KUALA LUMPUR – “Saya sangkakan berlaku gempa bumi.”
Itu kata seorang pembantu perubatan sebuah klinik yang dikenali sebagai Mercy, 21, yang terdengar bunyi dentuman kuat akibat runtuhan konkrit di blok A, bangunan Sri Desa Entrepreneur Park di Jalan Kuchai Lama, di sini malam kelmarin.
Dalam kejadian pukul 9.30 malam itu, kira-kira 10 kenderaan di tempat parkir rosak selepas dihempap struktur rasuk pada bumbung bangunan empat tingkat itu.
Mercy berkata, dia terkejut apabila terdengar bunyi runtuhan yang sangat kuat dari bangunan komersial yang terletak bersebelahan kliniknya.
“Saya kemudian didatangi tiga pesakit lelaki yang cedera ringan akibat terkena runtuhan itu. Selepas itu barulah saya tentang kejadian tersebut.
“Mereka bertiga bekerja di restoran Cina di bangunan itu dan beritahu serpihan konkrit jatuh dan menghempap kereta,” katanya kepada Kosmo!.
Seorang mangsa yang keretanya dihempap runtuhan konkrit, J. Louis berkata, kira-kira pukul 9.30 malam, dia dihubungi seorang lelaki yang memberitahu keretanya rosak akibat runtuhan tersebut.
“Saya terus bergegas ke sana, kereta Honda HR-V saya didapati rosak 50 peratus dan enjin tak boleh dihidupkan,” ujarnya.

Seorang pemilik syarikat Malinta Corporation Sdn. Bhd., K. Veethasalam pula berkata, tiada sebarang tanda atau keretakan dikesan pada bangunan komersial itu sebelum ini.
“Kami bekerja seperti biasa pada sebelah pagi semalam (kelmarin) dan tiada sebarang keretakan dikesan. Semua berlaku secara tiba-tiba dan cuaca juga baik sahaja,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pejabat DAP Seputeh yang terletak di bangunan sama antara yang diarahkan menghentikan operasi.
Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok ketika ditemui lega kerana insiden itu tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa.
“Kalau berlaku pada waktu siang, mungkin ramai yang akan tercedera,” katanya.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, bangunan komersial itu akan ditutup sementara sehingga laporan lengkap pakar perunding bangunan selesai.
“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kumpulan Ikram telah hadir untuk memeriksa bangunan.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati, tingkat empat bangunan ini agak tidak selamat.
“Kita akan benarkan pemilik yang berada di tingkat satu, dua dan tiga untuk mengalihkan barang penting secara berperingkat,” katanya.














