fbpx
HAQIEM RUSLI, Bintang Paling Popular ABPBH33.

Umpama mimpi jadi nyata – Haqiem Rusli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TEKA-TEKI siapakah bintang paling popular di Malaysia edisi ke-33 Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH33) akhirnya terjawab.
Rezeki sudah tertulis apabila nama penyanyi Haqiem Rusli diumumkan oleh penyampai anugerah, Datuk Rosyam Nor sebagai penerima anugerah tersebut yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Jumaat lalu.

Pada usia yang begitu muda iaitu 22 tahun, Haqiem berjaya menawan pentas yang mengiktiraf artis popular hasil pilihan 100 peratus oleh undian peminat, sekali gus membawa pulang sebuah kereta Nissan LEAF serba baharu berharga lebih RM180,000.

Rasa syukur dan berterima kasih tidak putus-putus keluar daripada bibir penyanyi dan komposer muda itu. Meraih undian sebanyak lebih daripada 22.3 juta, Haqiem atau nama sebenarnya Ridzuan Haqiem Rusli mengakui rezeki tahun ini memihak kepadanya. Lebih istimewa, kereta yang dimenangi mahu dihadiahkan kepada bapanya.

SELAIN meraih gelaran Bintang Paling Popular, penyanyi Haqiem Rusli turut memenangi kategori Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi Malaysia dan Lagu Boom Popular menerusi single berjudul Lembah Kesepian.

“Sejujurnya saya sangat-sangat berharap untuk menang pada tahun ini, namun saya tidak pernah menjangkakannya.
“Teringat waktu kecil dahulu tengok ABP dalam televisyen dan sekarang semuanya umpama mimpi menjadi kenyataan,” ujar pelantun lagu Tergantung Sepi itu.

Selain soal rezeki yang telah tertulis untuknya pada malam tersebut, usaha dan kerja keras kelab peminatnya, Qiemilio memang wajar mendapat ucapan penghargaan tidak terhingga.

Angka lebih daripada 22 juta undian sememangnya satu jumlah yang cukup besar iaitu melebihi separuh daripada populasi penduduk di Malaysia.

“Terima kasih pada peminat terutama Qiemilio kerana bekerja keras tidak tidur malam berhempas pulas mengundi saya. Terima kasih kerana tidak jemu-jemu menyokong karier seni saya sejak 2016,” katanya.

Semasa ditemu bual usai memenangi gelaran artis paling popular, Haqiem sebenarnya tidak sabar untuk berjumpa dengan kedua-dua orang tuanya yang selama ini banyak memberi sokongan terhadap kanvas seni yang dilakar.

Selain menjulang trofi Bintang Paling Popular, penyanyi yang mula mencipta nama selepas menyertai pertandingan Idola Kecil musim pertama ketika berusia 10 tahun itu turut membawa pulang dua lagi trofi iaitu Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi Malaysia dan Lagu Paling Boom Popular menerusi Lembah Kesepian.

Melihat roda karier penyanyi muda itu, kemenangan tersebut sememangnya sebuah wajar. Sukar sebenarnya untuk mempertikaikan kemenangannya sebagai Bintang Paling Popular.
Baik pemain industri sendiri, semua tahu bakatnya sebagai penyanyi dan komposer yang tidak perlu dipertikaikan. Haqiem sebelum ini pernah menjulang tempat ketiga dalam Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) pada 2017 menerusi Tergantung Sepi.

ANUGERAH Penyanyi Wanita Popular Xiaomi Malaysia milik Wany Hasrita.

Bakatnya bukan semata-mata terletak pada kekuatan vokal ‘husky’ yang dimiliki, tetapi turut berkebolehan sebagai pencipta lagu.
Karya-karya seperti Selamat Tinggal Sayang, Qiemilio, Sayang dan Perjalanan antara nukilan yang mendapat sentuhan sendiri.

Bahkan, Haqiem turut mencipta lagu untuk penyanyi-penyanyi lain antaranya Irfan Harris menerusi Pesan, Sufi Rashid (Aku Sendiri), Usop (Aku Yang Bersalah), Tajuk Arifin (Ibu) serta Jang Han-byul (Luka dan Bahagia).

Meletakkan beberapa nama hebat lain sebagai pesaing terdekat seperti Khai Bahar, Siti Nordiana dan Ben Amir, Haqiem sangat optimis dan positif terhadap karya yang diberikan.
Lebih membanggakan, usaha dan bakatnya pernah diiktiraf oleh Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Malaysia (MACP) dengan memenangi Anugerah Komposer Muda Berpotensi 2019.
Bukan itu sahaja, penyanyi yang pernah menyertai pertandingan Mentor Milenia 2016 dengan menggunakan nama pentas Haq itu pernah menerima anugerah khas daripada Astro dalam kategori Komposer Meningkat Naik pada Konsert Throwbaek 2019.

Bercakap tentang ABPBH33 yang dizahirkan tanpa kehadiran penonton, majlis turut menyaksikan Sherry Al-Hadad dan Siti Nordiana masing-masing membawa pulang dua buah trofi kemenangan.

SITI NORDIANA menang dua trofi, Artis Versatail Popular dan Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular bersama Khai Bahar.

Biarpun rezeki tidak memihak kepada mereka untuk membawa pulang kemenangan utama, namun kedua-dua tetap berbangga apabila masih dipilih peminat untuk dihargai.

Bagi Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana, kemenangannya dalam kategori Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular bersama Khai Bahar dan Artis Verstail Popular juga adalah sesuatu yang tidak dijangkakannya.

