fbpx
Keratan Kosmo!.

Sampai bila kita perlu hadap kes dera anak?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AKHIR-AKHIR ini kisah penderaan kanak-kanak bagai tiada surutnya. Lepas satu-satu cerita sedih dibongkar.

Paling meruntun jiwa apabila mangsa meninggal dunia dek tangan ibu bapa sendiri. Di manakah nilai nyawa dan kasih sayang? Yang didera anak kandung dan sama-sama mendera teman lelaki.

Menyoroti kisah sedih ini dengan kematian budak lelaki berusia sembilan tahun di Taiping, Perak didera ibu kandung dan teman lelaki wanita itu, 31 Julai lalu. Azab ditanggung sejak Mac lalu.

Sebelum itu, budak berusia empat tahun maut didera ibu dan bapa tirinya menggunakan tangan dan penyangkut baju.

Beberapa hari lalu, budak lelaki berusia lima tahun maut didera ibu kandung dan teman lelaki sejak Jun lalu. Hasil siasatan, pasangan berkenaan mengakui tabiat mereka suka mendera budak. Sungguh luar biasa.

Bagi menutup pekung di dada sanggup pula mengatakan anak tersebut dilanggar lori.

Lima tahun lalu, budak perempuan berusia sembilan tahun mati dengan buah pinggang rosak, usus terkoyak dan patah tulang rusuk dipercayai dipukul objek tumpul.

Kata lelaki itu dia bukannya mendera sebaliknya mendidik. Didikkah begitu jika dipijak dan ditendang? Keputusan Mahkamah Tinggi Seremban pada 22 Ogos lalu menjatuhkan hukuman mati ke atasnya.

Tidak tertanggung rasanya sakit dialami kanak-kanak yang didera ini. Sedih membayangkan mereka menangis minta belas ihsan daripada pelaku.

Media sebelum ini melaporkan, sebanyak 220 kes penderaan budak sehingga maut berlaku dengan ibu kandung menjadi pelaku tertinggi.

Ibu kandung penyumbang tertinggi dengan 67 kes budak maut akibat didera wanita yang melahirkannya. Sungguh kejadian malang ini perlu dibendung.

Secara asasnya, kes dera dikaitkan dengan tekanan sama ada pelaku panas baran dan mempunyai masalah kewangan.

Apabila kegagalan mengawal stres maka ada yang membuat tindakan mudah melepaskannya kepada anak dengan pandangan ia tidak memudaratkan.

Namun, jika setiap hari dan lima kali sehari, mana mungkin tidak memberi kesan. Kes dera ini memerlukan komitmen semua. Ahli keluarga, saudara, jiran, sahabat, masyarakat dan pihak berkuasa.

Jiran-jiran dengar-dengarlah kalau ada yang pelik, budak menangis tidak henti-henti, budak tidak keluar rumah atau keluar dengan baju labuh semua bertutup.

Kepada pihak berwajib, buatlah pemantauan berkala, periksa pasangan yang bercerai terutamanya yang mempunyai anak-anak masih kecil. Masukkan silibus mengawal kemarahan dan akibat melakukannya dalam kursus perkahwinan.

Kepada masyarakat peranan anda amat penting, jadilah mata-mata pihak berkuasa dan istilah atau budaya menjaga tepi kain orang perlu dikembalikan demi masa depan anak-anak kecil.

Masyarakat prihatin menutup ruang pengabaian dan penderaan. Ketidakadilan ini mesti dihentikan semua pihak demi lebih-lebih lagi negara bakal menyambut Hari Kemerdekaan ke-66 beberapa hari lagi. Sekali lagi, ini tanggungjawab semua.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN