fbpx
SEBAHAGIAN daripada wanita yang menganggotai SSG melakukan aktiviti meluncur air di satu pantai di Sabah baru-baru ini.

‘Gelombang’ Sabah Surfer Girls kumpul wanita minat luncur air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PAGI itu, ombak yang memukul pantai Tanjung Aru, Kota Kinabalu, Sabah kelihatan ‘cantik’ dan sesuai untuk aktiviti meluncur air.

Beberapa orang wanita kelihatan sedang bersedia untuk memulakan aktiviti meluncur air yang kini sudah menjadi kecintaan mereka sebagai satu bentuk terapi menghilangkan tekanan.

Salah seorang daripada mereka ialah Benazir Japiril Bandaran. Sukan luncur air menjadi cinta baharu buat Benazir, 33, hampir tiga tahun lalu.

Malah, minat mendalam terhadap sukan lasak itu mendorongnya untuk mula menubuhkan komuniti peluncur air wanita yang dikenali sebagai Sabah Surfer Girls atau SSG.

Sememangnya untuk mencari kelab sebegini yang dianggotai kaum Hawa saja di negara ini bukanlah suatu yang mudah ditemukan memandangkan sukan itu sendiri lebih didominasi lelaki.

Justeru, inisiatif wanita dari Sabah ini mewujudkan komuniti sebegini suatu yang pantas mencuri perhatian media.

Komuniti SSG yang dahulunya hanya dianggotai beberapa individu kini semakin besar dan sudah pun mengumpul 66 orang ahli perempuan berumur antara 13 sehingga 38 tahun.

Menceritakan bagaimana dia mula jatuh hati terhadap sukan luncur air, Benazir berkata, ia bermula ketika pandemik Covid-19 apabila dirinya mula berminat mengikuti kelas luncur air.

“Saya mula mencari kelas belajar luncur air di Sabah menerusi carian internet dan mendapat tahu bahawa ada individu yang mengajar sukan itu di Tanjung Aru.

“Saya mula mendaftarkan diri dan kelas pertama saya adalah di pantai Tanjung Aru dan ia berlangsung selama tiga jam. Sejak itu saya semakin meminatinya,” kongsinya kepada K2.

Tambah Benazir yang juga merupakan seorang peguam, ketika kelas pertamanya itu, ombak di Tanjung Aru tidaklah begitu besar, namun tidak juga begitu kecil, menjadikan ia sesuai buat beginner sepertinya.

Kemudian, selepas perintah kawalan pergerakan semakin longgar, Benazir mula mencari peluang untuk mendalami luncur air di satu pantai di Karambunai.

“Pantai itu tidak begitu popular dalam kalangan pelancong, namun di pantai tersebut, terdapat satu kelab peluncur air yang dikendalikan oleh penduduk sekitar.

“Ketika itu juga, saya merupakan satu-satunya peluncur wanita di situ memandangkan peluncur lain kesemuanya adalah lelaki,” katanya.

BENAZIR

Keadaan itu mendorongnya untuk menubuhkan satu kelab atau komuniti yang disertai wanita sahaja. Dia bersama seorang rakan, Saidatul Badariah Pintaz, 35, kemudian menubuhkan SSG bagi memberi ruang dan sokongan kepada wanita yang berkongsi minat sama.

Ujar Benazir, perkara paling disukainya tentang sukan luncur air adalah apabila sukan itu memberinya ruang untuk menjadikan diri lebih fokus.

“Sebelum menceburi luncur air ini, saya sememangnya merupakan seorang peminat sukan ekstrem seperti maraton.

“Namun, selepas mendirikan rumah tangga dan melahirkan dua orang anak, saya terpaksa berhenti menyertai maraton untuk fokus kepada keluarga.

“Selepas mula ceburi luncur air, saya mendapati ia amat menyeronokkan kerana menjadikan saya lebih fokus dan seolah-olah lupa seketika semua masalah yang ada,” jelasnya.

Menurut anak kelahiran Kundasang itu, keanggotaan SSG buat masa ini disertai wanita di negeri Sabah sahaja.

Menerusi kelab tersebut, wanita boleh mengasah kemahiran meluncur air tanpa khuatir rasa didiskriminasi.

Bercerita mengenai aktiviti luncur air di Sabah, Benazir berkata, musim luncur air di Negeri Di Bawah Bayu itu lazimnya adalah antara Julai sehingga Februari.

Bagi waktu meluncur terbaik pula, Benazir berkata, waktu pagi ialah waktu terbaik kerana selain ombak yang sesuai, cuaca juga tidak terlalu panas, menjadikan peluncur selesa untuk berada di laut untuk meluncur air.

Aspek lain yang disukai Benazir juga adalah keindahan pantai-pantai yang dapat disaksikan ketika meluncur air.

“Ada satu lokasi luncur air di daerah Kudat yang bagi saya mempunyai pemandangan yang cukup indah.

“Apabila meluncur di situ, saya berasa seolah-olah sedang berada di dalam sebuah filem kerana pemandangannya cukup cantik,” katanya.

SABAH Surfer Girls yang ditubuhkan sejak dua tahun lalu semakin menarik penyertaan wanita di negeri itu.

Biarpun menceburi sukan yang didominasi lelaki, Benazir berkata, ia tidak menjadikan dia berasa rendah diri, malah bangga apabila mampu menjadi sehebat lelaki di dalam sukan tersebut.

“Saya akui sukan ini cukup mencabar memandangkan ia memerlukan latihan dan tahap kecergasan yang tinggi.

“Namun, selepas menubuhkan SSG, kami banyak belajar antara satu sama lain dan sentiasa menggalakkan atau memberi motivasi kepada wanita lain untuk mencuba sukan ini,” katanya.

Benazir berharap agar komuniti kecil yang diwujudkannya itu akan sedikit sebanyak membantu menambah minat golongan wanita agar berani menyertai sukan ekstrem yang menyeronokkan itu.

“Bagi wanita yang mungkin masih gusar untuk cuba sukan luncur ini, nasihat saya adalah buat sahaja dan cabar diri sendiri,” katanya.

Berkongsi pengalaman menyertai kelab itu, Aini Khalid berkata, sebelum ini, dia sering didiskriminasi dan dianggap tidak cukup ‘fit’ untuk bergelar seorang peluncur air.

Justeru, kewujudan satu komuniti peluncur air khusus untuk wanita menjadikan dia lebih selesa untuk berlatih dan melakukan aktiviti itu.

“Sejujurnya, saya sudah lali apabila orang anggap saya tidak sesuai bergelar seorang peluncur air hanya kerana saya seorang wanita.

“Namun, saya memilih untuk tidak melayan atau membiar tanggapan sedemikian menghalang saya daripada lakukan apa yang saya suka dan kelab peluncur wanita menjadikan saya berasa selamat untuk luncur air tanpa sebarang diskriminasi jantina,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN