fbpx

KNM perlu bertindak segera kekang penurunan nilai saham, permodalan pasaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemegang saham perlu memainkan peranan penting untuk membuat pemiilhan yang betul dalam EGM akan datang. -Gambar hiasan

PETALING JAYA – KNM Group Berhad (KNM) perlu melaksanakan satu tindakan segera untuk menghentikan penurunan nilai harga saham dan permodalan pasarannya yang mana ia berada di tahap terendah dalam rekod sejarahnya selama ini.

Salah seorang Ahli lembaga pengarah KNM yang baharu dicadangkan pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang akan datang, Flavio Porro berkata, penurunan tersebut tidak mencerminkan nilai intrinsik syarikat yang merangkumi aset utama, modal insan dan sejarah kekayaannya.

EGM Kumpulan itu bakal diadakan pada 16 Oktober ini.

Menurut beliau, EGM tersebut  bukan semata-mata formaliti tetapi membawa makna istimewa dan ia adalah titik perubahan penting bagi KNM.

Tarikh EGM itu telah ditetapkan selepas sekumpulan pemegang saham yang memiliki lebih dari 10 peratus saham pada 5 September lalu, meminta KNM untuk melaksanakan mesyuarat tersebut

Gambar hiasan

Kumpulan pemegang saham  itu mencadangkan pemecatan semua pengarah syarikat KNM sekarang dan mengantikan mereka dengan pengarah-pengarah yang baharu yang diketuai oleh Tunku Kamariah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar, Andreas Heeschen dan juga Porro yang merupakan bekas Pengarah KNM setelah meletak jawatan pada 13 Disember tahun lalu.

Cadangan penyertaan semula di dalam lembaga pengarah KNM ini diibaratkan oleh Porro sebagai satu penghormatan dan tanggung jawab untuk membolehkan beliau kembali terlibat dengan Kumpulan tersebut.

Pada 16 Oktober itu,  semua pemegang saham KNM boleh mengundi dan memilih pengarah-pengarah yang mereka sokong semasa EGM.

Mengulas mengenai isu KMN terkini, Porro berkata, situasi yang berlaku kini adalah kritikal dan tindakan segera diperlukan untuk menghentikan penurunan (nilai saham dan permodalan pasaran) bagi syarikat ini.

Beliau telah terlibat secara mendalam dengan KNM selama hampir satu dekad itu berpendapat,  salah satu isu yang paling membimbangkan yang mendorong beliau kembali terlibat dengan KNM adalah keputusan semasa yang dibuat oleh lembaga pengarah adalah menjual aset bernilai pada harga jualan murah secara tergesa-gesa dan tidak berhemah.

Flavio Porro

“Sebagai contoh, keputusan terkini dapat dilihat pada usaha menjual FBM Hudson iaitu sebuah unit Itali Kumpulan dengan operasi tambahan di Dubai.

“Lembaga bersetuju untuk menjualnya hanya dengan euro 12 juta (walaupun hampir 10 juta euro telah digunakan dalam syarikat sasaran untuk menyelesaikan tunggakan), walaupun aset unit ini dinilai lebih daripada Euro 40 juta.

“Ini bukan sahaja melibatkan kesilapan daripada segi kewangan tetapi ini adalah masalah undang-undang. Jualan ini juga tertakluk kepada kelulusan perlindungan aset negara yang boleh membawa implikasi undang-undang dan merosakkan nilai pemegang saham,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini baru-baru ini.

Selain itu, Porro menjelaskan, fokus objektif lembaga baharu kini tertumpu kepada pendekatan pertumbuhan dan pembayaran hutang yang holistik dan berterusan.

Menurut beliau, Kumpulan disokong oleh sekumpulan besar pemegang saham dengan akar umbi yang kukuh di Malaysia, serta pasaran antarabangsa seperti Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, United Kingdom, dan pasaran Timur.

“Rancangan regularisasi global KNM bertujuan untuk memenuhi semua pihak berkepentingan, termasuk pemiutang, pemegang saham, pekerja, dan pelanggan, dengan mengimbangkan kepelbagaian kepentingan dan harapan mereka.

