SETELAH mengenali antara satu sama lain dalam tempoh singkat, seorang lelaki yang dikenali sebagai Izat terus mempersunting teman wanitanya untuk dijadikan isteri.
Izat menjelaskan, dia dan isterinya hanya berkenalan di media sosial, sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin setelah empat bulan mengenali antara satu sama lain.
“Hubungan saya dan isteri ketika itu boleh dikatakan sebagai rebound relationship, di mana masing-masing tengah berhadapan dengan kegagalan cinta.
“Bagi mengubati perasaan masing-masing yang tengah kecewa, kami mengambil keputusan untuk menjalinkan hubungan lebih serius,” katanya yang berusia hujung 20-an.
Tambahnya, perkahwinan mereka turut mendapat restu keluarga masing-masing.
Izat mengakui, perkenalan dan perkahwinan bersama isterinya itu membolehkan dia melupakan kisah silam bersama bekas kekasihnya.
Malah, dia berasa amat bahagia dengan perkahwinan itu kerana dikurniakan isteri yang baik dan boleh bergaul mesra dengan keluarganya.
“Sepanjang setahun berkahwin, saya benar-benar bahagia.
“Malah, semakin menyayangi isteri saya sepenuh hati,” jelasnya.
Namun begitu, kebahagiaan itu tidak bertahan lama apabila isterinya telah berlaku curang kepada Izat.
Isteri kesayangannya itu dalam diam kembali menjalinkan hubungan dengan bekas kekasihnya.
“Pada mulanya, saya mendapati dia terlalu asyik dengan telefon pintarnya.
“Apabila bertanya, dia menyatakan hanya berbual dengan rakan-rakan.
“Malah, dia jarang beri saya pegang telefon pintarnya, sedangkan sebelum ini dia tidak bersikap sedemikian,” jelas Izat.
Selain itu, Izat mendapati layanan batin yang diberikan kepadanya juga tidak seperti sebelum ini.
Ada ketikanya, dia terpaksa berkali-kali meminta untuk ‘bersama’.
Meskipun begitu, Izat sentiasa mempercayai isterinya itu dan tidak menaruh sebarang perasaan curiga.
Bagaimanapun, Izat menyatakan bahawa akhirnya isterinya ‘terkantoi’ masih berhubung dengan bekas teman lelaki.
Ini semua berlaku apabila Izat terbaca perbualan mereka yang cukup mesra dalam telefon pintar isterinya.
“Ditakdirkan pada hari itu saya pulang kerja lebih awal dan isteri saya sedang berada di dalam tandas.
“Dia meninggalkan telefonnya di dalam bilik. Terdetik di hati untuk saya membukanya.
“Jadi, apabila buka aplikasi WhatsApp, saya melihat ada perbualannya dengan lelaki lain.
“Saya melihat gambar lelaki tersebut dan dia adalah bekas kekasih isteri saya,” terangnya.
Izat kemudiannya meminta penjelasan dan isterinya tidak dapat berbohong.
Malah, isterinya mengakui bahawa ada berhubung dan menjalinkan hubungan dengan bekas teman lelakinya itu.
Isterinya itu menangis dan memohon maaf daripada Izat serta meminta dirinya diberi peluang.
Sebagai seorang suami, Izat amat marah dengan perbuatan isterinya itu.
Namun, Izat masih memberi peluang kedua kepada isterinya itu. Dia menyatakan jika mereka berdua masih berhubungan, maka akan jatuh talak.
Sejak peristiwa itu, Izat mula menaruh perasaan curiga terhadap isterinya itu.
Peluang yang Izat berikan itu tidak gunakan sebaiknya.
Malah, tiga bulan selepas kejadian itu, isterinya sekali lagi ‘terkantoi’ masih berhubung dengan bekas teman lelakinya.
Izat menjelaskan, pada hari kejadian dia terjaga dari tidur dan mendapati isterinya itu tiada di sisinya.
Dia kemudian mendapati isterinya itu sedang tidur nyenyak di bilik tetamu, di samping telefon di sisinya.
Dia mengambil telefon isterinya itu untuk diperiksa.
Izat menyatakan, dia amat terkejut apabila melihat masih ada perbualan mesra antara isterinya dengan bekas teman lelaki.
“Bukan itu sahaja, mereka turut didapati melakukan panggilan video mungkin untuk melepaskan rindu barang kali,” katanya.
Dalam keadaan marah, Izat terus mengejutkan isterinya dan menunjukkan semuanya.
Tanpa berfikir panjang, Izat terus melafazkan cerai kepada isterinya itu.
“Dia menangis dan mengakui bahawa masih menyayangi bekas kekasihnya. Dia meminta maaf kepada saya kerana berbuat demikian.
“Sebagai seorang suami, tidak guna saya mempertahankan isteri yang masih menaruh perasaan sayang kepada bekas kekasihnya.
“Apa yang terbaik adalah berpisah dan jalani hidup masing-masing,” jelasnya dalam nada sebak.
Akhirnya, mereka sah berpisah di sebuah mahkamah syariah di Lembah Klang.
Mereka juga memberitahu keluarga masing-masing bahawa ketidakserasian merupakan punca kepada perpisahan tersebut.














