fbpx
Antara kamera-kamera lama menarik yang merupakan hasil koleksi pengasas hotel ini yang sentiasa percaya merakam gambar adalah cara terbaik untuk menyimpan memori berharga.

K2

Tarikan muzium kamera vintaj

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBAK hati pemuda itu tatkala melihat sebuah kamera lama persis pernah dimiliki arwah datuknya yang juga merupakan seorang bekas jurugambar.

Melangkah masuk ke dalam Muzium Kamera di Gold3 Boutique Hotel, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur mengimbau pelbagai memori termasuk kali pertama dirinya jatuh cinta dengan kamera.

Mewarisi minat sama dengan datuknya dalam dunia fotografi, Asyraff Syawwal yang bekerja sebagai jurufoto bebas memberitahu, dia amat teruja melihat pelbagai koleksi kamera yang terdapat di muzium berkenaan.

“Minat saya terhadap dunia fotografi banyak dipengaruhi oleh arwah datuk, malah dia juga merupakan orang yang pertama mengenalkan saya dengan kamera.

“Melangkah masuk ke muzium tersebut sangat menggamit memori bersama datuk terutama selepas melihat kamera yang sama dengan koleksi simpanan arwah,” katanya ketika dihubungi K2 baru-baru ini.

Tambahnya, konsep muzium tersebut juga sangat dekat di hatinya yang mana rekaannya diinspirasikan daripada kedai kamera retro bak premis yang sering dikunjungi oleh datuknya.

Muzium Kamera merupakan sebuah muzium mini dalam hotel yang bertemakan dunia fotografi era retro dan koleksi kamera dari pelbagai generasi.

Menyimpan pelbagai koleksi kamera dari era 1960-an hingga 1990-an, muzium yang sebenarnya telah dibuka sejak tahun 2016 itu direka berkonsepkan kedai kamera lama.

Menurut Pengurus Komunikasi Gold3 Boutique Hotel, Rachel Chew, 31, Muzium Kamera tersebut merupakan idea yang diilhamkan oleh pengasas hotel Gold3 Boutique Hotel itu sendiri.

“Pengasas hotel kami sebelum ini gemar melancong dan dia merasakan merakam gambar adalah cara terbaik untuk menyimpan memori berharga.

“Oleh demikian, beliau membuka Muzium Kamera ini sebagai inisiatifnya untuk memelihara nilai sejarah kamera dan senario dunia fotografi zaman dahulu buat tatapan generasi masa kini,” katanya ketika ditemui K2 di muzium tersebut baru-baru ini.

Kongsinya lagi, Muzium Kamera ini dibuka setiap hari dan orang ramai boleh berkunjung secara percuma untuk merasai senario fotografi zaman dahulu.

Bertempat di aras dua hotel berkenaan, Muzium Kamera tersebut terbahagi kepada empat ruang pameran iaitu bahagian pameran koleksi kamera dan foto, kaunter kedai kamera, ruang studio serta makmal bilik gelap.

 

Antara kamera lama yang dipamerkan.

Kongsi Rachel, pelan muzium berkenaan diilhamkan bagi memberi peluang terutama kepada generasi muda berikutan ada antara mereka tidak pernah tahu mengenai keadaan kedai gambar pada masa dahulu.

Bagi yang berpengalaman pula, mereka pasti tidak asing ke kedai gambar untuk membeli kamera atau filem gulung mahupun mengambil gambar di studio kecil belakang kedai dengan latar belakang kain kanvas mahupun gambar pemandangan.

“Senario ini yang diterapkan dalam rekaan muzium yang mempamerkan koleksi kamera mahupun gambar-gambar lama yang pernah dibidik menggunakan kamera zaman dahulu.

“Paling menarik, pengunjung juga berpeluang merasai sendiri berada dalam makmal bilik gelap yang pernah menjadi tempat pemilik kedai gambar untuk mencuci foto daripada filem gulung yang dihantar oleh pelanggan atau yang diambil mereka,” ujarnya.

Jelasnya lagi, bagi pameran kamera pula, semua jenis peranti dipamerkan merupakan koleksi yang diperoleh sendiri pengasas hotel itu dari dalam dan luar negara.

Terdapat ratusan kamera yang dipamerkan mewakili koleksi kamera dari zaman yang berbeza.

Bukan saja kamera gambar (still photo) tetapi turut dipamerkan kamera video klasik yang pernah digunakan bagi rakaman filem zaman dahulu.

Selain mempamerkan kamera, muzium itu turut memiliki koleksi gambar-gambar lama hitam putih yang diambil menggunakan kamera dahulu.

“Suasana di dalam muzium ini adalah realiti kehidupan masyarakat dan muzium ini menyimpan kenangan dan sejarah.

“Ia juga secara tidak langsung memaparkan evolusi kamera dari setiap dekad yang pernah wujud sebelum adanya kamera digital pada era moden.

“Selain itu, ia juga menjadi tarikan pelancong yang ingin merasai sendiri pengalaman kembali ke masa silam di sebuah kedai gambar lama,” ujarnya lagi.

Selain menyimpan barang-barang lama berkaitan fotografi, muzium ini turut menghiasi ruangan umum berdekatan muzium dengan lampu hiasan yang dibuat daripada bahan-bahan kamera.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN