PETALING JAYA – Dalam tempoh 10 tahun lagi menjelang 2033, kenderaan elektrik (EV) diramalkan mula membanjiri jalan raya di negara ini apabila harganya menjadi lebih murah dan mampu milik berbanding sekarang.
Situasi itu akan membuatkan lebih ramai rakyat Malaysia akan membeli kereta tersebut sehingga ia bakal menguasai kira-kira 25 peratus pasaran kenderaan di negara ini.
Jika keadaan itu berterusan, Malaysia dijangka menggunakan EV sepenuhnya dalam tempoh 30 tahun akan datang kerana ia lebih praktikal, kos penyelenggaraan murah, mesra alam dan banyak tempat pengecasan telah disediakan.
Pensyarah Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Malaya (UM), Dr. Nurulafiqah Nadzirah Mansor berkata, kekangan untuk pasaran EV di Malaysia ketika ini apabila kereta itu masih mahal dan infrastruktur seperti stesen pengecasan tidak mencukupi.
“Saya jangka dalam tempoh 10 hingga 20 tahun lagi harganya akan secara signifikan berkurangan, manakala infrastrukturnya pula akan bertambah.
“Kalau kita bandingkan dengan teknologi solar yang menelan belanja besar kira-kira 10 tahun lalu, tetapi sekarang pemasangan teknologi solar di rumah bukan lagi sesuatu yang asing.

“Saya fikir keadaan sama akan berlaku terhadap EV. Dengan peredaran masa, EV akan menjadi lebih murah dan pemilikannya lebih mudah. Kita akan beradaptasi kepada penggunaan EV,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Di Malaysia, EV dijual pada harga serendah RM99,900 untuk sebuah model seperti BYD Dolphin. Harga paling mahal bermula RM1 juta bagi model Taycan Turbo S dan Porsche Taycan Turbo S.
Nurulafiqah memberitahu, ramalan itu juga bersandarkan kepada rancangan Malaysia melalui Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030 (LCMB).
Jelas beliau, LCMB menyasarkan 15 peratus daripada jumlah pengeluaran industri di Malaysia terdiri daripada kenderaan elektrik menjelang 2025.
Tambahnya, Malaysia turut menetapkan Dasar Tenaga Negara 2022-2040 (DTN) yang menyasarkan 38 peratus penggunaan EV menjelang 2040.
“Seiringan dengan itu akan ada penambahbaikan infrastruktur seperti stesen pengecasan, insentif galakan dan sebagainya.
“Berdasarkan ini, saya rasa Malaysia sedang menuju ke arah sepenuhnya penggunaan EV dalam tempoh 20 hingga 30 tahun lagi,” ujarnya.
Beliau berkata, jangkaan itu turut didorong oleh penjimatan kos penggunaan EV berbanding kenderaan berasaskan petrol dan diesel dalam jangka panjang.
Jelasnya, sistem pengecasan yang disediakan bagi super charger ketika ini adalah RM2.05 seminit untuk pengecas 80 kilowatt jam (kWj) atau RM2.35 untuk pengecas 100 kWj.
“Kita ambil contoh EV jenis Nissan Leaf biasanya datang dengan bateri 40 kWj dan untuk penuhkan bateri 40 kWj ini dengan pengecas 80 kWj perlu dalam 30 minit, maka kos lebih kurang RM61.50 untuk cas penuh.
“Cas penuh ini kalau kita cas di rumah sahaja guna pengecas biasa yang diperoleh apabila membeli EV, kadar pengecasan 6.6 kWj, maka memerlukan kira-kira tujuh jam untuk penuhkan bateri, menjadikan kos kira-kira RM10.07.
“Kalau cas dua kali seminggu atau lapan kali sebulan, kosnya sekitar RM112 sebulan untuk guna kereta itu. Nilai RM112 sebulan berbanding petrol sangat jauh beza. Sekali cas boleh gerak dalam 310 ke 330 kilometer bagi kenderaan EV,” katanya.
Beliau berkata, dalam tempoh 10 hingga 20 tahun lagi, teknologi EV bertambah canggih sehingga membolehkan ia bergerak lebih jauh menggunakan bateri lebih ringan dan berkapasiti besar.
Untuk rekod, Britain akan mengharamkan sepenuhnya penjualan kenderaan berasaskan petrol dan diesel menjelang 2030 dan diikuti kereta hibrid campuran elektrik dengan petrol pula menjelang 2035.














