PUTRAJAYA – Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan keputusan untuk menggantikan Datuk Raja Rozela Raja Toran sebagai ketua pasukan pendakwaan dalam kes Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dibuat selepas timbalan pendakwa raya itu mengemukakan permohonan untuk bersara awal pada 3 April lalu.
Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harus berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor dengan membuat pertimbangan yang teliti.
“Raja Rozela mengemukakan permohonan untuk bersara awal pada 3 April 2023.
“Pemohonan itu diluluskan dan akan berkuat kuasa pada 1 November 2023. Raja Rozela memohon untuk bercuti sebelum bersara mulai 30 Ogos ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Idrus, bagi mengendalikan kes Ahmad Zahid, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar dipilih sebagai ketua pasukan pendakwaan yang baharu.
Pemilihan Mohd. Dusuki adalah berdasarkan pengalaman luas hampir 30 tahun sebagai Timbalan Pendakwa Raya.
“Mohd. Dusuki ketika ini merupakan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan di AGC yang mengendalikan kes-kes Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan serta kes-kes berprofil tinggi termasuk kes pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah,” kata kenyataan itu lagi.
Tambahnya, memandangkan kes Ahmad Zahid masih berlangsung dan tarikh perbicaraan telah ditetapkan sehingga Disember ini, maka seorang ketua pasukan yang baharu perlu dilantik dari sekarang bagi memastikan kesinambungan kes pendakwaan.
Keputusan dibuat dengan teliti bagi memastikan kes pendakwaan terhadap Ahmad Zahid tidak terjejas selain memastikan AGC dapat menegakkan keadilan selaras dengan bidang kuasa Peguam Negara yang diperuntukkan di bawah Fasal 3 Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.
Pada 30 Ogos 2022, Ahmad Zahid selesai mengemukakan keterangan bela diri yang didengar selama 17 hari bermula 13 April 2022 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Sepanjang prosiding, Ahmad Zahid memberi keterangan bersumpah menafikan kesemua 47 pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.
Ahmad Zahid didakwa atas 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga buah syarikat.
Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.
Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018. – KOSMO! ONLINE














