MINGGU ini, penantian peminat yang mengharapkan kesinambungan program nyanyian Gegar Vaganza (GV) seperti terbeliak biji mata apabila nama-nama juara terdahulu pertandingan tersebut diumumkan sebagai peserta musim terbaharu.
Masing-masing ada yang tidak sabar apabila juara pilihan mereka dan semestinya diperakui juri dipilih untuk bertanding semula dalam program yang diberi nama baharu AllStars GV atau GV10 menjelang 24 September nanti.
Sepuluh bekas juara yang bakal berentap ialah juara GV musim pertama, Ayai Ilusi, Siti Nordiana (GV2), Azharina Azhar (GV3), Naqiu dan Hardy Miza (GV4).Tidak terkecuali, Noryn Aziz (GV5), Datuk Aishah (GV6), Cliff Umar (GV7), Aliff Aziz (GV8) dan Jaclyn Victor (GV9).
Semuanya hebat dengan kehandalan vokal dan pengaruh tersendiri bahkan ada yang tidak menang tangan meraih job selepas ‘penjenamaan semula’ usai GV melabuhkan tirai setiap musim.
Sebenarnya, aktiviti ulang siar idea menghimpunkan juara-juara dalam pertandingan program nyanyian ini bukan baharu.
Strategi sama pernah diguna pakai dalam program terdahulu, contohnya, Akademi Fantasia Megastars (2027) yang menaikkan semula juara-juara AF dan begitu juga dengan Maharaja Lawak Mega yang turut disertai juara-juara Raja Lawak dan cukup berjaya menghiburkan khalayak bermula tahun 2012.
Balik kepada AllStars GV, terfikir juga, apa lagi yang hendak dikejar nama-nama besar itu dengan kembali masuk bertanding sesama juara.
Hendak dikatakan tiada kerja, mungkin, atau mungkin juga atau bayaran yang dijanjikan untuk sekitar 10 minggu dengan tiga bulan durasi pertandingan dengan keseluruhan 10 konsert mingguan (jika sampai ke final) itu terlalu berbaloi berbanding tawaran persembahan tidak menentu sepanjang tempoh tersebut.
Jadi, motifnya sudah serampang dua mata, selain ada platform menunjukkan dan mempertaruhkan kehebatan, pentas GV10 sebenarnya tidak lebih sekadar lubuk cari makan.
Terima kasih kepada Astro sebab bijak manipulasi populariti dan nilai sohor juara sedia ada untuk mencari yang ‘paling’ juara dari segala juara.
Dengan nama-nama besar, senanglah urusan menabur janji rating tinggi ada impaknya, pulangan komersial serta penajaan yang bakal masuk pasti lebih lumayan.
Untuk juara-juara ‘tarik suara’ pula, setidak-tidaknya, masing-masing seronok kembali menjadi titik perhatian dalam kemeriahan industri ketika ini.
Masuk GV sekali gus, setiap minggu bahkan setiap hari ada konten yang boleh dijual di pasaran media sosial, peminat gembira, netizen ada bahan diungkitkan dan seterusnya engagement dalam akaun TikTok, Facebook,
Instagram atau Twitter masing-masing akan naik bertingkat-tingkat.
Apa juga suara kritik yang bakal muncul selepas ini, peserta juara-juara GV bukan ‘budak’, mereka cukup handal dengan sepak terajang bidang ini, seperkara lagi, ini dunia hiburan, chill!














