fbpx
Suhaimi berasakan seolah-olah ada kelibat hitam di belakang keretanya ketika dia keliru dan berpusing-pusing mencari jalan keluar dari tingkat parkir yang dikatakan berhantu itu. – ILUSTRASI SHAH HASAN

Kelibat sosok hitam di parkir B4

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERKARA yang mahu dielak Suhaimi (bukan nama sebenar), akhirnya terjadi apabila dia terlewat bangun pada hari tersebut.

Dia terpaksa memarkirkan keretanya di tingkat B4 di pejabatnya yang terletak di ibu kota dengan kesedaran bahawa dia akan balik lewat pada hari itu.

Tingkat parkir bawah tanah tersebut sering dikaitkan dengan pelbagai kisah mistik kerana suasananya yang luas dan sunyi.

Dengan muka yang berkerut-kerut, pemuda yang bertugas sebagai pereka hiasan dalaman itu berkongsi dengan lebih mendalam tentang malam yang tidak akan dapat dia lupakan itu.

“Sudahlah terlewat bangun, jalan raya sesak pula. Akhirnya saya sampai ke pejabat sudah hampir tengah hari.

“Ketika itu parkir dekat bahagian bangunan ini sudah penuh kerana kami berkongsi bangunan dengan pejabat-pejabat lain.

“Saya pula tiada masa untuk parkir jauh. Nak atau tidak, saya terpaksa parkir juga di tingkat itu,” katanya.

Keterlewatannya itu menyebabkan banyak kerjanya tertangguh.

Ini menyebabkan Suhaimi perlu bekerja lebih masa untuk menyiapkan tugasan yang sudah hampir mencapai tarikh dateline.

Apabila Suhaimi mahu pulang, jam sudah menunjukkan pukul 10 malam dan hampir semua bahagian bangunan itu kosong.

Biarpun sedikit gementar, pemuda berusia 27 tahun itu meyakinkan dirinya bahawa segala cerita mistik tentang kawasan parkir tersebut hanya khabar angin semata-mata.

“Apabila lif tiba di tingkat B4, saya segera berlari anak untuk sampai ke kereta walaupun tidak jauh.

“Keadaan parkir yang terang tetapi kosong itu buat bulu roma saya meremang sebab saya rasa seperti ada yang memerhati,” jelasnya.

Ketika Suhaimi mahu keluar dari tempat parkir, dia tiba-tiba berasa keliru dengan jalan keluar kerana semuanya nampak sama.

Akhirnya dia asyik berpusing-pusing di tempat yang sama selama hampir setengah jam.

Menurut pemuda dari Seremban itu, dia cuba sedaya upaya untuk tidak melihat pada cermin belakang kereta.

Ini kerana dia terasa seperti ada sosok berwarna hitam duduk di kerusi belakang keretanya dan merenungnya menerusi cermin belakang kereta.

Tambah Suhaimi, dia menarik nafas sedalam-dalamnya sebelum membaca doa agar dipermudahkan urusannya untuk keluar dari bangunan tersebut.

“Saya bawa kereta perlahan-lahan supaya tidak terlepas laluan ke tingkat atas.

“Saya tidak hiraukan keinginan kuat untuk melihat cermin belakang kereta.

“Saya teruskan sambil berkumat-kamit membaca doa dan akhirnya saya nampak satu jalan menghala ke atas,” ujarnya.

Kongsi Suhaimi, dia sempat melihat ke tingkap belakang sebelum memecut laju meninggalkan kawasan parkir tersebut.

Dia ternampak kelibat hitam di dalam kawasan parkir seakan-akan melambai selamat tinggal kepadanya.

Sehingga ke hari ini, Suhaimi tidak lagi mahu parkir kereta di tingkat tersebut.

“Saya tidak akan sesekali parkir di tingkat itu lagi. Saya lebih rela naik Grab atau minta tumpang orang kalau terdesak sangat,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN