SEBERANG PERAI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan pertemuan bersama Menteri Luar China, Wang Yi di Pulau Pinang, Jumaat ini.
Menurut beliau, pertemuan tersebut boleh dianggap sebagai yang bersejarah memandangkan pertama kali diadakan di negeri ini.
“Dia (Wang Yi) nak mai (datang) jumpa saya di Putrajaya tapi saya kata saya tengah sibuk.
“Dia kata tak apa. Jadi, saya kata, mai ke Penang (Pulau Pinang) Jumaat ini dan dia setuju.
“Itu Menteri Luar China. Antara negara terkuat di dunia, dia sanggup mai (datang) jumpa saya, ” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika berucap sempena majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Sungai Bakap di Gerai PERDA Tasek, Simpang Ampat di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berasingan, beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mengingatkan Perikatan Nasional (PN) bahawa mereka tidak sepatutnya terus menggunakan slogan ‘Bersih’ ketika kempen pilihan raya mereka.
Bercakap kepada pemberita, Anwar berkata, hal ini demikian kerana, parti gabungan itu sendiri banyak terpalit dengan pelbagai skandal rasuah dan kes penyalahgunaan kuasa ketika ini.
Pada masa yang sama, Anwar turut menasihatkan individu yang didakwa menantu kepada calon Perdana Menteri PN berhubung kes rasuah itu supaya tidak ‘melarikan diri’ daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bersedia untuk mempertahankan diri di mahkamah jika tidak bersalah.
“Kalau dia rasa tak bersalah, dia pertahankanlah. Lari bukan contoh yang baik,” ujar beliau.
Semalam, SPRM memaklumkan sedang mengesan dua lelaki tempatan termasuk seorang individu yang dipercayai menantu kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian. – KOSMO! ONLINE