Apatah lagi apabila penyanyi berkulit hitam manis itu dapat mengekalkan kemenangannya selama dua tahun berturut-turut bagi kategori Artis Verstail Popular.
Sherry Al-Hadad juga tidak terkecuali. Memang tidak dinafikan bakat wanita itu dalam bidang pengacaraan sedang mekar apabila memikul tanggungjawab menjadi hos dalam banyak acara besar.

Berjaya membawa pulang dua kategori masing-masing Pengacara TV Popular dan Artis Komedi Popular, selebriti yang mempunyai rancangan bual bicara sendiri, The Sherry Show itu wajar diangkat sebagai antara yang popular buat masa ini.

BAKAT Sherry Al-Hadad dihargai peminat dengan trofi Pengacara TV Popular dan Artis Komedi Popular.

Tiada terduga

Setiap majlis anugerah di dunia, pasti ada pemenang yang tidak pernah terlintas dalam benak fikiran untuk berjaya merangkul trofi.
Namun, itulah dikatakan kuasa peminat yang barangkali sukar diduga.

Situasi tersebut dapat digambarkan tatkala mendengar nama Mawar Rashid diumumkan sebagai pemilik trofi Pelakon Filem Wanita Popular.
Ramai yang terkesima kerana tidak menyangka kemenangan tersebut menjadi milik pelakon filem Bu, Kasih Suci itu. Malah, beberapa saat selepas diumumkan, pantas jari-jemari netizen membuat kerja dalam media sosial mencari filem lakonan wanita yang berasal dari Kelantan itu.

Bagaimanapun, pemilik nama sebenar sebenar Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid, 25, itu mengakui dia sendiri tidak menyangka apabila diberitahu bakal merangkul trofi pada malam tersebut.

“Sejujurnya masih rasa tidak percaya dengan anugerah ini, malah tahun 2020 memang saya tak banyak berlakon disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan yang masih dilaksanakan sehingga hari ini. Apa-apa pun syukur sebab rezeki memihak kepada saya,” katanya.

Dia juga sempat berkongsi tentang mimpi suaminya yang menjadi kenyataan.
“Beberapa hari lalu, suami saya Raf Yaakob mimpi saya menang dan naik pentas untuk ambil anugerah.
“Mungkin inilah yang dikatakan mimpi jadi kenyataan. Alhamdulillah,” kongsinya lagi.

Sementara itu, pelakon berkarakter Zahiril Adzim yang mengungguli kategori Pelakon Filem Lelaki Popular pula mendedahkan tidak pernah mempunyai kelab peminat sepanjang 14 tahun bergelar anak seni.
“Saya hadir kerana dijemput dan niat di hati hanya ingin bertemu rakan-rakan artis untuk lepaskan rindu.
“Memang tidak jangka kemenangan ini sebab saya bukan pelakon popular tetapi tidak sangka pula ramai yang menghargai bakat saya.
“Selama ini saya hanya bekerja sebagai pelakon, malah apabila berada di luar memang jaranglah peminat nak bergambar bersama. Sebab itu masih terkejut apabila diberitahu menang,” katanya.

TIDAK pernah ada kelab peminat, Zahiril Adzim sangat berterima kasih kepada khalayak yang masih sanggup mengundinya sehingga berjaya meraih trofi Pelakon Filem Lelaki Popular tahun ini.

Disayangi peminat

DJ Lin atau Roslinda Abdul Majid, 45, pula terus gah dalam sejarah ABP apabila dijulang sebagai pemenang kategori Penyampai Radio Popular untuk tiga tahun berturut-turut.
Ujar pengendali slot Suria Cinta itu, dia melahirkan rasa syukur kerana bakatnya terus dihargai walaupun hanya bersiaran pada slot tendah malam.

“Kemenangan ini merupakan hasil usaha keras para peminat untuk menghargai hasil kerja saya.
“Cara saya berkempen hanya mengikut apa yang diuar-uarkan pihak ABP iaitu rajin membalas mesej peminat, barulah mereka dapat merasai keihklasan kita,” katanya.

Apabila disoal sama ada dia ada memasang niat untuk berhijrah ke stesen radio lain, DJ Lin dengan tegas memberitahu masih setia bersama Suria FM.
“Saya akan setia dengan Suria FM. Tidak akan melompat ke stesen radio lain.
“Terima kasih kepada semua pendengar dan peminat slot Suria Cinta,” tuturnya.

SYAMSUL YUSOF, Nora Danish dan Joey menjadi antara artis yang membuat persembahan pembuka tirai ABPBH33.

Anugerah norma baharu

Edisi ABP yang mengangkat tema #ABPBHKITA2020 turut mencipta sejarah penganjuran kerana buat pertama kalinya diadakan tanpa kehadiran penonton bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebagai usaha mengekang penularan Covid-19.

Dalam majlis tersebut juga, hanya artis yang memenangi anugerah, penyampai trofi dan artis yang membuat persembahan dijemput.
Dapat disaksikan juga, setiap trofi untuk para pemenang diletakkan di tengah pentas bagi mengelak elemen bersentuhan.
Keseluruhannya, ABPBH33 boleh dianggap berjaya dari segi penganjurannya dan pematuhan SOP meskipun kurang kemeriahan ekoran ketiadaan penonton.

MIMI LANA dan Syafiq memenangi trofi Gandingan Serasi Filem Popular hasil penyatuan dalam filem Pusaka.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN