fbpx
RAMAI wanita berdepan kecelaruan emosi selepas ditinggalkan oleh insan tersayang. – GAMBAR HIASAN

Ditinggalkan kekasih hati, wanita murung sampai jadi gila

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Sukar menerima hakikat selain merasakan diri dipermainkan menjadi antara punca ramai individu berdepan masalah jiwa sehingga membawa kepada kemurungan melampau selepas ditinggalkan teman lelaki.

Golongan muda terutama kaum wanita itu juga dikatakan sering mengalami gangguan mental sehingga menjadi gila selepas hubungan cinta yang dimpikan putus di tengah jalan.

Lebih membimbangkan apabila ada mangsa yang sanggup mencederakan diri sendiri, berdendam sampai mati dan berkurung selama berhari-hari di dalam bilik hanya kerana sukar berdepan hakikat ditinggalkan.

Seorang bekas penyelia makanan yang mahu dikenali Tasya, 25, mengakui, dia sendiri terpaksa menerima rawatan psikiatri pada Mei lalu selepas mende­rita emosi akibat ditinggalkan kekasih yang dikenali sejak lima tahun lalu.

Jelas wanita berkenaan, masalah menjadi lebih rumit apabila dia juga terpaksa berhenti kerja disebabkan kemurungan teruk yang dialami selain gagal mengawal emosi di tempat kerja.

“Ada orang kata saya gila, tetapi saya menafikannya. Masalah­nya, saya tidak dapat move on atau menerima hakikat tentang apa yang berlaku (ditinggalkan kekasih). Saya bukan sahaja hilang sumber pendapatan, malah teman lelaki turut berubah pe­rasaan dalam keadaan saya memerlukan sokongannya.

“Memang sukar apabila berdepan kehilangan, ditinggalkan kekasih yang telah saya kenali sejak dari zaman belajar di kolej. Ini yang membuatkan saya bertambah murung, gelisah dan sedih sehingga sanggup cederakan diri sendiri.

“Sudah lima tahun kami menjalinkan hubungan cinta. Akhir­nya, dia lari tinggalkan saya begitu sahaja tanpa alasan munasabah. Saya tidak boleh terima semua ini kerana segala impian untuk hidupnya dengannya telah musnah,” katanya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.

Menurut Tasya, bekas kekasihnya itu merupakan seorang kakitangan di sebuah syarikat swasta dan mereka sebelum ini sudah merancang untuk mendirikan rumah tangga pada hujung tahun ini.

Jelasnya, sebagai jalan penyelesaian singkat, dia telah mengambil ubat penenang yang diberikan pihak hospital untuk sekurang-kurangnya dapat membantunya mengawal emosi daripada melakukan tindakan yang melulu.

“Stigma orang sihat memang akan nampak pesakit mental sebagai orang kurang siuman atau tidak waras, tetapi saya masih mempunyai hati dan perasaan seperti orang lain.

“Cuma sakit (kemurungan) boleh datang bila-bila masa. Kalau saya teringat kisah atau apa yang berlaku, memang waktu itu, saya pun sudah tidak kenal siapa saya” katanya.

Berkongsi pengalaman sama, seorang pekerja kilang dikenali Syila, 33, berkata, dia turut mengalami kemurungan melampau selepas putus cinta dengan kekasihnya.

“Saya tidak pernah terfikir kami akan berpisah dan kesannya, saya terpaksa berkurung di dalam rumah selama beberapa hari. Sepanjang tempoh itu, saya hanya fikirkan dia.

“Kami berpisah selepas dia mengaku sudah mempunyai teman istimewa yang baharu. Saya tidak dapat menerima alasan itu sehinggalah melihat gambarnya bersama pasangan yang dimuat naik di dalam media sosial,” ujarnya.

Ujar Syila, dia pada mulanya memilih untuk memendam rasa disebabkan malu dengan apa yang terjadi, namun terpaksa juga mendapatkan bantuan pakar psikologi bagi mengelak masalah kesihatan mentalnya menjadi lebih kronik.

“Jika dibiarkan memang bertambah parah. Macam-macam benda ganggu fikiran sampai pernah fikir untuk mati.

“Saya bersyukur sempat jumpa pakar untuk sekurang-kurangnya luahkan apa yang terbuku dalam hati. Sebagai manusia, saya juga ada perasaan untuk dikasihi seperti orang lain,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN