Saudara Pengarang,
Ada pendapat mengatakan sambutan Hari Kebangsaan sejak kebelakangan ini dilihat lebih dihargai oleh golongan yang berusia berbanding anak muda.
Situasi itu antara lain dikaitkan dengan kurangnya penghayatan dan pemahaman anak muda tentang sejarah pembentukan negara dan tahap pengetahuan politik yang rendah disebabkan semangat kenegerian dan kepartian.
Justeru ada pihak mencadangkan agar penganjuran aktiviti bersifat patriotisme dan kempen kenegaraan melibatkan anak muda perlu diperbaiki dengan mengambil kira penggunaan media sosial yang ketika ini dikuasai golongan tersebut.
Bagi mengatasi masalah itu, program yang dirangka di sepanjang Bulan Kemerdekaan seharusnya bersifat mesra anak muda dan tidak lari daripada norma sosial masyarakat.
Apapun, perlu difahami bahawa generasi masa kini mempunyai ruang ekspresi yang berlainan dan pelbagai dalam menterjemahkan rasa cinta kepada negara sesuai dengan era digital dan media sosial yang menguasai dunia ketika ini.
Justeru, cara mereka meluahkan rasa penghayatan kemerdekaan sedikit berbeza berbanding sebelum ini.
Pada masa sama, keterlibatan anak muda di dalam kancah politik negara adalah sesuatu yang baik, namun mereka harus bijak mengimbangi dan mengawal ketaksuban agar semangat menyambut sejarah dan perjuangan kemerdekaan negara tidak tenggelam.
Kehadiran ramai anak muda pada Sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos lalu membuktikan semangat dan rasa cinta mereka kepada negara tidak pernah pudar.
Masing-masing teruja menyaksikan pertunjukan terutama melibatkan pasukan beruniform.
Namun, anak muda khususnya perlu juga menjiwai, menghayati, menghormati dan mengambil iktibar daripada sejarah lampau agar mampu untuk terus maju ke hadapan seiring dengan cabaran globalisasi yang menanti.
MOHD. SALLEH OSMAN,
Presint 16, Putrajaya