PETALING JAYA – Tiada yang lebih sedih dan pilu buat ahli keluarga mangsa nahas pesawat terhempas apabila melihat kesemua 10 jenazah selamat dikebumikan selepas tiga hari tragedi menyayat hati itu berlaku di Persiaran Elmina, Seksyen U16, Shah Alam pada Khamis lalu.
Ada yang terduduk dan menangis di saat melihat van membawa jenazah ke kawasan perkuburan dan ada yang tidak dapat menahan sebak sebaik dapat mengebumikan walaupun cebisan tubuh yang dikafankan ke liang lahad.
Kelmarin, jenazah rider foodpanda, Muhamad Hafiz Muhamad Salleh, 32, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Huda di Kampung Jerung, Sungai Petani, Kedah.
Arwah merupakan jenazah pertama yang diserahkan kepada keluarga.
Semalam selepas proses bedah siasat dan padanan DNA selesai dilakukan, polis telah menyerahkan baki sembilan lagi mangsa nahas pesawat ringan jenis Beechcraft 390 (Premier 1) untuk dikebumikan di kawasan masing-masing. Sebelum itu, kesemua jenazah disembahyangkan dalam empat peringkat di Masjid Ar-Rahimiah di Klang.
Ia dimulakan dengan jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri Pelangai, Datuk Seri Johari Harun yang diimamkan oleh anaknya, Muhammmad Hafiz Naquiddin, 22.
Solat jenazah secara serentak kemudian dilakukan bagi Muhammad Taufik Mohd. Zaki, Khairil Azwan Jamaludin dan Sharipudin Shaari sebelum disusuli untuk Mohammad Naim Fawwas Mohamed Muaidi dan Shaharul Amir Omar.
Lima jenazah tersebut disolatkan Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Muhammad Farhan Wijaya.

di Masjid Ar-Rahimiah, Klang semalam. – AFIQ RAZALI
Peringkat akhir bagi solat tersebut melibatkan Idris Abdul Talib @ Ramali, Shahrul Kamal Roslan dan pembantunya, Heikal Aras Abdul Azim yang disempurnakan salah seorang adik Allahyarham Shahrul Kamal.
Solat jenazah kesemua mangsa bermula pukul 10.15 pagi hingga 12.25 tengah hari.
Setiap jenazah kemudian dihantar ke destinasi pilihan keluarga di sekitar Sepang, Gombak, Putrajaya, Manjong di Perak dan Bentong, Pahang.
Jenazah Mohammad Taufiq yang juga pegawai khas Johari selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang. Jenazah Johari pula disemadikan di Tanah Perkuburan Raudahtul Sakinah Fasa 2, Batu Caves.
Tanah Perkuburan Masjid Sultan Hisamuddin, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang pula menjadi destinasi terakhir buat arwah Sharipuddin, manakala Heikal Aras pula disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Putrajaya, Presint 20.

Sementara itu, hujan lebat mengiringi perjalanan terakhir jenazah Shahrul Kamal yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Klang Gates, Kuala Lumpur dengan diiringi kira-kira 200 ahli keluarga dan kenalan.
Jenazah Mohamad Naim Fawwaz pula dikebumikan di Tanah Perkuburan Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang.
Di Bentong, Pahang, Tanah Perkuburan Islam Barak di Benus menjadi destinasi akhir buat jenazah Idris dan jenazah Khairil Azwan pula disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Mempaga 1.
Dalam pada itu, Taman Persemadian Islam Seri Manjung, Perak pula menjadi pilihan keluarga untuk menyemadikan jasad Shaharul Amir.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.40 petang Khamis lalu, seramai 10 mangsa termasuk Johari terkorban.
Ketika kejadian, jet persendirian tersebut dalam perjalanan dari Langkawi dan sedang menghampiri Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang Jaya di Selangor.