“Dalam masa yang sama menyelaraskan rancangan penstrukturan dengan matlamat strategik jangka panjang KNM selain membolehkan syarikat menggabungkan kelebihan bersaingnya.

“Ini adalah bertentangan dengan fokus jangka endek pengurusan semasa yang terlalu berorientasikan kepada penghapusan aset,” terang beliau.

Mengulas lanjut, Porro berkata, semasa tempoh berkhidmat di KNM, Kumpulan telah mempunyai Perjanjian Pembelian Saham untuk Borsig dengan nilai 220.8 juta euro manakala FBM Hudson berjaya mendapatkan pesanan tetap baharu sekitar 80 juta euro pada tahun 2022 saja.

“Namun, hanya beberapa hari sebelum saya berundur, lembaga pengarah dengan secara tiba-tiba membatalkan penjualan Borsig untuk meneroka latihan senarai yang berpotensi itu.

“Walaupun keputusan tersebut dilihat adalah betul ketika itu tetapi bagi lembaga pengarah yang baharu ini, kami akan menilai semula pendekatan tersebut dan ia akan dilaksanakan bersandarkan kepada sokongan daripada sumber-sumber kewangan dan intelektual sebagai usaha mencari penyelesaian yang lebih baik yang mampu maksimumkan nilai pemegang saham.

“Kami juga akan meneroka perkara-perkara yang rumit ini dengan lebih terperinci selepas EGM, dengan tumpuan segera kami adalah untuk memastikan kesinambungan dalam operasi syarikat,” jelasnya.

Gambar hiasan

Sementara itu, Porro berkata, kempen media yang dilancarkan terhadap pemegang saham baharu dan ahli lembaga yang dicadangkan dianggapnya sebagai tindakan yang tidak berilmu dan kurang hormat.

“Kempen itu juga juga bertujuan untuk mengekalkan status quo yang tidak memuaskan.

“Lembaga semasa, yang kekal tidak banyak berubah sejak Oktober 2021, telah menyesatkan dalam kenyataan awamnya jadi kami mahu membetulkan naratif ini dan memulihkan reputasi syarikat.

“Kami komited sepenuhnya terhadap ketelusan dan akan mengambil langkah-langkah proaktif untuk menangani maklumat yang tidak tepat ini,” ujarnya.

Porro menambah, rancangan regularisasi global yang dicadangkan oleh KNM dan akan diumumkan sepenuhnya setelah lembaga baharu berkuasa, bukanlah satu penyelesaian untuk jangka pendek.

Menurut beliau, ia adalah strategi menyeluruh dalam tempoh jangka panjang merangkumi pelaburan bahan, peningkatan ketara dalam pengurusan profesional, transaksi kewangan rentas sempadan, kerjasama dengan badan antarabangsa, perkongsian dengan syarikat Fortune 500, dan kejuruteraan kewangan.

“Kami bertujuan untuk membuka pasaran dan bidang perniagaan baharu, dengan menumpukan kepada tenaga boleh diperbaharui dan kejuruteraan.

“Ini adalah wawasan lima tahun yang bertujuan untuk mencipta masa depan yang mampan untuk pemegang saham dan pekerja. Kami yakin bahawa dengan kepemimpinan dan strategi yang tepat, KNM boleh sekali lagi menjadi pemain utama dalam industri ini,” terang beliau.

Porro berkeyakinan melalui komitmen dan strategi yang efektif dan cepat bakal memulihkan keseimbangan kewangan serta dapat meningkatkan ketelusan, reaktiviti dan kelestarian jangka panjang.

“Kami sepenuhnya sedar akan cabaran-cabaran yang akan datang, tetapi kami juga yakin bahawa dengan pendekatan dan sumber yang betul, kami boleh keluar dari status PN-17 dan memulihkan syarikat dengan mencipta nilai untuk semua pihak berkepentingan,” tambah beliau. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI