu kepercayaan (terhadap orang lain) walaupun belum pernah berdepan insiden ditipu.

“Saya ada isu kepercayaan kerana takut membabitkan soal duit dan aib. Saya jenis terbuka, tetapi apabila dewasa, baru saya sedar ada macam-macam jenis orang. Jadi, saya perlu berhati-hati.

“Sebelum jadi pelakon, saya adalah pempengaruh media sosial dan pernah suatu pertandingan saya menang dan ditawarkan menyertai sebuah syarikat produksi.

“Jadi, apabila kontrak tamat selepas dua tahun, saya lebih selesa bawa diri sendirian,” katanya

Bagaimanapun, pelakon yang mula meraih perhatian ramai melalui drama Dia Yang Ku Cinta itu mengaku agak terbeban kerana perlu menguruskan pelbagai urusan secara bersendirian.

Justeru, aktres jelita itu tidak menolak kemungkinan mendapatkan khidmat pengurus, suatu hari nanti.

“Sejujurnya, saya memang mahu cari pengurus sebab agak letih uruskan semua perkara. Saya buat semua benda sendirian termasuk ketika menjalani penggambaran di luar negara.

“Jadi, kalau saya ada pengurus nanti, saya mahu seorang yang tinggi, berkulit gelap dan kacak jadi pengurus,” katanya berseloroh seraya tertawa kecil.

Turut berkongsi perkembangan terbaharu, Siti kini dalam rangka promosi drama bersiri romantik komedi Viu Original, From Saga With Love arahan pengarah hebat Umi Salwana Omar.

SUKAR menaruh kepercayaan terhadap orang lain menjadi alasan utama Siti Khadijah tidak bersedia mendapatkan khidmat pengurus atau pembantu peribadi.

Cabaran watak

Menariknya, drama tersebut menjalani penggambaran di Saga yang terletak di Pulau Kyushu, Jepun.

Awalnya, Siti Khadijah hanya menjalani uji bakat untuk watak pembantu, Bianca Rozario yang dipegang Sophia Albarakbah. Namun, rezeki berpihak kepadanya apabila ditawarkan watak utama sebagai Karma.

“Mungkin masa saya buat uji bakat itu, pengarah iaitu Umi nampak saya sebagai Karma.

“Karma watak yang gila-gila dan sangat dekat dengan saya. Itu sedikit sebanyak memudahkan kerja sebab tidak perlu terlalu mencuba.

“Namun saya akui, cerita romantik komedi tidak semudah disangka. Sangat sukar buat orang jatuh cinta dengan karakter kita tanpa perlu menjengkelkan,” tuturnya.

Ujar aktres tinggi lampai itu juga, watak Karma mengajarnya erti kesabaran.

“Saya kena tahu mengasingkan watak Karma dengan diri saya.

“Meskipun watak tersebut dekat dengan saya, saya kena lupakan diri seketika dan perlu meresap roh Karma.

“Dulu bila saya berlakon, saya hanya menjadi diri sendiri dan mengikut skrip, kini saya mula faham. Kena ada konsistensi dan dinamik dalam lakonan,” ujarnya.
Selain Siti Khadijah, From Saga With Love yang menemui penonton dalam platform Viu turut dijayakan Ikmal Amry, Sophia Albarakbah, Fimie Don, Vanidah Imran dan Sharifah Amani.

SITI KHADIJAH kini muncul dalam dalam bersiri romantik komedi Viu Original, From Saga With Love arahan pengarah hebat Umi Salwana Omar.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN