fbpx
Jalan raya yang baik akan memberi keselesaan kepada pengguna. - GAMBAR HIASAN

Isu infrastruktur, salah wakil rakyat atau PBT?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JIKA diamati isu kemudahan asas masih melingkari permintaan rakyat sepanjang pilihan raya di negara ini sama ada umum, negeri dan kecil.

Mandat lima tahun diberikan kepada wakil rakyat dikatakan seperti sia-sia walaupun permintaan mereka hanya melibatkan se­perti longkang, parit, baiki jalan dan dewan.

Semua ini amat dekat di hati rakyat bagi membolehkan mereka menikmati kehidupan pada aras keselesaan yang minimum.

Kegagalan menyelesaikan isu ini menimbulkan persoalan sama ada wakil rakyat yang diberikan kepercayaan tidak efisien atau pihak berkuasa tempatan (PBT) yang lemah?

Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dr. Khairudin Murad berpandangan, kemudahan asas sangat penting dijadikan ­modal politik terutamanya apabila pe­nyandangnya membawa isu sama pada Pilihan Raya Ne­geri (PRN) ini khususnya.

Katanya, isu kemudahan asas boleh dibahagikan kepada dua iaitu luar bandar merangkumi pengangkutan dan bekalan air, manakala bandar melibatkan infrastruktur longkang atau parit.

“Sebenarnya, ada dua kasta apabila menyentuh kemudahan asas ini bagi PBT. Tumpuan akan diberikan kepada gelembung atau demografi elit berbanding penempatan separa yang didiami M40 dan B40 yang hanya ‘cukup-cukup makan’ sahaja.

“Kita boleh juga mempersoalkan kewajaran tahap efisien ke­rana dalam PBT sebenarnya ada ahli majlis daripada kalangan orang politik,” katanya.

Beliau menegaskan kebanyakan infrastruktur tersebut tidak dinaik taraf sehingga boleh memberi kesan emosi kepada pengundi dan masyarakat yang menantikan perubahan berkenaan.

“Cuba pergi di Telok Panglima Garang dengan jalan di kawasan tersebut sangat teruk. Di mana silapnya,” ujarnya.

Jelas Khairudin, ketidakseimbangan pembangunan itu secara tidak langsung menyebabkan berlaku jurang antara tiga kelompok pendapatan tersebut.

“Kalau tengok sejarah migrasi orang luar bandar ke bandar adalah disebabkan kemudahan asas tetapi apabila mereka pindah tekanan terhadap kemudahan asas ini ditanggung mereka (termasuk kenderaan rosak akibat jalan lubang).

“Realiti di media, orang politik dan masyarakat di bawah berlainan. Rakyat alami turun naik tangga (sekiranya lif rosak) dan banjir (sistem parit tidak diselenggara),” soalnya.

Penganalisis sosiopolitik Universiti Putra Malaysia, Dr. Syed Agil Alsagoff berkata, polisi yang ada pada PBT perlu diperteguhkan dengan pemantauan, pematuhan dan penguatkuasaan dari segi kualiti kerja PBT ketika ini adalah lemah berbanding di Thailand yang tidak bergantung kepada parti politik.

“Politik kerajaan mereka (Thailand) masih bergolak namun jalan raya dan infrastruktur sangat bagus sebab mereka berpegang kepada polisi jangka panjang. Tidak perlu tunggu apabila pilihan raya baru hendak membuat atau membaikinya.

Justeru, beliau mencadang­kan agar persatuan komuniti yang penubuhannya disokong PBT supaya lebih aktif menjadi ejen PBT dan mendesak agar permasalahan kemudahan asas dapat diatasi segera demi ke­selamatan penduduk.

“Saya menyambut baik Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR) dalam membantu orang ramai memohon penambahbaikan infrastruktur kecil awam. Namun tetap berbalik kepada ketelusan penyaluran dana agar rakyat dapat manfaat dijanjikan kerajaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN