fbpx
Gambar Hiasan.

‘Banjir untuk dihadapi bukan diatasi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MASUK Oktober orang ramai perlu lebih berhati-hati. Negara kini sedang Fasa Peralihan Monsun bermula 19 September lalu sehingga November 2023. Ia sekali gus menandakan Monsun Barat Daya yang bermula 15 Mei lalu kini telah berakhir.

Ketika ini tiupan angin dari pelbagai arah akan membentuk kejadian ribut petir, sekali gus membawa hujan lebat dan angin kencang. Intensiti hujan yang terlalu tinggi ini akan membawa risiko banjir kilat seperti yang berlaku di Balik Pulau, Raub, Maran dan Lembah Klang baru-baru ini.

Malah, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad turut menasihatkan orang ramai agar tidak memandang rendah keupayaan atau ‘kuasa’ air ketika bencana.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar mula berwaspada dengan fenomena cuaca selain tidak cuba menyeberangi air yang naik mendadak akibat hujan lebat ini. Elok juga kiranya orang ramai sentiasa peka dengan makluman daripada MetMalaysia memuat turun aplikasi myCuaca bagi info terkini dan sahih.

Akhbar ini sendiri pada Selasa lalu turut melaporkan agar penduduk di kawasan hot spot banjir melakukan persediaan sepatutnya selain mempunyai stok makanan sekiranya berdepan musibah.

Menurut pengamatan penulis, bencana seperti musibah banjir di Malaysia sejak kebelakangan ini sudah tidak bermusim. Jika dahulu kita boleh menjangkakan bila dan di mana bakal berlaku banjir.

Penulis berasal dari Pantai Timur. Teringat ketika kecil-kecil dahulu sebelum tengkujuh tiba, koloni semut hitam akan berjajaran dalam barisannya mula naik ke rumah. Barisan ini panjang dari semak berhampiran naik ke tiang terus ke atas alang rumah.

Ketika kecil naluri ingin tahu membuak-buak dengan adik-beradik, jadi kami menguis-nguis barisan semut ini di pangkal tiang rumah. Setiap kali itu jugalah arwah bapa ‘berdehem’ dari atas rumah melarang mengganggu perjalanan semut ini mengungsi tempat tinggi. Beliau selalu berkata, “tengkujuh nak mari dah.”

Betapa kita ‘bersahabat’ dengan alam. Ajaibnya selepas habis tengkujuh apabila masuk Januari tahun baharu semut-semut itu akan turun dari rumah. Namun, ‘norma alam’ serangga ini tidaklah praktikal untuk dilakukan oleh manusia.

Seperti di Kampung Iboi, Baling, boleh dikatakan penduduknya terpaksa menghadapi banjir kilat sepanjang tahun ini. Timbul persoalan lain pula, adakah kawasan itu selamat untuk didiami? Jika tidak selamat apakah tindakan perlu diambil?

Pernah penulis suarakan persoalan kepada seorang rakan yang tinggal di Kuantan dan kakitangan awam di Rompin. Bagaimana dia hadapi musibah setiap tahun di dua daerah itu? Tetap reda ketika bertugas menghantar bekalan makanan ke pusat pemindahan sementara walaupun rumah dan keluarga sendiri terlibat banjir.

“Inilah takdir rakyat. Nampak gayanya banjir ini untuk dihadapi bukan untuk diatasi,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN