fbpx

Penduduk berebut durian dengan gajah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Isa (kanan) dan Mohd. Khairul Amiruddin menunjukkan dahan pokok durian yang patah akibat serangan gajah di Kampung Basung, Hulu Terengganu semalam.

HULU TERENGGANU – Kebun durian biasanya menjadi tumpuan pencuri tetapi lain pula halnya yang berlaku di Kampung Basung di sini, apabila mereka perlu berebut raja buah itu de­ngan gajah liar yang menceroboh kawasan pertanian mereka sejak sebulan lalu.

Seorang penduduk, Isa Sa­mad, 65, berkata, kehadiran sekumpulan gajah itu menyebabkan mereka takut untuk memasuki dusun bagi menunggu buah durian yang luruh terutama pada waktu malam kerana bimbangkan ke­selamatan mereka.

Katanya, setiap kali buah durian luruh, mereka tidak sempat merasi hasilnya kerana telah ‘dikutip’ oleh gajah liar berkenaan.

“Ancaman gajah itu telah menjejaskan pendapatan pekebun yang biasanya meraih sekurang-kurangnya RM2,000 pada setiap kali musim durian.

“Kali ini apakan daya, kami le­bih risaukan keselamatan diri dengan mengambil keputusan untuk tidak menunggu durian gugur terutama pada waktu malam kerana bimbang diapa-apakan,” katanya ketika ditemui di Kampung Basung di sini semalam.

Seorang lagi penduduk, Yong Ahmad, 50, pula berkata, kumpulan gajah terbabit juga sanggup mencerobohi penempatan, penduduk semata-mata untuk menikmati durian.

“Kumpulan gajah tersebut seolah-olah mengetahui kami melonggokkan durian yang dikutip di laman rumah.

“Kami hanya mampu mengintai dari dalam rumah dengan perasaan sayu melihat durian yang sepatut dijual dimakan oleh gajah-gajah terbabit,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd. Khairul Amiruddin Hamid, 31, berkata, kumpulan gajah yang dianggarkan 14 ekor mencerobohi perkampungan mereka hampir setiap hari sejak sebulan lalu.

“Gajah-gajah ini berasal dari Tasik Kenyir berhampiran dan dipercayai keluar hutan untuk mencari makanan.

“Kumpulan haiwan liar berkenaan bukan sahaja makan durian, malah merosakkan pokok pisang dan motosikal milik penduduk kampung,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI