Peribahasa Melayu berbunyi ‘sepuluh kali ukur, sekali kerat’ membawa maksud fikir masak-masak sebelum bertindak supaya tidak menyesal kemudian hari.
Peribahasa itu cocok menggambarkan titian hidup seorang bekas staf pengurusan kanan di syarikat gergasi logistik negara, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Mohd. Shahril Aman, 47, yang meninggalkan kemuncak kerjayanya setelah lebih 10 tahun berkhidmat dengan jawatan terakhir sebagai pengurus operasi.
Dia selepas itu melakukan beberapa kerja lain termasuklah memegang jawatan Naib Presiden Modal Insan (Human Capital) Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan melakukan bisnes konsultasi sumber manusia serta certified trainer Kementerian Pelancongan.
Mohd. Shahril kemudian mengambil risiko memilih liku-liku bergelumang dengan bisnes berasaskan makanan dan minuman (F&B) setelah pandemik Covid-19 melanda.
Beliau mencabar diri memilih piza sebagai menu utama bisnes ala kampung yang diberi nama Qulai Pizza Kayu Api di Kulai, Johor.
Risiko yang diambilnya membuahkan hasil apabila kini tidak keterlaluan jika dikatakan piza kayu api yang diusahakan itu menjadi antara tarikan utama daerah Kulai.
“Sewaktu penularan pandemik Covid-19 iaitu pada 8 Ogos 2020 saya buat keputusan untuk masuk dalam bidang F&B.
“Di situlah bermulanya Qulai Pizza. Ketika itu semua orang berdepan tekanan krisis kesihatan dan saya gunakan apa saja yang ada dalam diri saya untuk membina bisnes ini,” katanya kepada Panorama baru-baru ini.
Mohd. Shahril membuat keputusan menjual rumahnya di Nusa Idaman, Iskandar Puteri untuk menetap dan membina Qulai Pizza di tempatnya membesar di Kampung Pertanian, Kulai.
Di tanah milik keluarganya, lelaki itu membina rumah dan ruang kecil dapur membakar piza bersebelahan rumah ibu bapanya.
“Bila saya menetap di sini semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) itu, saya nampak Kampung Pertanian amat berpotensi untuk dijadikan sebagai daya tarikan pelancongan di daerah Kulai.
“Kampung Pertanian merupakan satu-satunya kampung di Kulai yang mempunyai akses kemudahan pengangkutan dan pembangunan bandar.

“Jadi, saya perlu mencurahkan segala pengalaman yang saya ada untuk membantu memakmurkan kampung ini dan ideanya saya perlu buat sesuatu untuk tarik orang datang ke sini.
“Ketika nak mulakan bisnes piza, saya bahkan dapat tentangan daripada emak saya. Dia cakap siapa nak datang makan piza dalam kampung ni, sudahlah nama pun piza kan?” kata anak kelahiran Kampung Parit Sakai Laut, Muar itu.
Berinspirasikan Jemapoh Pizza Kayu Api yang terletak di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Mohd. Shahril mencuba nasibnya dengan mencedok ilmu membuat piza melalui YouTube selain maklumat di dalam internet.
Qulai Pizza Kayu Api kemudian mendapat tempat dalam kalangan penduduk setempat khususnya orang Johor dan menjadi tular.
Setelah hampir tiga tahun beroperasi, Qulai Pizza Kayu Api kini bukan saja dikunjungi pemburu makanan orang tempatan, malah turut didatangi pelancong dari seluruh dunia termasuk Korea
Selatan, Amerika Syarikat, Vietnam, Kanada, Singapura serta lain-lain lagi.
“Lokasi Qulai Pizza Kayu Api terletak berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai. Pelancong dari luar negara yang berkunjung ke Johor, mereka cari dalam internet makanan unik dan kami adalah salah satu destinasi pilihan,” katanya.
Menurutnya, sebanyak 11 jenis varieti atau rasa ‘topping’ disajikan Qulai Pizza Kayu Api antaranya menu-menu lazim piza seperti beef pepperoni, Hawaiian chicken, chicken pepperoni dan pelbagai rasa lagi.
Paling mencuri perhatian, bukan saja cita rasa Barat bahkan pizanya turut diberi pelbagai sentuhan Melayu terutama asam pedas Muo (Muar) dan rendang ayam yang menjadi signatur.
Hasil berpadu idea dengan isterinya, Norlaili Ishak, 47, Mohd. Shahril berkata, mereka memilih piza cita rasa Melayu sebagai signatur Qulai Pizza Kayu Api.
Kini, terdapat juga piza sambal tumis ikan bilis dan baru sahaja memperkenalkan piza otak-otak.
Mengenai dapur kayu apinya, Mohd. Shahril berkata, dia membina sendiri dapur atau tempat membakar piza kayu api hasil rujukan di YouTube dan internet.
Katanya, dia memilih dapur kayu api yang dibina menggunakan batu-bata diperbuat daripada tanah liat kerana pembakarannya sempurna dan mampu hasilkan haba yang lebih baik.
Jelasnya, kayu api yang digunakan adalah daripada pokok rambutan.
“Kayu rambutan ini dapat menghasilkan api dan bara yang lebih tahan lama selain asap daripada pembakarannya dapat mengeluarkan aroma tersendiri dan meresap ke dalam piza yang kita bakar.
“Nak guna kayu api lain, kita tidak tahu apa kesannya, mungkin beri kesan sampingan apabila berlaku tindak balas kimia, setakat ini kayu pokok rambutan adalah yang terbaik kami gunakan,” katanya.
Disebabkan itu, Mohd. Shahril kini akan mencari di mana sahaja pokok rambutan di sekitar Johor untuk dijadikan kayu api.
Pendek kata, di mana ada pokok rambutan di situlah dia berada.
Selain itu, katanya, Qulai Pizza Kayu Api turut menyediakan kelas membuat piza untuk kanak-kanak sebagai modul pembelajaran di luar sekolah.
“Ramai kanak-kanak yang hadir mengikuti kursus ini datang daripada pelbagai kaum. Mereka akan bermula daripada melukis, membuat topi cef, membuat piza sampai piza siap dibakar dan mereka boleh makan hasil air tangan sendiri,” katanya.
Sementara itu, isterinya, Norlaili, yang juga seorang guru pendidikan khas berkata, pes topping piza yang dihasilkan adalah hasil gabungan idea dia dan suaminya berinspirasikan makanan kampung dari Muar dan Selangor.
“Masyarakat Melayu khususnya orang Johor dan Selangor berketurunan Melayu Jawa gemar memakan masakan berasaskan asam pedas serta sambal tumis.
“Jadi, idea cita rasa tekak orang Melayu dijadikan landasan untuk menghasilkan signatur Qulai Pizza Kayu Api,” tuturnya.














