WANITA itu kembali menjadi perbualan khalayak tempatan selepas memberi dampak tersendiri menerusi naskhah rantaian Hati Yang Tersakiti. Kesakitan, kepiluan dan kekecewaan yang benar-benar menyentap emosi penonton.
Menjayakan watak fiksyen bernama Mona, Nad Zainal dengan cemerlang menterjemahkan karakter seorang isteri yang tersakiti akibat dicurangi suami.
Lebih pedih pengkhianatan tersebut berlaku dengan kawan baik sendiri. Itu antara senario rumah tangga yang paling ditakuti mana-mana pasangan suami isteri.
Nad melanjutkan perkongsian jiwanya bersama Pose. Pengkisahan watak walang dan realiti sinema tempatan yang perlukan banyak penambahbaikan meluncur laju dari bibirnya.
Melengkapkan aroma harmoni pertemuan eksklusif baru-baru ini, aura positif itu barangkali hadir dari benih cinta yang sedang subur dalam rahimnya. Ibu yang menanti anak kedua itu juga bercerita tentang kandungannya yang kini memasuki usia empat bulan.

POSE: Bagaimana rezeki dalam lakonan buat seorang anak seni bernama Nad Zainal sepanjang Covid-19?
NAD: Alhamdulillah. Industri seni tanah air sangat bertuah sebab tidak ‘dikacau’.
Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak menghalang kami menjalani penggambaran namun perlu patuh terhadap prosedur operasi standard (SOP).
Rezeki masih berterusan sebab selepas tamat PKP tempoh hari, berduyun-duyun syarikat produksi mahu menyiapkan penggambaran drama atau karya masing-masing.
Pihak stesen televisyen juga menawarkan banyak slot kandungan untuk ditayangkan.
Untuk kami sebagai artis terutamanya pelakon, kami sangat murah rezeki. Banyak tawaran masuk terutama selepas fasa PKP yang awal-awal dilaksanakan.
Ada segelintir pemain seni berasa paranoid dengan ‘masalah dunia’ ketika ini. Adakah anda juga dihantui rasa sebegitu?
Sejujurnya, masa awal-awal dahulu, saya sangat takut untuk pergi ke set penggambaran. Tetapi apabila tahu pendekatan yang digunakan oleh produksi dalam melaksanakan arahan kerajaan seperti sanitasi tangan dan wajib imbas kod bar menggunakan aplikasi My Sejahtera setiap kali hendak masuk ke set penggambaran, saya rasa selamat.

Kami pun sudah dinasihatkan selepas habis kerja, terus balik ke rumah. Tidak ke mana-mana. Jadi, tiada sentuhan fizikal terjadi dengan orang yang kita tidak kenali.
Alhamdulillah, saya okey dan lama-kelamaan perasaan paranoid berkurangan. Memang habis kerja saya balik rumah. Kadang-kadang saya tumpang mandi di lokasi penggambaran.
Saya akan mandi sebelum balik sebab ada anak kecil di rumah. Saya tidak mahu sesuatu yang tidak diingini berlaku kepada anak.
Watak Mona mendapat pujian, bahkan Mimi Lana menyifatkan anda sebagai pelakon wanita paling bagus pernah dia bekerjasama, penerimaan anda pula bagaimana?
Di luar negara, pelakon diberi waktu panjang untuk mempersiapkan diri. Di Malaysia, kita kena ‘cepat’, kita kena kejar dan bayaran pun tidak begitu besar.
Saya cuma tengok karya yang ada persamaan dengan peranan saya. Saya memang suka berangan. Saya pastikan buat ‘homework’ secukupnya.
Kalau masuk set saya sudah tahu permainan watak. Di rumah, saya akan baca dan study skrip. Kalau perlu saya halau anak dan suami untuk fokus.
Di set, saya berkawan dengan semua orang. Saya tidak suka bersendirian untuk penghayatan, itu bukan cara saya.
Sama dengan Remy Ishak dan Mimi, kita berlatih betul-betul dan pada masa yang sama jaga ikatan sesama.
Ada sesetengah pelakon tidak bercakap antara satu sama lain. Bagi saya, itu tidak munasabah.
Bagaimana status hidup, zaman solo, isteri dan sekarang bergelar ibu mengubah perjalanan anda sebagai seorang pelakon?
Saya semakin selektif. Kalau dahulu saya rasa main ambil sahaja watak, sekarang saya selektif dan sangat mengutamakan kematangan karakter. Saya tidak mahu lagi lakonkan watak budak kolej. Tawaran perlu setara dengan usia sekarang.

Dari segi dengan siapa yang saya ingin bekerja, saya tidak kisah. Yang penting ialah naskhah.
Perubahan ketara cuma dari segi energi sebab sekarang saya perlu lebih bijak membahagikan masa.
Saya tidak mahu energi berkurang semasa di set. Balik rumah, saya tidak boleh terbawa-bawa emosi dari set.
Saya ada anak dan suami. Jadi kena sentiasa jaga emosi. Kalau ada benda yang ingin dilepaskan, saya akan lepaskan dengan suami tetapi tidak dengan dengan anak.
Sudah agak lama anda tidak terlibat dengan drama bersiri. Apabila Hati Yang Tersakiti mendapat sambutan yang hebat, apa respons anda?
Saya percaya kejayaan ini hasil kerjasama semua. Barisan pelakon pun hebat. Pada usia 30 tahun, saya anggap ini rezeki dan sebagai peringatan kepada saya untuk terus memberi yang terbaik.
Untuk tahun 2020, ini antara produk yang boleh saya banggakan. Selepas berkahwin dan dapat anak, saya kurang terlibat dalam drama bersiri, lebih banyak buat telefilem. Kali ini dengan tema cinta dan kecurangan, saya gembira apabila ramai yang suka.
Sewaktu ditawarkan peranan Mona, adakah anda terus bersetuju atau bagaimana?
Saya macam mempersoalkan mengapa saya tidak dapat watak jahat (Farah). Kata pihak produksi, watak jahat memerlukan figura seorang model yang tinggi lampai. Jadi, saya macam, okey (ketawa).
Kalau boleh saya dedahkan, awalnya watak Haris dan Farah bukan milik Remy atau Mimi.
Sepatutnya, watak itu lakonan Engku Ismail dan Zahirah Macwilson. Kemudian, tukar jadi Sara Ali dan Sharnaaz Ahmad. Akhir sekali, baru
Mimi Lana bersetuju mahu jayakan watak Farah tetapi hero belum ditemui. Selepas itu, barulah nama Remy sah bawa watak Haris.
Saya sudah pernah beberapa kali dengan mereka berdua, jadi seronok semasa proses baca skrip. Ketika itu pula, drama The World of the Married sedang jadi fenomena. Kami bertiga sekepala dan jayakan watak-masing sehabis natural.

Jika situasi Mona berlaku dalam kehidupan sebenar, apa yang akan anda lakukan?
Feroz Khan (pengarah) pun ada tanya soalan yang sama. Saya akan teruskan hidup. Saya tidak akan maafkan dan tidak akan melupakan (ketawa).
Bagi saya, kalau dikhianati orang yang betul-betul kita percaya, lain macam sedikit. Saya pun pernah dikhianati orang yang saya dipercayai.
Apa yang saya buat, saya anggap macam dia sudah mati, tidak lagi wujud dalam hidup saya.
Saya tiada masa ingin mengamuk sebab bagi saya, perempuan tidak perlu berebut lelaki. Kalau sayalah Mona dan kalau lelaki itu sudah ada hati dengan perempuan lain, pergi sahaja. Move on sahaja.
Sekarang anda hamil anak kedua, apa yang anda boleh kongsikan tentang kehamilan kali ini?
Kehamilan sekarang sudah masuk minggu ke-17 atau empat bulan lebih. Alhamdulillah, semua sihat tiada masalah kesihatan.
Saya masih bekerja untuk slot Samarinda arahan Shahrulezad Mohameddin. Habis drama ini memang saya kena berehat untuk fokus terhadap kehamilan.
Produksi pun nak kejar sebelum perut saya besar.
Tentang jantina anak pula, sebenarnya saya dan suami tak pernah cakap mahu anak lelaki atau perempuan. Tetapi, sebab yang pertama anak lelaki, nak juga merasa anak perempuan. Apa pun, paling penting kita ingin anak itu sihat.














